4 Punca Utama Ayah atau Ibu Memberikan Respon Negatif Kepada Anak dan Emosinya

Terdapat 4 faktor yang menjadi punca utama ayah atau ibu memberikan respon negatif kepada anak dan emosinya.

1. Masalah suami isteri.
2. Rumah yang tidak terurus.
3. Simptom depresi seperti letih melampau dan tiada semangat.
4. Masalah tempat kerja.

parentstress

Kredit Imej: Google

Jika kita cepat melenting dan tertekan dengan cabaran keibubapaan, cuba renung kembali adakah masalahnya berpunca dari sikap anak atau adakah masalahnya berpunca dari faktor disebut di atas,iaitu masalah kita sendiri.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Alangkah Seronoknya Menjadi Kanak-kanak

happykids

Sebagai seorang dewasa kita sering berkata,
“Alangkah seronoknya jika menjadi kanak-kanak. Tiada masalah. Tidak stress.”

Pengalaman gembira tanpa tekanan ketika zaman kanak-kanak membentuk persepsi kita kini.

Berikanlah pengalaman yang sama kepada anak-anak kecil kita supaya ia menjadi imbasan yang menggembirakan buat mereka apabila mereka dewasa nanti.

Kanak-kanak tidak perlu tertekan. Biarlah ia hanya menjadi lumrah bagi orang dewasa yang lebih berupaya dan bersedia menghadapi tekanan.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Tips Supaya Anak Bekerjasama

Jika matlamat kita adalah untuk membentuk anak yang sentiasa memberikan kerjasama dan bukan patuh hanya apabila disuruh, maka kita perlu melatih anak untuk melihat kesan ke atas setiap tindakannya.

Apakah yang berlaku setelah saya berbuat begini?
Adakah kesannya menguntungkan atau merugikan?
Adakah kesannya menggembirakan atau menyedihkan?
Adakah kesannya membina atau merosakkan?
Adakah kesannya menyakiti hati orang lain?

together

Kredit Gambar: Google

Melihat kesan dan akibat sesuatu tindakan akan melatih anak untuk membuat pilihan tindakan yang lebih bijak pada masa akan datang.

Berbincanglah dengan anak tingkah laku manakah yang mendatangkan kesan yang merugikan dan kemudian fokuskan untuk mengubah tingkah laku tersebut secara berperingkat.
Biar anak melihat kesan yang lebih menguntungkan.

Kaedah ini relevan untuk anak kecil dan juga remaja.

“Rome wasn’t built in a day.”

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Apabila Ibu Tidak Membuat Apa-apa Di Rumah

Apabila memandu memasuki perkarangan rumah, Azmi terkejut melihat kedua-dua orang anaknya berada di luar, masih memakai pakaian tidur yang dipakai semalam. Bekas makanan yang kosong dan pembungkus makanan berselerakan di halaman. Pintu kereta isterinya, Amy, terbuka. Pintu rumah juga terbuka luas sehingga menampakkan ruang dalam rumah.

messy

Kredit Gambar: Youtube

Azmi kaget.
“Mama mana? Mama?” tanya Azmi pada anak sulungnya yang berusia 5 tahun.
“Di dalam.” jawab anak dan terus bermain riang bersama adik.

Azmi tidak bertanya lagi, dia bergegas masuk ke dalam.
Keadaan di dalam rumah lebih berselerak. Lampu yang selama ini berdiri menghiasi indah ruang tamu jatuh seakan dirempuh raksasa . Permaidani yang selama ini terletak elok di ruang tengah rumah tersadai di tepi dinding.
Ruang tamu riuh rendah dengan suara kartun dari televisyen yang dibiarkan terpasang tanpa penonton. Ruang yang selama ini sentiasa bersih dan kemas ditatarias oleh isteri juga bersepah dengan mainan kanak-kanak, perkakasan dapur dan juga pakaian.

Sinki di dapur dipenuhi dengan pinggan mangkuk yang belum berbasuh. Bijirin sarapan dan kepingan-kepingan roti berterabur di atas meja makan manakala serpihan kaca dari gelas yang pecah dibiarkan di bawah meja.

Pintu peti sejuk dibiarkan terbuka. Pasir dari pasu pokok cili yang diletakkan di tebing tingkap dapur bertaburan di atas lantai.

“Ya Allah, Apakah yang berlaku?” Getus hati Azmi.

Dia risaukan isterinya.
“Adakah apa-apa berlaku pada isteriku? Sakitkah dia?”

Dia lantas bergegas naik ke tingkat atas untuk mencari isterinya sambil mengelak dari terpijak ‘lego’ dan mainan yang bergelimpangan sepanjang laluan. Di luar bilik mandi di tingkat atas basah dengan air. Tuala basah bergelimpangan di tingkat atas. Azmi menjadi semakin risau. Dia hampir terpijak bekas ubat gigi yang dibiarkan di atas lantai di luar bilik mandi. Kesan-kesan ubat gigi juga terpalit di dinding.

Dengan nafas yang tercungap-cungap dan peluh yang mengalir laju sejak tadi, dia membuka pintu bilik tidur. Di dalam hati tidak putus-putus berdoa dan berharap semoga tiada apa-apa yang serius berlaku kepada isterinya.

Apabila pintu bilik dibuka, kelihatan Amy sedang bersantai di atas katil sambil membelek-belek majalah.

“Eh! Abang dah balik?” sapa Amy sambil tersenyum.

Azmi semakin bingung.

“Apa yang berlaku ni? Kenapa rumah kita jadi macam ni? Anak-anak pun tidak terurus.”

Amy tersenyum lalu menjawab, “Jangan risau Bang, anak-anak dah makan. Kan hari-hari bila balik Abang akan tanya apa yang saya buat di rumah?”

“Ya, betul.” Jawab Azmi masih kebingungan.

“Jadi…..” balas Amy.

“ Hari ini saya tak buat apa yang biasa saya lakukan hari-hari di rumah.”

🙂

SELAMAT HARI IBU KEPADA SEMUA IBU WALAU DI MANA SAJA ANDA BERADA DAN WALAU APA SAJA PEKERJAAN ANDA.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

*Kisah rekaan di atas saya terjemahkan dan olah dari artikel berbahasa Inggeris yang tidak diketahui siapa penulisnya.

Kawalan Diri…

Sukar untuk kita membentuk anak-anak yang tinggi kawalan diri (self control) jika kita sendiri sering gagal mengawal tutur kata, gagal mengawal emosi, gagal mengawal belanja, gagal mengawal tingkah laku, gagal mengawal waktu, dan gagal mengawal kemahuan.

self c

Kredit Gambar: Step Digest

Jika kawalan diri anak rendah, kita perlu melihat imej di cermin terlebih dahulu sebelum kita memantau pengaruh persekitaran.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Pilihan 5 Tahun Sekali

spr

5 tahun sekali kita mempunyai pilihan untuk memilih siapa yang patut dipertanggungjawabkan ke atas hal ehwal negara kita.
Kita telah pun memilih. Tahniah.

Anak-anak kita tiada pilihan untuk memilih siapa menjadi ibubapa mereka 5 tahun sekali. Jadilah satu satunya pilihan sedia ada yang terbaik buat mereka dengan memikul tanggungjawab sepenuhnya.
Be there.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Apakah Yang Berubah?

Apabila bayi menangis, kelam kabut ayah dan ibu mencari puncanya.

“Baby lapar rasanya Mama. Bila last Ma menyusu?” tanya si ayah.

“Eh! Tak sampai sejam tadi. Belum sampai waktu menyusu lagi Pa. Basah agaknya.” Balas ibu resah sambil memeriksa lampin bayi.

“Tak penuh pun lampinnya. Angin agaknya perut dia.”
Ayah lantas kelam kabut mencari minyak telon untuk disapu di perut bayi yang tangisannya semakin kuat.

Walau disapu dan diusap, tangisan bayi masih belum reda.

Ibu memeriksa suhu badan bayi, “Tak panas pun badannya Pa.”
“Kenapa ya Pa?” Ibu semakin resah.

“Cuba kuatkan kipas angin dan bukakan tingkap. Abang rasa bilik ini agak ‘stuffy’. Mungkin sebab itu.”
Tanpa berlengah ibu menuruti cadangan ayah. Apa saja sanggup dilakukan untuk menghentikan tangisan bayi dan mendamaikannya.

“Sama saja Pa. Tak berhenti jugak. Kenapa ni Pa? Jom kita bawa ke klinik. Risau saya.”  Ibu sudah hampir mati akal. Ibu selalunya cepat tersentuh apabila anak menangis tidak berhenti. Iyalah, bukan senang hendak mengandung dan melahirkan. Jika tidak cepat bertindak, kalau berlaku apa-apa, menangis air mata darah sekalipun tidak akan mengubah apa-apa.

Tiba-tiba

“Eh! Ini semut merah ni. Mana datang semut? Bukankah syarikat kawalan serangga datang sembur baru-baru ini.” Ayah bingkas memeriksa ‘cot’ bayi.

“Ya Allah Ma, tengok ni. Ini bekas digigit semut. Patutlah dia menangis tidak berhenti. Sakit ni Ma. Kesian.” Ayah menunjukkan benjolan kecil pada kulit bayi akibat digigit seekor semut durjana itu.

“Cepat-cepat ambik krim yang Ma beli online tu dan sapukan. Mudah-mudahan melegakan.”

Setelah digosok, dituam, disusukan, dibelai, dibuai, dan didodoi, tangisan bayi pun reda. Bayi terus tertidur dalam dakapan ayah. Lega ayah. Lega ibu.


toddteen

Kredit Gambar: depositphotos

Begitulah respon kita kepada bayi.

Setiap tangisan bayi adalah satu bentuk komunikasi yang harus kita rungkaikan kerana mereka belum boleh berkata-kata. Kita tidak melihat bayi sebagai manusia yang manipulatif, dan cuba menguji. Ibubapa yang peduli dan proaktif akan cuba untuk memahami dan mencari punca bagi mencari solusi masalah yang dihadapi oleh bayi.

Sikap kita mula berubah apabila anak sudah boleh berjalan dan berkata-kata. kita tidak lagi dengan sepenuh hati cuba untuk mencari punca. Kita jarang bertanya kenapakah anak saya begini? Kita terus bertanya apa yang harus saya lakukan? Ada yang terus melabel anak nakal, biadap, degil dan diratib tidak berhenti-henti di hadapan anak.

Mungkinkah anak tidak mempunyai skil untuk menghadapi kekecewaan maka dia selalu dilihat meragam dan memberontak apabila kecewa? Jika itu puncanya, bekalkan anak dengan skil untuk menghadapi kekecewaan. Bukannya terus marah apabila dia meragam. Hukuman tidak membina skil tersebut.

Mungkinkah anak tidak tahu cara untuk berinteraksi? Dia tidak mempunyai kosa kata yang positif dan baik untuk digunakan. Yang dia tahu hanyalah perkataan yang kasar dan mencarut untuk meluahkan perasaannya. Anak ini juga tidak mempunyai skil. Bekalkan anak dengan skil komunikasi yang positf, bukannya dengan hukuman yang tidak membantu membina skil tersebut.

Mungkinkah anak tidak berupaya untuk mengungkapkan kesakitan fizikal yang dialaminya maka dia selalu meraung walau disebabkan perkara yang kecil? Ataupun anak mungkin mengasingkan diri dan tidak berkawan disebabkan kesakitannya? Bekalkan anak dengan skil untuk memberitahu dan meluahkan. Kita juga perlu lengkapkan diri kita dengan skil untuk mendengar dan memantau, bukan hanya skil untuk membebel.

Sebagaimana seorang bayi, tingkahlaku dan tindakan seorang anak termasuklah anak remaja, adalah satu bentuk komunikasi.

Tanya diri kita, apa yang cuba anak sampaikan?
Apakah keperluan yang tidak cukup?
Apakah yang terlebih?
Apakah skil yang anak perlukan?

Kemudian sama-sama kita mencari solusi.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Remaja Perempuan dan Media Sosial

Berdasarkan kajian dalam artikel ini, anak remaja perempuan yang berusia antara 10-15 tahun lebih terkesan dan tertekan dengan penggunaan media sosial berbanding anak remaja lelaki.
Jika dilihat dalam negara kita sendiri, hantaran (posting) berkaitan kecantikan, penggayaan tudung, dan ‘make up’ sangat menarik perhatian bukan saja remaja, malah kanak-kanak perempuan juga.

socmed

Remaja perempuan lebih mengharapkan ‘like’ dan pengiktirafan daripada orang lain. Mereka juga lebih terdorong untuk membanding-bandingkan diri mereka dengan remaja yang lain.

Saya pernah berbincang dengan para ibu tentang pengaruh media sosial ini dan ada di antara orang dewasa juga yang merasakan media sosial seperti Facebook dan Instagram memberi tekanan kepada orang dewasa sendiri terutamanya apabila melihat kehidupan orang lain yang dipaparkan. Ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada emosi orang dewasa juga dan mereka mengambil keputusan untuk ‘deactivate’ akaun mereka untuk beberapa ketika.

Keupayaan untuk mengawal diri seperti orang dewasa ini belum dimiliki sepenuhnya oleh anak remaja ditambah lagi mereka berada dalam fasa membina persahabatan. Rakan adalah segala-galanya bagi mereka. Mereka ingin turut serta (fit in) dan tidak mahu ketinggalan (fear of missing out – FOMO). ‘Deactive’ akaun media sosial sukar bagi mereka kerana ini bermakna mereka akan kehilangan rakan-rakan ini.

Anak remaja perempuan juga lebih terdedah kepada buli siber berbanding anak remaja lelaki.

Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memantau penggunaan media sosial oleh anak-anak remaja kerana tekanan ini akan memberi kesan kepada tingkah laku, pembelajaran, tidur dan ‘mood’ mereka.
Saya sering juga melihat ayah atau ibu yang berkongsi bergelak ketawa dengan anak remaja apabila melihat sesuatu hantaran (posting) di media sosial. Perbincangan dan interaksi berkisar media sosial dan kandungannya antara ibubapa dan anak-anak remaja adalah amat penting untuk mewujudkan hubungan yang rapat dan secara tidak langsung juga dapat memantau penggunaannya pada masa yang sama.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

PRU, Manifesto dan Akhlak Anak-anak

Beberapa hari yang lalu penulisan seorang Imam di Shah Alam melintasi di ‘news feed’ saya. Beliau menceritakan tentang seorang kanak-kanak yang cuba mencabut bendera parti yang tidak disukai kanak-kanak tersebut. Mujur Imam cepat menegur kanak-kanak itu agar tidak merosakkan harta benda walaupun tidak menyukai sesuatu. Ini adalah peringatan yang sangat baik daripada seorang dewasa yang matang buat kanak-kanak yang belum matang dan mudah dipengaruhi tingkah lakunya.

london

Dari mana kanak-kanak belajar tentang tindakan yang sedemikian?
Kita tidak perlu pun mengajar mereka, cukuplah sekadar mereka memerhati dan meniru orang dewasa yang dekat dengan mereka ataupun meniru apa yang didengari dan ditonton di skrin.

Dua minggu yang lalu, saluran radio BFM melaporkan bahawa pemantau pilihanraya (electoral watch) mendapati bahawa salah laku pilihanraya (electoral offence) semakin meningkat sejak penghujung tahun 2017 yang lalu.

Jika diimbas kembali PRU pada tahun 2013, Astro Awani melaporkan bahawa kes keganasan politik banyak berlaku seperti yang diumumkan oleh PDRM. Sejumlah 1,056 kes keganasan politik telah direkodkan sejak pembubaran parlimen pada 3 April 2013 dengan 387 kes direkodkan sejak hari penamaan calon.

Antara bentuk keganasan dan salah laku yang dilaporkan ketika itu adalah letupan, mengakibatkan kecederaan tubuh badan, khianat bakar, khianat bahan membahayakan, merosakkan harta benda, kecurian, serangan hingga menyebabkan kematian, kemusnahan harta benda, samseng, makian, ancaman, dan intimidasi.

Apakah mesej yang hendak kita sampaikan dengan tindakan yang sedemikian kepada kanak-kanak dan remaja yang merupakan generasi pelapis kita?
Perlukah kita berbangga dengan diri kita?

Di luar negara, dalam satu kajian yang dibuat ketika Pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2016, guru-guru di AS melaporkan bahawa kejadian buli di sekolah juga meningkat pada kadar yang sangat membimbangkan. Sasaran buli di sekolah-sekolah adalah golongan imigran, mereka yang beragama Islam dan juga kumpulan minoriti lain yang menjadi sasaran Donald Trump ketika kempen beliau.
Sorakan seperti “Build A Wall! Build A Wall” seperti yang selalu di sebut oleh Trump menjadi siulan buli ketika acara sukan. Pengaruh negatif Trump ke atas pelajar sekolah ketika itu dikenali sebagai “Trump Effect” dan dibicangkan dalam sebuah penerbitan oleh Southern Poverty Law Center, AS.

Kanak-kanak dan remaja adalah cerminan diri kita sebagai orang dewasa. Tidak ada manifesto pilihanraya oleh mana-mana parti politik yang dapat mengatasi kesongsangan amalan dan akhlak orang dewasa yang ditonton oleh kanak-kanak, apatah lagi oleh ibubapa sendiri di rumah.

Kawallah adab, tingkah laku, tutur kata dan akhlak kita ketika musim PRU ini. Kita tidak oleh mengawal tindakan orang lain tetapi kita berupaya untuk mengawal diri kita sendiri kerana inilah yang akan membentuk peribadi anak-anak kita.

Pakar Ekonomi negara, Dr Muhammad Abdul Khalid berkata dalam salah satu perkongsian beliau, apa yang kita rancangkan untuk kanak-kanak sekarang hasilnya akan kita lihat 20 hingga 30 tahun akan datang. Hasilnya tidak semestinya sekarang. Walaupun beliau mengulas dari segi ekonomi dan pendidikan, ia juga relevan untuk kita merenung kembali, akhlak dan pemikiran yang bagaimanakah yang ingin kita lihat pada orang dewasa 20 hingga 30 akan datang?

Adakah orang dewasa yang matang ataupun orang dewasa yang tidak bertamadun akhlaknya?
Kita akan menuai apa yang kita semai sekarang dan ia bermula dari rumah.

Coretan dari London
April 2018
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

You Only Have One Family…

“Every family has its issue but you only have one family.”
Kata-kata yang dipetik dari filem ‘Family Man’.

keluarga.JPG

Setiap keluarga mempunyai cabaran dan masalahnya yang tersendiri tetapi itulah satu-satunya keluarga yang kita ada. Kita tiada pilihan untuk tidak mempedulikannya. Jika selama ini kaedah yang kita gunakan tidak berjaya ataupun mungkin kita tiada apa-apa kaedah tertentu untuk membimbing keluarga dan anak-anak, sedarlah segala perubahan yang ingin kita lakukan untuk kebaikan keluarga dan anak-anak akan mengambil masa. Kita mungkin juga akan menerima tentangan.

Jika latihan untuk solat mengambil masa 3 tahun untuk diterapkan dalam diri anak sebelum tindakan keras boleh diambil apabila menjangkau usia 10 tahun, begitulah panduan betapa lamanya kita perlu bersabar dan konsisten dengan setiap bimbingan yang ingin kita berikan. Bimbingan ini tidak terhenti di situ sahaja, ia perlu berterusan dengan berpesan-pesan, selagi kita bernama ibubapa.

Perubahan dan bimbingan perlu

1) Sabar
2) Konsisten
3) Pengulangan

Masalahnya kadang-kadang bukannya dengan anak, tetapi dengan diri kita sendiri yang tidak konsisten dan tidak sabar. Sekejap kata “tidak”, sekejap kata “boleh”. Bila kita sibuk dan letih, kita pun jadi permisif, “Buatlah apa yang kamu suka, mintalah apa yang kamu mahu, Ayah letih, Ibu letih.”
Tidak konsisten.
Anak lantas mengambil kesempatan.
Kemudian kita juga yang kecewa dan berang dengan anak.

Kadang-kadang anak bukannya sengaja. Ada yang berbeza daripada anak-anak lain. Mereka perlu bantuan pakar seperti terapis, psikologis atau psikiatris untuk membantu mereka supaya lebih tenang dan teratur. Di sini juga kita perlu

1) Sabar
2) Konsisten
3) Pengulangan

dalam memberi sokongan dan bimbingan kepada anak-anak ini.

Sebarang perubahan tidak akan berlaku semalaman.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect