Bagaimana Melahirkan Anak Yang Jujur?

Berita sebegini selalunya tidak menjadi bahan tular mungkin kerana ketiadaan elemen emosi, sensasi dan provokasi padanya.

sinarjujur

Walau bagaimanapun ia adalah bahan dan teladan yang baik yang boleh digunakan oleh ibubapa, guru-guru, ustaz dan ustazah untuk mendidik anak-anak tentang erti kejujuran.

Membaca berita ini mengingatkan saya pada satu eksperimen sosial yang pernah saya kongsikan di beberapa sesi keibubapaan sebelum ini.

Apakah yang menyebabkan anak-anak muda ini memulangkan wang yang dijumpai?
Kenapakah mereka tidak tergoda dengan wang sebanyak itu?
Salah satu komen yang ditinggalkan mempersoalkan adakah wang dipulangkan kerana adanya CCTV di situ?

KISAH EKSPERIMEN DOMPET HILANG.

Pada tahun 2001, majalah Reader’s Digest telah menjalankan sebuah eksperimen sosial yang dikenali sebagai “The Lost Wallet Experiment”. Eksperimen ini melibatkan bandar-bandar kecil dan besar di Amerika Syarikat, Amerika Latin, Eropah, Asia (termasuk Malaysia), Canada, Australia, dan New Zealand.

Dalam eksperimen ini, 1100 buah dompet dengan sengaja ditinggalkan di merata-rate tempat seperti di tepi jalan, di pondok telefon, di hadapan bangunan, di pasaraya, di tempat beribadat, kawasan parkir dan restoren. Dompet-dompet itu berisi wang $50 mengikut matawang negara yang terlibat. Identiti ‘pemilik’ dompet bersama alamat dan nombor telefon juga diselitkan dalam setiap dompet.

Dari jumlah dompet yang sengaja ditinggalkan itu,

56% dompet telah dipulangkan oleh mereka yang jujur di negara-negara terbabit.
44% lagi mungkin dianggap ‘tuah’, ‘luck’, ataupun mungkin juga dianggap ‘rezeki’, maka disimpan oleh individu yang menjumpainya.

Norway dan Denmark mengungguli eksperimen ini dengan 100% dompet dipulangkan kepada ‘pemilik’ dompet.

Bagaimana pula respon rakyat Malaysia pada tahun 2001 dahulu?
50% dari jumlah dompet telah dikembalikan di Malaysia.

KENAPA MEREKA JUJUR? 
(PANDUAN UNTUK IBUBAPA DAN GURU)

Apabila ditanya kepada individu-individu jujur dalam eksperimen ini akan sebab mereka memulangkannya, respon mereka dapat disimpulkan kepada tiga faktor

FAKTOR UTAMA: IBUBAPA.

Seperti yang dijangka, dalam apa jua perbincangan yang melibatkan akhlak dan tingkah laku, ibubapalah yang bertanggungjawab menjadi guru pertama.

Ramai yang mengembalikan dompet kerana mereka mempelajari tentang kejujuran daripada ibubapa mereka. Dari kecil lagi mereka melihat sifat ini diamalkan oleh ibubapa. Ibubapa mereka juga memupuk sifat jujur itu dalam diri mereka.

Seorang anak kecil yang menjumpai dompet tersebut di sebuah taman di Seattle menyerahkan dompet kepada ayahnya. Ayahnya kemudian menasihati anak kecil itu agar memulangkan dompet kepada tuannya dan mereka bersama-sama mencari alamat ‘pemiliknya’.

Ini adalah satu contoh bagaimana kejujuran dipelajari daripada ibubapa.
Bukankah ibubapa guru pertama anak?
Bukankah rumah adalah sekolah pertama anak?

Sebagai ibubapa, jika kita melihat ketidakjujuran pada anak kita, muhasabahlah diri kita terlebih dahulu.
Adakah sifat jujur menjadi amalan kita?
Adakah sifat jujur ditanamkan pada diri anak-anak?
Apabila kita menjumpai sesuatu di tempat awam yang bukan milik kita adakah kita mengambil, menyimpan dan menggunakannya tanpa rasa bersalah? ataupun
Adakah kita berusaha untuk mencari pemiliknya atau membawanya ke balai polis?

Dalam eksperimen yang sama di Thailand, seorang kanak-kanak lelaki yang membeli belah bersama ibu dan adiknya menjumpai dompet tersebut lalu menyerahkan kepada ibunya. Ibunya dilihat dengan pantas menyumbat dompet ke dalam tas tangannya dan terus meluru menaiki bas.
Berita tentang dompet itu tidak didengari lagi.

Apakah yang dipelajari oleh kedua beradik tersebut?

FAKTOR KEDUA: PEGANGAN AGAMA

Di Malaysia, salah seorang individu yang memulangkan dompet adalah seorang peniaga gerai buah-buahan di Kajang. Apabila ditanya, dia memberitahu bahawa dia memulangkan kerana sebagai seorang Muslim dia perlu mengawal dirinya dari mengambil sesuatu yang bukan miliknya.
Bukankah begitu ajaran Islam?

Selain itu, individu yang memulangkan dompet di negara-negara yang terlibat juga terdiri daripada penganut agama Buddha dan Kristian yang berpegang teguh kepada ajaran agama masing-masing. Mereka meletakkan kejujuran sebagai sifat penting yang harus dimiliki oleh penganut agama mereka.

Walau bagaimanapun di Mexico terdapat juga individu yang kelihatan seperti kuat pegangan agamanya dari tindak-tanduk dan penampilannya, mengambil dompet tanpa memulangkan dompet yang dijumpai.

Persoalannya sejauh manakah pegangan dan kepercayaan agama kita menghalang kita dari bersifat tidak jujur?
Sejauh manakah kita menerapkan dalam diri anak-anak tentang akhlak yang dituntut dalam agama?
Atau adakah sebagai seorang yang beragama kita bersikap acuh tidak acuh dengan apa yang menjadi tuntutan?

FAKTOR KETIGA: EMPATHY

Sejauh mana kita berupaya untuk meletakkan diri kita di tempat orang lain?
Sejauh manakah kita dapat memahami apa yang dirasakan oleh orang lain?
Sejauh manakah kita dapat membayangkan bagaimana susahnya jikalau kita kehilangan dompet?

Ramai yang memulangkan dompet yang dijumpai kerana mereka meletakkan diri mereka di tempat individu yang kehilangan dompet tersebut.
Mereka mempunyai ’empathy’.

Di Switzerland, salah seorang individu yang memulangkan dompet adalah pelayan restoren berbangsa Albania. Dia merupakan seorang rakyat Kosovo yang berjaya melarikan diri dari peperangan yang berlaku pada tahun 1990an. Walaupun kehidupannya sukar, dia memulangkan dompet tersebut kerana dia faham betapa susahnya bekerja untuk mendapatkan wang sejumlah itu.

Beberapa individu yang memulangkan dompet pernah kehilangan dompet pada suatu masa oleh itu mereka faham bagaimana perasaannya apabila kehilangan.

Itulah empathy yang seharusnya dipupuk di rumah dan juga diajarkan di sekolah-sekolah supaya ia menjadi satu budaya dalam masyarakat.

FAKTOR KEEMPAT: BUDAYA

Dalam satu kupasan yang dibuat oleh Thomas Lickona dalam buku ‘Character Matters’, beliau berpendapat bahawa budaya setempat juga memainkan peranan penting dalam pembentukan sifat jujur ‘Lost Wallet Experiment’ ini.

Penduduk di Negara Scandinavia seperti Norway, Denmark dan Finland terkenal dengan karakter positif yang dimiliki oleh mereka. Apabila karakter positif menjadi satu tabiat, maka ramai yang akan memaksa diri untuk turut sama mengamalkannya sehingga menjadi satu budaya. Karakter yang positif akan mudah ‘berjangkit’, begitu juga yang negatif. Oleh itu terpulanglah kepada kita budaya yang bagaimanakah yang hendak kita tularkan dalam masyarakat.

“Lost Wallet Experiment” ini dijalankan sekali lagi oleh majalah Readers Digest pada tahun 2013. Kali ini ia melibatkan 16 buah bandar di seluruh dunia. Dalam eksperimen kali ini, Finland berada di tangga teratas dengan 92% dompet dikembalikan.

Kata seorang rakyat Finland:
“We are a small, quiet, closely-knit community. We have little corruption, and we don’t even run red lights.”

“We don’t even run red lights” – jauh lagi perjalanan kita nampaknya.

Syabas diucapkan kepada anak muda di Kuala Kangsar, Perak yang dipaparkan dalam berita Sinar Harian ini.
Walaupun berita ini hanya berita daerah, amalan yang positif begini patut ditularkan dan mendapat tempat dalam laporan berita di media cetak, elektronik dan media sosial supaya ia menjadi ikutan seluruh rakyat Malaysia.

Terlalu banyak bahan tular yang menyesakkan dada sekarang ini sedangkan yang positif juga banyak namun kurang mendapat tempat.

Tularkan kebaikan supaya ia berjangkit.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

6 Karakter Anak Yang Perlu Dikenalpasti Dan Dipandang Tinggi

Kadang-kadang kita terlalu ghairah dan tertekan untuk membentuk anak kita mengikut acuan yang kita idamkan sehinggakan kita terlepas pandang ciri-ciri unik yang sudah sedia ada dimiliki oleh anak kita.

Kelebihan dan kekuatan seorang anak bukan hanya terletak pada kepandaian, skil dan bakat sahaja, memiliki karakter yang positif juga adalah satu kelebihan dan kekuatan seorang anak.

Dalam satu kajian yang dibuat oleh Park, Peterson dan Saligman dan diterbitkan dalam Journal of Positive Psychology pada tahun 2006, didapati bahawa terdapat 6 karakter yang perlu dikenalpasti dan dipandang tinggi dalam masyarakat (dan juga keluarga) kerana ia juga adalah kelebihan dan kekuatan yang boleh membawa manfaat kepada individu yang memilikinya dan juga masyarakat di sekelilingnya.

Karakter tersebut adalah:

1) Keberanian (Courage)
2) Kemanusiaan (Humanity)
3) Kebijaksanaan (Wisdom)
4) Keadilan (Sense of Justice)
5) Kawalan Diri (Self control)
6) Tidak penting diri

character

Pupuklah anak-anak dengan karakter yang disebut di atas. Jika anak sudah pun memilikinya, lihatlah ia sebagai satu kelebihan dan kekuatan pada anak. Salurkan karakter tersebut ke jalan yang sepatutnya supaya anak tahu yang dia bernilai dan berharga walaupun anak mungkin tidak memiliki kepandaian, skil atau bakat seperti anak-anak yang lain.

 

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Tadika Manakah Untuk Anak Saya?

Ramai yang bertanya saya tadika yang bagaimanakah yang harus dipilih untuk anak masing-masing. Tadika jenama A kah, jenama B kah, jenama C kah yang saya rasa baik untuk anak mereka?

tadika

Kredit Gambar: Google

Ketika saya pulang dari Melbourne 14 tahun dahulu dan mencari pra sekolah untuk anak yang akan memasuki pra sekolah, saya dan suami mempunyai satu kriteria penting yang kami cari iaitu

‘Adakah tadika tersebut memberi ‘homework’ kepada pelajarnya untuk disiapkan di rumah?’

Kami bertanya soalan tersebut kepada Pengetua ketika melawat sebelum memilih.
Bagi kami, anak kecil usia pra sekolah tidak seharusnya ada ‘homework’ kerana itu adalah satu bentuk tekanan yang tidak wajar diberikan kepada kanak-kanak dan tidak langsung membantu perkembangan kanak-kanak usia tersebut.

Itu kriteria kami 14 tahun lalu.
Setiap orang mempunyai kriteria yang berbeza.

Oleh itu kepada ibubapa yang bertanya tadika jenama manakah yang harus mereka daftarkan anak mereka, jawapan saya adalah

“Apakah yang kamu mahukan untuk anak kamu?”

Setiap ibubapa perlu tahu apa matlamat masing-masing tanpa perlu mengikut dan meniru orang lain.
Untuk menetapkan matlamat, ilmu itu penting.
Apabila sudah ada matlamat dan kriteria yang dicari, kekallah dengan prinsip tersebut. Jangan mahu A tapi cari B.

Apabila ibubapa keliru, pelbagai tekanan akan kita berikan kepada anak kerana kita mahukan kesemuanya, bukannya kerana kita faham perkembangan kanak-kanak.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Setiap Perubahan Mengambil Masa

Untuk anak mempelajari sesuatu yang baru, mengubah yang lama dan pclogomemperkukuhkan yang baru tidak berlaku semalaman. Fokuskan pada kejayaan kejayaan kecil ke arah usaha untuk berubah kerana ia akan akhirnya semakin menggunung.

Sabar dan jangan tergopoh – gapah mahu melihat perubahan serta-merta.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Marshmallow Test

Anak anda menjerit-jerit di pusat membeli belah kerana mahukan juga mainan yang dilihatnya. Kerana malu diperhatikan oleh orang sekeliling dan kerana hendak mendiamkan anak, anda mengalah dan belikan juga mainan tersebut untuk anak.

Anda sedang bersiap-siap untuk makan malam, anak kecil anda merengek kerana mahukan aiskrim dalam peti sejuk. Anda memujuknya untuk makan malam terlebih dahulu barulah boleh makan aiskrim sebagai pencuci mulut. Anak anda berterusan merengek dan terus menjerit kerana mahu juga aiskrim tersebut. Disebabkan rimas dengan jeritan anak, anda mengalah dan berikan juga aiskrim. Anak akhirnya ‘kenyang’ dengan aiskrim dan tidak makan makanan yang sepatutnya.

Adakah anda biasa dengan situasi ini?

Tahukah anda konsisten dan berpegang teguh dengan kata-kata dan peraturan yang telah anda tetapkan dan biarkan anak menunggu jika mahukan sesuatu adalah skil yang sangat penting diterapkan sewaktu anak masih kecil?

Ini adalah berkaitan dengan kawalan diri (self control) dan kepuasan tertunggak (delayed gratification) anak anda.


 

Pada tahun 1960an dulu, sebuah kajian yang dikenali sebagai “Marshmallow Test” telah dijalankan oleh seorang pakar psikologi terkenal, Walter Mischel, dari Stanford University” Amerika Syarikat untuk mengkaji kawalan diri kanak-kanak peringkat pra sekolah. Kajian ini berterusan selama berpuluh-puluh tahun.

marshmellowtest

Dalam eksperimen ini, setiap kanak-kanak dihidangkan dengan sebiji ‘marshmallow’ yang diletakkan di hadapan mereka. Kanak-kanak yang berjaya mengawal diri dari memakan marshmallow tersebut dalam jangkamasa 20 minit yang ditetapkan akan diberikan sebiji marshmallow tambahan sebagai ganjaran. Kanak-kanak ini ditinggalkan keseorangan dalam bilik bersama ‘marshmallow’ tersebut. Ada kanak-kanak yang tidak dapat menunggu dan ada yang sabar menunggu dan mendapat ganjaran yang dijanjikan.

Dalam kajian susulan yang dibuat berpuluh tahun kemudian, kanak-kanak “Marshmallow Test” yang mengambil keputusan untuk menunggu supaya mendapat ganjaran seterusnya didapati menjalani kehidupan yang lebih baik sebagai orang dewasa.

Mereka didapati lebih yakin diri, lebih berjaya mengawal diri dan emosi ketika melalui episod kesedihan dan kekecewaan, lebih berjaya dari segi pencapaian akademik, lebih sihat tubuh badan dan lebih berjaya merancang kehidupan mereka. Mereka juga didapati lebih banyak menggunakan bahagian otak yang menjana pemikiran iaitu prefrontal cortex.

Latihlah anak supaya menjadikan kawalan diri sebagai satu gaya hidup. Apabila dilatih, lama kelamaan ia akan menjadi tabiat dan anak tidak akan lagi berguling-guling atau meraung inginkan sesuatu serta-merta. Anak kecil memang sifatnya ‘impulsive’ atau belum boleh kawal diri sepenuhnya, oleh itu mereka perlu dibimbing, dilatih dan diberi peluang, bukannya dibiarkan mengikut keinginan mereka sepenuhnya tanpa batasan.

Antara latihan yang boleh dibuat dengan anak-anak:

  1. Ajar anak untuk menunggu waktu makan dan elakkan beri anak kudapan antara waktu makan.
  2. Banyakkan permainan dan aktiviti yang memerlukan fokus, perhatian, pendengaran dan kesabaran.
  3. Ajar anak untuk menunggu jika inginkan sesuatu, contohnya sesuatu yang diingini boleh dibeli untuk Hari Jadi, Hari Raya dan hari tertentu dan bukannya setiap kali ke pusat membeli belah, walaupun anda tidak ada masalah dari segi kewangan.
  4. Ajar anak untuk beratur ketika menunggu giliran dan bukannya memotong barisan – ini memerlukan anda sebagai ‘role model’.
  5. Latih anak/murid untuk menunggu giliran untuk bercakap dalam kelas dan bukannya memotong percakapan orang lain.
  6. Ajar anak untuk menunggu jika anda bercakap di telefon atau bercakap dengan tetamu atau rakan. Tetapi janganlah mengambil peluang untuk berlama-lama di media sosial ya.
  7. Ajar anak untuk membantu anda membuat kerja-kerja di rumah dan tidak melakukan tugasan untuk anak.
  8. Bacakan buku dan berita yang menceritakan tentang sifat sabar dan kawalan diri.
  9. Ajar anak untuk meluahkan emosi dengan perkataan dan bukannya dengan mengamuk.
  10. Puji setiap usaha anak untuk mencapai sesuatu matlamat, walaupun usaha itu kecil.
  11. Ajar anak melihat jam untuk melatih anak menunggu untuk waktu yang ditetapkan.
  12.  Jadi ‘role model’ kawalan diri dan kepuasan tertunggak yang terbaik untuk anak.

Children See Children Do.

Mungkin anda boleh mencuba ‘marshmallow’, oreo atau M&M test dengan anak anda?
🙂

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Disiplin dan Connection

0-7 tahun bermainlah dengan anak.
8-14 tahun disiplinkanlah anak.

Jika ibubapa rajin meluangkan masa bermain dengan anak ketika anak berusia 0-7 tahun, secara tidak langsung ibubapa juga sedang membina asas untuk peringkat 7 tahun seterusnya.

discipine

Kredit Gambar: Aha Parenting

Disiplin memerlukan ‘connection’ yang kukuh di antara ibubapa dengan anak. Bermain membina ‘connection’ yang diperlukan ini dari peringkat awal lagi.

Apabila ibubapa meluangkan masa bermain dengan anak, anak rasa dihargai, anak rasa ‘connected’.
Apabila ibubapa turun padang bermain seperti kanak-kanak, anak rasa kebersamaan, anak rasa ‘connected’.
Apabila ibubapa mengajak anak merancang permainan, anak rasa yakin diri, anak rasa ‘connected’.
Apabila anak kalah atau pun menang dalam perlumbaan ketika bermain bersama, anak pelajari kelebihan dan kelemahan diri, anak rasa ‘connected’.
Apabila ibubapa tetapkan batasan ketika bermain, anak rasa selamat dan dilindungi, anak rasa ‘connected’.
Apabila ibubapa bergelak ketawa ketika bermain, anak rasa gembira, anak rasa ‘connected’.

‘Connection’ inilah yang membina hormat anak kepada ibubapa dari peringkat awal lagi. Apabila anak hormat kepada ibubapa, anak akan lebih mudah untuk menurut dan mendengar kata ibubapa terutamanya apabila tiba peringkat usia 8-14 tahun. Ini merupakan peringkat usia yang mencabar untuk mendidik anak-anak kerana mereka lebih mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan.
‘Connection’ jugalah yang mengekalkan ‘authority’ ibubapa kerana anak tahu ibubapa peduli.

Begitulah besarnya impak bermain dengan anak kepada proses mendisiplinkan anak.
Oleh itu jika ibubapa menghadapi masalah dalam menguruskan tingkah laku anak, cuba renung kembali ‘connection’ bagaimanakah yang telah dibina dengan anak sejak usia anak 0-7 tahun.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

‘Literate’ Tetapi ‘Aliterate’

Ramai orang dewasa yang boleh membaca (literate) tetapi tidak suka membaca.
Ramai orang dewasa yang boleh membaca tetapi hanya baca ‘headline’ berita atau headline tajuk pada sesuatu penulisan atau blog.
Ramai orang dewasa yang boleh membaca tetapi tidak cuba faham apa yang ditulis dan dibaca.

Rugi jika kita ‘literate’, kadar buta huruf kita rendah atau 0, tetapi ‘aliterate’ seperti ciri-ciri yang disebutkan di atas.

 

aliterate

Petikan dari : “Endangered Minds – Why Children Don’t Think and What We Can Do About It”, Jane M. Healy PhD.

Ramai ibubapa yang panik sebab anak perlu membaca sebelum masuk sekolah rendah.
Maka kita ‘drill’ anak kecil untuk menghadap buku latihan membaca.
Kita ‘drill’ anak kecil paksa anak membaca.
Kita ‘drill’ anak kecil, hantar tiusyen belajar membaca.

Anak perlu faham apa signifikasi simbol yang dilihat dalam buku. Kenapa ada simbol yang berupa bulat, panjang, separa bulat, runcing, bersegi, seperti cacing, dan sebagainya.
Apakah maksud simbol ini?
Anak perlu tahu simbol ini membawa makna (meaning).

Anak kecil perlu faham apa yang dimaksudkan dengan simbol-simbol yang dilihat pada papan tanda, pada kotak/botol minuman, pada bungkusan makanan, pada katalog barangan dan sebagainya.
Semua ini dikenali sebagai ‘environmental prints.’
Simbol ini membawa makna (meaning).
Dedahkan mereka kepada ‘environmental prints.’

Membaca adalah tentang mencari makna (meaning making).

Jika anak tahu simbol-simbol dalam buku itu membawa makna dan menceritakan sesuatu kisah yang menarik, anak akan tertarik untuk membaca kerana ingin tahu apakah makna yang cuba dibawa oleh simbol (perkataan) dalam buku.
Bacakanlah buku untuk anak supaya dia dapat melihat keseronokan makna yang dibawa.

Apabila kita menjadikan pengalaman membaca itu sesuatu yang ‘fun’ dan ‘child centred’, maka anak akan mahu ‘belajar’ membaca tanpa dipaksa (drill).

Jika pengalaman anak ketika kecil tentang ‘belajar’ membaca adalah pahit, anak berkemungkinan menjadi ‘aliterate’ kerana anak tidak faham kenapa dia perlu membaca.
Jika di rumah tiada budaya membaca, tiada ‘role model’, tiada galakan, dia semakin hilang minat untuk membaca.

Rugi jika pandai membaca tetapi tidak suka membaca.

“You have to reach the heart, before you can reach the head” – Carter Bayton.

Noor Afidah Abu Bakar
MA Early Childhood Education

 

“Ada Peraturan Atau Tidak Di Rumah?”

“Ada peraturan atau tidak di rumah?”

Inilah soalan yang sering saya tanya apabila ada ibubapa yang meminta pandangan tentang anak yang sukar dikawal.

Ada ibubapa yang mengangguk dan ada yang menggeleng apabila ditanya.

rules

Mungkin peraturan itu bunyinya keras dan menghukum, jadi ada ibubapa yang kurang selesa mengadakan peraturan.
Ada yang takut peraturan akan mematikan semangat dan membunuh kreativiti dan sifat meneroka pada kanak-kanak.
Tambahan lagi di sekolah sudah banyak peraturan, guru pula ramai yang garang, jadi ramai yang merasakan anak-anak perlu diberi kebebasan mutlak di rumah supaya mereka lebih ‘chill’ dan ‘relax’.
Bagi yang tidak banyak masa untuk diluangkan dengan anak pula, mereka lebih suka gaya keibubapaan yang permisif tanpa peraturan kerana ingin mengelakkan konflik dengan anak.

Takut anak sentap.
Takut anak merajuk.
Takut anak berkecil hati.

Jika ‘peraturan’ dikaitkan dengan hukuman, kemarahan, kritikan, dan konflik, maka peraturan itu akan dilihat sebagai sesuatu yang negatif.

“Parenting is not to decide what to do when children step outside the boundary. Parenting is to guide children on how to live within the boundary.”

Anak-anak memerlukan had dan batasan untuk memastikan mereka ‘safe and secure’ untuk terus meneroka dan mencapai potensi diri. Tanpa had dan batasan – peraturan – mereka akan membuang masa tercari-cari ruang yang selamat kerana persekitaran mereka tidak dapat dijangka (unpredictable). Perasaan ‘safe and secure’ ini penting untuk proses pembelajaran dan latihan untuk menghadapi kehidupan bermasyarakat.

BAGAIMANA MEMBINA PERATURAN DI RUMAH?

Faktor paling penting yang perlu ada untuk menggubal peraturan dalam rumah adalah kerjasama antara kedua ibubapa.

Langkah pertama untuk menggubal peraturan adalah kedua ibubapa duduk berbincang tentang aspek yang memerlukan peraturan di rumah. Seeloknya peraturan itu digubal sebelum sesuatu masalah timbul. Oleh itu ibubapa perlu peka akan perkembangan anak, persekitaran anak dan pengaruh dalam hidup anak.

Adakah perlu peraturan berkaitan penggunaaan teknologi?
Adakah perlu peraturan berkaitan waktu tidur?
Adakah perlu peraturan berkaitan kerja sekolah?
Adakah perlu peraturan berkaitan rutin seharian?
Adakah perlu peraturan berkaitan menonton tv?
Adakah perlu peraturan berkaitan waktu makan?

Setiap keluarga mempunyai masalah dan cabarannya yang tersendiri, oleh itu terserah kepada ibubapa untuk menentukan aspek dalam keluarga yang memerlukan peraturan.

Nilai dalam setiap keluarga adalah berbeza-beza.
Jika satu hari nanti anak bertanya “Kenapa di rumah kawan boleh, di rumah kita tidak boleh?”.
Terangkan kepada anak kenapa ‘keluarga kita’ memerlukan peraturan tersebut.
Terangkan tentang nilai keluarga kita.

Contohnya sebelum memberi keizinan untuk anak menggunakan internet, ibubapa perlu tetapkan:

-Bilakah penggunaan internet dibenarkan,
-Berapa lamakah ia boleh digunakan,
-Bagi tujuan apakah internet itu boleh digunakan.

Jika anak mengikut peraturan untuk sesuatu jangkamasa apakah ganjaran yang akan diberikan – ganjaran tidak semestinya bersifat material.

Jika melanggar peraturan, apakah akibat (consequence) terhadap yang melanggar peraturan?

Semua ini perlu ditetapkan terlebih dahulu.
Selepas berbincang, ibubapa perlu menyampaikan kepada anak apakah peraturan tersebut dan kenapakah ahli keluarga memerlukan peraturan tersebut.

Ada juga peraturan yang fleksibel mengikut tahap perkembangan atau usia anak.

Contohnya anak yang bersekolah menengah boleh tidur lewat kerana banyak ulangkaji atau kerja sekolah yag perlu disiapkan.
Anak pra sekolah tidak ada kerja sekolah (sepatutnyalah) maka perlu tidur awal supaya anak tidak membuang masa dengan gajet atau menonton TV sahaja.

“RUMAH SAYA ADA PERATURAN TETAPI ANAK TIDAK IKUT. KENAPA?”

Anak tidak ikut peraturan kerana,

1) Ibubapa tidak konsisten.
Peraturan hanyalah hangat-hangat tahi ayam sahaja. Anak tahu ibubapa tidak serius. Jika ibubapa tidak serius tentang nilai, anak-anak juga tidak peduli tentang nilai dan peraturan.
Kita perlu konsisten sehinggalah amalan menjadi tabiat dan tabiat kemudiannya menjadi nilai yang dibawa sampai bila-bila.

2) Apabila anak ikut peraturan, tidak ada apa-apa respon daripada ibubapa.
Tiada pengakuan, tiada senyuman, tiada pujian, tiada ganjaran.
Anak jadi malas dan bosan.

3) Apabila anak tidak ikut, tidak ada apa-apa respon daripada ibubapa.
Tiada ‘consequence’, tiada implikasi kerana tidak ikut peraturan.
Anak tidak hairan.

Peraturan akhirnya hanyalah satu hiasan yang ‘nice to have’ sahaja.

Apabila anak biasa hidup dalam nilai dan peraturan yang ditetapkan di rumah, anak juga akan mengamalkan nilai dan peraturan dalam masyarakat. Insya Allah.
Bukankah kita ingin melihat masyarakat yang lebih bertamadun?
Mulakanlah dari rumah.

Apakah aspek yang memerlukan peraturan di rumah anda?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Sistem Kehidupan Membentuk Anak-anak Kita

family

Setiap anak dan setiap cabaran yang dihadapi oleh anak adalah disebabkan oleh pelbagai faktor dalam sistem kekeluargaan kita sendiri.

1. Apakah nilai dan amalan di rumah?
2. Apakah rutin seharian di rumah?
3. Ada peraturankah di rumah?
4. Adakah pelukan dan ciuman menjadi kebiasaan?
5. Bagaimana komunikasi antara ibubapa?
6. Bagaimana komunikasi antara ibubapa dan anak?
7. Adakah ibubapa hadir secara fizikal DAN emosi dalam hidup anak?
8. Adakah ibubapa luangkan masa untuk anak?
9. Apakah yang menjadi tontonan dan bacaan di rumah?
10. Adakah anak disaji dengan makanan sihat?
11. Adakah keluarga mengamalkan gaya hidup sihat?
12. Adakah ibubapa kenal betul pembawaan setiap anak?
13. Adakah anak-anak dilayan dengan adil?
14. Adakah kelebihan setiap anak dikenalpasti?
15. Adakah ibubapa mempunyai hubungan yang rapat dengan guru atau penjaga anak?
16. Adakah ibubapa memilih penjaga yang memegang nilai yang sama?
17. Adakah ibubapa peka dengan pengaruh zaman?
18. Adakah ibubapa kenal rakan baik anak?
19. Adakah ibubapa tahu tentang kebaikan dan cabaran teknologi digital?
20. Adakah ibubapa sentiasa berdoa memohon petunjuk dan pertolongan Allah SWT?

Seluruh sistem kehidupan memainkan peranan dalam membentuk anak-anak kita.
Jika kita menghadapi kesukaran dalam keibubapaan, renung dan cari puncanya.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect