Perlukah ‘Paternity Leave’ Yang Panjang? 7 Dapatan Kajian

Pendapat bahawa hanya para ibu yang perlu ambil peduli tentang anak-anak sudah ketinggalan zaman. Keterlibatan para bapa secara aktif dalam penjagaan anak-anak pada zaman sekarang sudah tentu memerlukan sokongan oleh semua pihak, terutamanya untuk para bapa yang bekerja.

pat

Peranan yang dimainkan oleh seorang bapa pada tahun 1950an amat berbeza berbanding dengan peranan bapa abad ke 21 ini. Jadi tidak hairanlah jika Akta Pekerja 1955 tidak langsung menyebut tentang ‘paternity leave’. Imej seorang bapa pada zaman dahulu lebih bersifat ‘authoritarian’ – diam dan berkata-kata secara serius atau hanya apabila marah – berbanding imej ‘authoritative’ sekarang – lebih terbuka untuk berbincang tetapi masih tekankan pada emosi dan tingkah laku. Zaman sudah berubah, persekitaran anak-anak zaman sekarang membesar juga semakin berubah. Cabaran zaman digital ini di mana ramai kedua ibubapa keluar bekerja memerlukan penglibatan ayah juga dalam membesarkan anak-anak dan bukan hanya tanggungjawab ibu seorang.

1) Majalah Economist pada May 2015 melaporkan bahawa para bapa yang mengambil paternity leave selalunya akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam tugas penjagaan anak-anak. Penglibatan yang sebegini sudah tentunya meringankan beban fizikal dan emosi yang ditanggung oleh ibu yang baru bersalin.

2) Sebuah kajian yang dibuat oleh Dr. Jennifer Baxter dari The Australian Institute of Family Studies tentang para bapa di 4 negara maju iaitu Amerika Syarikat, Australia, Britain dan Denmark mendapati bahawa para bapa yang mengambil ‘paternity leave’ tidak kisah malah ringan tulang untuk menyuap makanan, memakaikan anak pakaian, memandikan dan bermain dengan anak walaupun ‘paternity leave’ tersebut sudah berakhir. Para bapa dari Denmark didapati lebih aktif. 77 % daripada mereka bermain dengan anak-anak mereka. Saya yakin para bapa di Malaysia pun boleh mengatasi peratusan ini. Insya Allah.

3) Di Britain pula para bapa yang meluangkan masa untuk bersama-sama menjaga bayi didapati lebih berkecenderungan untuk bacakan buku untuk anak kecil mereka. Untuk pengetahuan semua, konsep ‘read aloud’ atau bacakan buku untuk anak (bukannya ajar anak membaca ya) adalah aktiviti yang sangat efektif untuk memupuk minat membaca pada anak-anak. Apa gunanya pandai membaca tetapi tidak suka membaca. Ini bukan hanya tugas guru di sekolah, peranan lebih besar perlu dimainkan oleh ibubapa.

4) Sebuah kajian di University of Oslo, Norway mendapati bahawa ‘bonding’ antara bapa dan bayi yang baru lahir akan mewujudkan ‘connection’ yang berpanjangan dan berkekalan dengan anak tersebut. Connection ini sangat penting untuk melahirkan seorang individu yang boleh menyumbang secara positif dalam masyarakat.

5) ‘Paternity leave’ ini didapati membantu prestasi anak-anak di sekolah menengah. (Kajian 4 di atas).

6) Anak perempuan terutamanya didapati berkembang dan membesar dengan lebih positif apabila figura bapa meluangkan masa untuk terlibat dalam penjagaan anak ketika anak masih bayi. Di hujung artikel oleh Astro Awani ini menyebut, “Mengikut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Norway direkodkan sebagai negara paling banyak memberikan cuti bersalin bergaji untuk bapa iaitu 112 hari.”

7) Kajian yang dibuat di Oswaldo Cruz Foundation, Brazil pula mendapati bahawa bapa yang terlibat dengan penjagaan dan proses membesarkan dan mendidik seorang anak dari bayi lagi didapati sangat kurang terlibat dengan penderaan seksual anak – atau sumbang mahram dalam istilah Melayu dan kurang terlibat dengan keganasan rumahtangga atau penderaan terhadap isteri.

Selama lebih 62 tahun fokus kita di Malaysia lebih tertumpu pada ‘maternity leave’. Sudah tiba masanya kita memberi penekanan yang serius kepada ‘paternity leave’ juga kerana ia bukan sahaja bermanfaat buat ibu yang bersalin, ia juga mempunyai kesan yang besar dan berpanjangan pada perkembangan anak, masyarakat dan negara secara umumnya.

Walau bagaimanapun penglibatan para bapa yang aktif sebegini hanya boleh berlaku jika paternity leave ini turut sama disokong oleh majikan, kerajaan dan masyarakat secara umumnya kerana ekonomi keluarga juga harus difikirkan tambahan lagi apabila anak semakin bertambah.

Oh ya, janganlah pula gunakan paternity leave yang panjang dan bergaji itu untuk meliar mencari ‘ibu tiri’ bagi anak yang baru lahir ya. Gunakanlah peluang itu untuk bonding bersama isteri, bayi dan anak-anak yang lain kerana itulah peranan seorang ayah yang mithali. Sudah banyak kisah negatif sebegini yang sampai ke pengetahuan saya.

Bacalah artikel penuh Astro Awani ini di link ini.

 

Yang menyokong cadangan ‘paternity leave’ yang panjang,
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practive UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Adik Natasha Qisty dan Sindrom ‘Tall Poppy’

Sudah lama saya mendengar tentang Sindrom ‘Tall Poppy’ yang sering diperkatakan di Australia ketika saya tinggal di sana lebih kurang 15 tahun lalu. ‘Tall poppy’ adalah bahasa slanga di Australia yang merujuk kepada orang yang berjaya.

Hari ini kita menyaksikan bagaimana Sindrom Tall Poppy ini berlaku di negara kita sendiri apabila adik Natasha Qisty Mohd Ridzuan yang memperolehi keputusan cemerlang 9A+ dalam peperiksaan SPM 2016 dikecam dengan hebat oleh segelintir netizen kerana penampilannya. Wajarkah?

 

tallpoppy

Saya difahamkan adik Natasha menutup akaun media sosialnya kerana menjadi mangsa pembuli siber.

Ada dua isu di sini sebenarnya

1) Sindrom Tall Poppy
2) Buli siber (Cyber bullying).

Sindrom Tall Poppy (STP) ini bukanlah isu orang Melayu sahaja. Sindrom ini juga dikenali sebagai ‘The politics of envy’. Ia berkaitan dengan psikologi dan tingkah laku manusia yang tidak boleh melihat orang berdiri lebih tinggi daripadanya dan tidak senang melihat adanya ‘tall poppies’. Orang yang berjaya akan diperlekehkan dan dibuli dengan kecaman-kecaman yang tidak berasas dan tiada kena mengena dengan kejayaan yang mereka capai.

Artikel ini mendedahkan bahawa ada pelajar di Australia dibuli secara fizikal dan verbal sehingga mengalami gangguan mental dan emosi yang berpanjangan.
Adalah juga menjadi lumrah apabila dua ‘tall poppies’ dibanding-bandingkan oleh pengidap sindrom untuk membuktikan kebenaran hujah mereka yang tidak tercapai dek akal itu.

APA MASALAH PENGIDAP SINDROM TALL POPPY?

Menurut kajian yang dibuat di Flinders University of South Australia dan diterbitkan oleh Australian Journal of Psychology pada tahun 1989, mereka yang mengalami STP ini terdiri daripada mereka yang tidak meletakkan prioriti yang tinggi pada aspek kejayaan tersebut. Dalam konteks ini, mereka yang membuli adik Natasha tidak menjadikan akademik sebagai prioriti mereka sebelum ini.

Dalam kajian tersebut juga didapati STP ini banyak dihadapi oleh mereka yang mempunyai percaya diri (self esteem) yang rendah. Mereka merasa inferior. Percaya diri yang rendah boleh berlaku apabila kayu ukur yang digunakan untuk mengukur kelebihan seseorang adalah terlampau sempit. Ia bermula apabila orang dewasa hanya memfokuskan pada kelemahan anak, dan menghukum kelemahan tanpa mempunyai inisiatif dan keinginan untuk melihat pada kelebihan seseorang anak itu. Individu ini akan membesar sebagai seorang yang akan meneruskan tradisi yang sama.

Mereka mencapai kepuasan dengan merendah-rendahkan orang lain supaya ‘tall poppy’ ini berdiri sama rendah dengan mereka. Kelakuan yang sebegini akan mengurangkan kekecewaan mereka dengan diri mereka sendiri. Mereka lebih merasa puas jika dapat menyebarkannya kepada orang lain – di alam siber yang ‘public’. Sedih bukan?
Mereka yang mempunyai percaya diri yang tinggi dan yakin dengan kelebihan yang dimiliki selalunya terhindar dari menghidap STP ini.

OLEH ITU :

1) Latihlah diri kita sebagai orang dewasa untuk melihat kelebihan yang dimiliki oleh seseorang anak dan pelajar supaya mereka juga berupaya untuk melihat kelebihan dan kejayaan orang lain tanpa iri. Allah itu Maha Adil, setiap anak mempunyai kelebihan masing-masing. Cari kelebihan tersebut, raikan kelebihan tersebut dan gunakan kelebihan tersebut bagi membantu mereka mengatasi apa saja kelemahan yang mungkin mereka miliki kerana manusia itu sifatnya tidak sempurna. Jangan menggunakan kelemahan seorang anak untuk menidakkan kelebihan mereka.

2) Latihlah anak-anak untuk mengagumi dan meraikan kelebihan rakan-rakan dan percaya bahawa mereka juga mempunyai kelebihan yang tersendiri.

3) Bimbinglah juga anak-anak supaya menjadi seorang yang berhemah dan bertanggungjawab di alam siber.

Selepas ini setiap kali apabila kita menyaksikan buli siber berlaku terhadap mereka yang berjaya dalam bidangnya seperti adik Natasha Qisty, tahulah kita bahawa ini adalah SINDROM TALL POPPY.

Tahniah diucapkan kepada semua yang mendapat keputusan peperiksaan SPM 2016 baru-baru ini. Ini adalah satu permulaan. Semoga menjadi individu yang boleh berbakti kepada keluarga, masyarakat dan ummah dengan kelebihan masing-masing.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Padam Papan Hitam Seumpama Orang Gaji?

blackboard

Kredit Imej: Google

Hari ini menjadi viral di media sosial isu pelajar sekarang tidak boleh disuruh padam papan hitam/putih di sekolah kerana mereka seumpama diperlakukan seperti orang gaji.

Dari artikel tersebut, tidak jelas dinyatakan sama ada tegahan itu datangnya daripada pengetua, rakan guru ataupun daripada ibubapa pelajar

Dari pengalaman saya menjadi guru prasekolah, anak-anak peringkat usia awal ini berebut-rebut hendak membantu memadam papan putih. Ada yang sampai merajuk jika tidak terpilih sehingga perlu diadakan sistem giliran padam papan putih.

Kanak-kanak peringkat usia awal sentiasa inginkan ‘approval’ orang dewasa yang dekat dengan mereka iaitu ibubapa dan guru. Mereka gembira jika dapat membantu kerana apabila ibubapa dan guru gembira, mereka merasa ‘loved’ dan ‘belong’. Ini adalah keperluan asas kanak-kanak dan juga seorang individu secara umumnya.

Sifat semulajadi suka membantu lama-kelamaan akan terhakis kiranya anak-anak tidak pernah diberi tanggungjawab. Apabila anak diberi tanggungjawab, anak akan merasa ‘belong’ dalam keluarga kerana anak merasa dirinya berharga dan diperlukan. Semakin dia merasa dirinya diperlukan, semakin dia ingin membantu. Ini bukanlah isu orang kaya atau orang miskin. Saya mengenali seorang anak muda dari keluarga yang sangat berada tetapi juga sangat ringan tulang kerana dari kecil beliau sentiasa digalakkan membantu ibu dengan ‘chores’ (kerja rumah). Melakukan semuanya untuk anak (over-parenting) tanpa meninggalkan ruang untuk mereka berdikari menyebabkan anak tiada keinginan untuk membantu kerana mereka tiada skil.

Di sekolah pula, kiranya yang menjadi kayu ukur kejayaan hanyalah jumlah A, pelajar yang tidak mendapat banyak A sukar untuk merasa diri ‘belong’ dalam komuniti sekolah. Bila mereka tidak merasa ‘belong’ dan dihargai, mereka akan menjauhkan diri dari membantu dan mencari rakan-rakan ‘seangkatan’ yang menghargai diri mereka.

Apabila anak-anak lebih ‘connected’ dengan gajet, mereka juga akan semakin ‘disconnected’ dari manusia. Mereka tidak akan tahu bagaimana untuk berinteraksi sesama manusia maka mereka juga tidak tahu yang manusia perlu saling bantu-membantu. Membantu tidak lagi menjadi ‘common sense’ buat anak-anak yang ‘disconnected’ dari dunia nyata ini.

Kesimpulannya berilah anak-anak tanggungjawab di rumah supaya mereka kenal erti tanggungjawab.

Hargailah setiap skil dan kelebihan anak-anak supaya mereka merasa diri bernilai dan dihargai.

‘Connect’ anak dengan dunia nyata dengan ‘disconnect’ mereka dari dunia maya.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Buli – Mencegah Adalah Lebih Baik

(Panduan buat ibubapa/penjaga dan guru).

Buli (termasuk ‘violence’ dan ‘aggression’) hanya mendapat perhatian apabila isu sudah menjadi parah. Kebanyakan kes buli melibatkan anak-anak peringkat rendah atas atau pun anak-anak peringkat menengah. Pernahkah kita terfikir bilakah ia bermula?

Peringkat awal kanak-kanak (early childhood) adalah fasa yang paling penting dalam perkembangan karakter anak-anak. Peringkat inilah juga kemungkinan besar lahirnya seorang kaki buli.

Antara faktor penting yang perlu dipantau adalah:

1) Bagaimana layanan ibubapa/penjaga terhadap ahli keluarga, orang sekeliling dan kanak-kanak lain?
Ini akan menjadi contoh teladan kepada anak-anak.

2) Bagaimanakah anak itu sendiri dilayan oleh orang sekeliling?
Ini akan meninggalkan kesan terhadap emosi dan karakter anak.

3) Apakah yang ditonton oleh anak-anak di kaca tv, internet dan youtube?
Ini akan menjadi panduan dan ikutan buat anak-anak.

4) Adakah perkembangan sosio-emosi diberi penekanan di rumah dan sekolah?
Inilah yang akan mendidik anak-anak tentang ’empathy’ iaitu faham perasaan orang lain.

To Prevent Bullying, Focus On Early Childhood

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Trainers Menakutkan Murid Sekolah Rendah Dengan Ular Untuk Mantapkan Jati Diri?

 

Jati diri menurut definisi Dewan Bahasa dan Pustaka adalah

“sifat atau ciri yg unik dan istimewa (dari segi adat, bahasa, budaya, agama dan sebagainya) yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dan sebagainya, identiti: pembinaan negara Malaysia lebih berteraskan kekuatan ~ bangsa dan se­mangat patriotik yang utuh; pengisian program kebudayaan ini penting bagi mem­bentuk sahsiah dan ~ belia masa ini.”

(http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=jati+diri)

Aktiviti untuk memantapkan jati diri tidak seharusnya disalah ertikan dengan aktiviti untuk memantapkan ketahanan fizikal.

Malang sekali kiranya memantapkan jati diri sering dikaitkan dengan aktiviti lasak dan menakutkan ala ‘military boot camp’.

Benarkah semakin ‘ganas’ dan ‘keras’ kaedah yang digunakan oleh trainer, semakin mantap jati diri anak-anak ini?

Atau adakah kaedah ‘ganas’ dan ‘keras’ hanya memberi isyarat kepada anak-anak yang masih mentah ini bahawa ganas dan keras (atau buli) sepatutnya menjadi lambang keperibadian dan identiti kita?

Pemantapan jati diri adalah berkaitan dengan

1) emosi individu yang stabil dan terbimbing
2) ‘strength’ (kelebihan dan kekuatan) individu yang dikenal pasti.

Sebarang aktiviti, termasuklah aktiviti fizikal, hendaklah mengambil kira kedua-dua elemen penting tersebut.

Trauma yang dihasilkan oleh emosi yang tertekan tidak memantapkan jati diri.
Trauma hanya melemahkan dalaman diri dan mengaktifkan ‘flight, fight or freeze’ iaitu tindakbalas asas yang tidak merangsang pemikiran.

Adakah kita mahu menjadikan ‘tidak berfikir’ sebagai identiti kita?

CHILDREN ARE NOT MINIATURE ADULTS

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Adakah Anda Ibubapa Yang Melahirkan Pembuli?

Video pelajar sekolah sedang dibuli ini sedang berlegar-legar di FB sejak semalam. Kita terlalu kerap disajikan dengan video buli di sekolah-sekolah sekarang ini. Saya khuatir kiranya lama-kelamaan masyarakat menjadi ‘desensitised’ (tidak lagi sensitif) dengan isu buli sebagaimana masyarakat kita menjadikan ‘wrestling’ di kaca tv itu satu hiburan dan menjadikan ‘prank’ dan ‘prank calls’ atau panggilan hangit sebagai satu lawak jenaka.

buli

Menurut kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pendidikan, tahun lepas sahaja kes buli di sekolah-sekolah berjumlah sebanyak 3000 kes. Nampaknya buli adalah isu yang sangat serius. Ini tidak termasuk di luar sekolah. Satu kes buli sahaja sudah cukup untuk menunjukkan kerosakan dalam masyarakat, apatah lagi 3000 kes.

Kita sering memfokuskan pada pihak sekolah dan guru yang tidak boleh merotan dan menghukum pelajar yang bermasalah ini. Kita juga sering memfokuskan kepada pelajar dan berharap supaya mereka dimasukkan ke dalam penjara dan rasa bagaimana dibuli oleh banduan yang lain. (Mengharapkan pelajar yang membuli dibuli orang lain adalah satu ironi).

Jangan kita lupa bahawa ibubapa adalah pendidik utama seorang anak. Dalam kes buli sebegini sepatutnya ibubapa juga dibawa ke ‘tengah’.

KAJIAN yang dibuat di University of Warwick pada tahun 2013 mendapati bahawa penerapan ‘problem solving skil’ adalah kaedah yang terbaik untuk mengurangkan kemungkinan anak menjadi seorang buli ataupun menjadi mangsa buli.

Seperti yang saya selalu sebut, problem solving skill bukan hanya untuk subjek matematik sahaja. Problem solving sepatutnya diperluaskan lagi kepada subjek ‘life skill’ di sekolah-sekolah dan di rumah.

Jika berhadapan situasi begini apa yang patut dibuat?
Bila marah, kecewa apa patut dibuat?

Dari peringkat pra sekolah lagi anak sudah menunjukkan keupayaan ‘problem solving’. Usah dimatikan sifat semulajadi ini dengan hanya memfokuskan pada membaca menulis, mengira dan akademik sahaja sehingga melahirkan zombi yang tiada empati.

KAJIAN yang dibuat oleh Batsche dan Knoff pada tahun 1994 mendapati bahawa ibu/bapa kepada anak yang menjadi pembuli mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah yang rendah. Ibubapa ini akan cepat melenting pada provokasi. Anak-anak belajar. Anak-anak meniru.

KAJIAN selama 30 tahun mendapati bahawa keluarga pembuli mempunyai ciri-ciri tersebut:

  1. Ibubapa yang tidak atau kurang terlibat dalam urusan anak-anak.
  2. Mempunyai sedikit atau tiada langsung peraturan dalam rumah untuk membimbing tingkah laku anak. House rules sangat penting.
  3. Jika ada pun, peraturan terlalu rigid dan digunakan untuk menghukum bukan untuk membimbing.
  4. Ibubapa (dan keluarga) tidak terlibat dalam aktiviti masyarakat.
  5. Ibubapa yang berantakan dan tiada harmoni dalam keluarga.
  6. Sikap dan bahasa yang digunakan ibubapa hanya menggalakkan anak menjadi buli secara tidak sedar.

Jika video buli viral lagi di media sosial, ingatlah inilah ciri-ciri keluarga anak yang membuli itu. Bukanlah anak sahaja memerlukan bimbingan, ibubapa juga memerlukan bantuan untuk mengemudi keluarga. Ini bukan isu rotan atau tidak rotan semata-mata.

KBAT, HOTS, problem solving, decision making, rational thinking, critical thinking, taxonomy of thinking, semua ini adalah elemen untuk belajar tentang kehidupan bukan untuk lulus peperiksaan.

Selain itu didiklah juga anak-anak kita menjadi individu yang ‘stand up’ untuk membela kawan yang dibuli. Jangan hanya menjadi pemerhati ‘bystander effect’ dan lebih parah lagi yang menyorak seperti dalam video yang selalu kita tonton.

“It takes a village to raise a child.”

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (UK)
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Tolong! Anak Saya Tidak Pandai ‘Behave’ Di Rumah Orang

Pernah menonton iklan Hari Raya Faber Castell?

behave
Adakah anda menghadapi dilema yang sama dengan anak anda yang tidak diam apabila berkunjung ke rumah saudara mara dan sahabat handai?
Adakah anda menghadapi dilema yang sama sebagai tuan rumah yang panik apabila saudara atau rakan tertentu akan hadir bersama anaknya?

APA YANG PERLU KITA FAHAM? KENAPA ANAK TIDAK ‘BEHAVE’?

  1. Sifat semulajadi anak kecil yang suka ‘play and explore’.
    Naluri mereka memang suka bermain dan meneroka persekitaran sebagai proses untuk belajar.
  2. Mereka cetek dengan pengalaman dan belum faham apakah ‘consequence’ atau kesan dari perbuatan mereka.
  3. Mereka perlukan struktur dan batasan supaya mereka rasa lebih selamat.
  4. Mereka tidak sukakan kejutan (surprises) jadi mereka memerlukan rutin dan panduan.
  5. Attention span atau tumpuan mereka masih rendah.
  6. Mereka perlu dididik tentang Adhab berkunjung ke rumah orang dari kecil lagi.

 

TAHUKAH ANDA

Anak berusia 2 tahun sudah tahu apa yang menggembirakan kita dan apa yang tidak. Mereka sudah faham peraturan.

Anak berusia 4 tahun sudah boleh,

  1. Mengikut peraturan jika dibincangkan.
  2. Mengawal diri dari melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya jika diingatkan.

BAGAIMANA CARANYA?

1) Sebutkan harapan anda dan bincangkan peraturan.

SEBELUM berkunjung ke rumah sesiapa, berceritalah tentang adab berkunjung ke rumah orang. Sebutkan harapan anda kepada anak agar anak ‘behave’ sebaiknya. Ajar anak untuk menghormati tuan rumah dan harta benda tuan rumah.
Contohnya: Elakkan dari melompat atas sofa. Berikan alternatif, jika ingin melompat boleh ke luar rumah.
Elakkan dari mengusik hiasan tuan rumah. Jelaskan kenapa dan bincangkan dengan anak kesan dan akibat.

2) Kanak-kanak tidak sukakan ‘surprises’ oleh itu persiapkan anak dengan apa yang akan berlaku, ‘what to expect’ apabila ke rumah seseorang.

Contohnya:
Di rumah uncle nanti ada baby….
Mak Long tinggal di apartment….
Nanti mungkin ramai orang….
Rumah Cik Su banyak pokok bunga…

Ini akan mengurangkan ‘surprises’ jadi lebih mudah untuk anak ‘behave’ kerana dia tahu apa yang ada di hadapan.

3) Kanak-kanak mungkin belum faham apa yang bahaya, apa yang salah, dan apa yang tidak sesuai, oleh itu berkongsi dengan anak tentang ‘kod rahsia’ antara anda dan anak.

“Jika mama isyaratkan macam ini (tunjuk kod rahsia) maknanya tidak elok buat begitu. OK tak?”. Bincang dengan anak.

4) Mengambil tahu apa ‘kelemahan’ anak anda supaya mudah untuk anda pantau dan ingatkan anak.

Anak bongsu saya ketika berusia 2-5 tahun dulu sangat sukakan benda elektronik seperti tv, dvd player, komputer, suis dan sebagainya. Sebelum ke rumah sesiapa, saya ingatkan dia supaya elakkan dari mengusik peralatan elektronik tuan rumah dan sering memantau dia kerana tahu itu ‘kelemahan’ dia.

Apa ‘kelemahan’ anak anda?

5) Jika anak sudah mula meragam dan kelihatan letih dan mula melanggar semua peraturan yang dibincangkan, ambillah ia sebagai isyarat bahawa anda perlu beri lebih perhatian, tidurkan anak, alihkan perhatian anak dengan sesuatu yang disukainya, atau mungkin pulang ke rumah jika perlu.

Usahlah di’siksa’ anak dan memalukan anak yang tidak dapat lagi mengawal diri mereka kerana keletihan.

6) Feedback

Ketahuilah anak-anak sentiasa ingin menggembirakan kita dan sentiasa inginkan approval kita. Pujilah dengan pujian diskriptif kiranya dia ‘behave’ ketika berkunjung ke rumah saudara-mara dan sahabat handai anda. usahlah hanya marah apabila dia ‘misbehave’.

Ini boleh dijadikan persediaan dan panduan untuk anak berkunjung ke rumah orang lain pula selepas ini.

SEBAGAI TUAN RUMAH
Mungkin saranan dalam iklan ini baik untuk diikuti. ‘Child-proof’ rumah anda supaya tiada yang tercedera.

SELAMAT PULANG KE KAMPUNG HALAMAN MASING-MASING. SEMOGA SELAMAT DALAM PERJALANAN.

Sila share/tag untuk manfaat bersama.

Sila kongsikan pengalaman dan ‘success stories’ anda di ruangan komen.
Terima Kasih.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Apa Anak-anak Kita Boleh Pelajari Daripada Anak Muda Bernama Khairul Idham dan Adam Norrodin?

khairuladam

Bukan hanya tentang menang dan tidak menang. Bukan hanya tentang tempat pertama atau tempat ke-11.

1) Khairul Idham mengajar tentang kepentingan menjadi seorang yang berprinsip. Beliau dengan penuh yakin, tanpa malu dan dengan jati diri yang sangat tinggi, mengelak dari semburan alkohol yang menjadi budaya dalam perlumbaan berprestij tersebut. Walaupun beliau melakukannya dengan penuh senyuman dan gelak ketawa tetapi tindakannya itu tegas mencerminkan prinsip yang dipegang sebagai seorang Muslim. Tidak mudah untuk melakukannya apatah lagi di persada antarabangsa yang ditonton oleh jutaan manusia.

2) Adam Norrodin mengajar tentang ‘determination’. Keazaman beliau mencerminkan ‘self confidence’ dan ‘self esteem’ (nilai/jati diri) yang sangat tinggi dalam diri beliau. Beliau juga meletakkan harapan yang tinggi terhadap dirinya sendiri. Mungkin inilah yang mendorong beliau menolak motosikal ke garisan penamat. Luahan beliau di FB, “Jatuh bukan tanda kalah, jatuh adalah tanda untuk terus ke depan.”

Inilah dua orang anak muda yang selayaknya menjadi ikon dan ‘role model’ kepada anak-anak kita tidak kira kecil atau remaja.

It’s not about winning or losing, it’s about character and attitude.

Noor Afidah Abu Bakar

Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Ibu Berkerjaya vs Ibu Di Rumah

wmvssahm

Kredit Imej: Google

Penulisan saya genap dua tahun yang lalu (2014). Ketika itu banyak isu sosial yang berlegar di media sosial, cetak, dan elektronik. Pada masa yang sama ada penulisan ‘panas’ di media sosial yang menjadi provokasi untuk pertelingkahan. Pertelingkahan yang sebegini sering membuatkan kita hilang fokus dari memikirkan apakah perubahan dan sumbangan yang kita boleh lakukan bersama-sama tidak kiralah walau apa saja status kita.


sahm

Kredit Imej: Google

Pergeseran “Working Mothers vs Stay At Home Mothers” masuk lagi ke ‘newsfeed’ saya. Beribu-ribu komen dilontar kerana masing-masing cuba mempertahankan diri dan pilihan masing-masing. 17 tahun menjadi ibu , saya sudah menyaksikan pergeseran yang sama sesama GEN X dulu di yahoogroup (ya masa itu berforum di yahoogroup). Kini giliran ibu-ibu GEN Y pula bersilat di FB. Aduh!

Ketika kita tidak berhenti-benti bergeser tentang isu ini untuk mempertahankan DIRI SENDIRI, dalam masyarakat kita:

  1. Beribu-ribu pelajar tingkatan 3 tidak tahu mengucap syahadah (kajian JAKIM di Selangor)
  2. Anak berumur 8 tahun ketagih online pornografi di Kuala Lumpur
  3. Kanak-kanak berumur 6 tahun merogol kanak-kanak perempuan berumur 5 tahun di Kedah
  4. Kanak-kanak didera/meninggal di TASKA di seluruh negara
  5. Murid Tahun 3 mengugut akan merogol guru di Melaka
  6. Kanak-kanak berumur 2 tahun dirogol dan dibunuh di beberapa kejadian di seluruh negara.
  7. Anak mati ditinggalkan dalam kereta di seluruh negara
  8. Anak remaja memaki hamun ibu di twitter kerana disuruh solat.
  9. Bayi didera pembantu rumah di seluruh negara.
  10. Remaja (Islam) bunuh diri makin menjadi-jadi.
  11. Anak ditumbuk guru.
  12. Anak mengandungkan anak ayah sendiri (beberapa kes).

Panjang lagi senarainya (sumber dari beberapa akhbar tempatan)

Dari kita bergeser untuk mempertahankan pilihan masing-masing, lebih baik kiranya:

‘WORKING MOTHERS’ fikirkan:

  1. Bagaimanakah masa yang terhad bersama anak-anak dapat dimanfaatkan untuk mendidik anak-anak dengan nilai?
  2. Adakah orang yang kita amanahkan menjaga anak-anak dapat menerapkan nilai yang sepatutnya?
  3. Bagaimana pendapatan yang lebih itu dapat digunakan untuk melindungi anak-anak dari kepincangan masyarakat sekeliling?
  4. Adakah persekitaran yang kita sediakan untuk anak-anak ketika ketiadaan kita kondusif untuk keselamatan dan perkembangan positif mereka?
  5. Adakah kita tahu di mana dan dengan siapa anak-anak kita berada?
  6. Bagaimana kita boleh gunakan kemahiran dan kepakaran kita untuk memperbaiki persekitaran anak-anak kita?

 

‘STAY-AT-HOME MOTHERS’ fikirkan:

  1. Bagaimanakah masa yang lebih bersama anak-anak dapat dimanfaatkan untuk “bonding” seperti sepatutnya?
  2. Adakah kita menjadi sumber nilai yang utama anak-anak ketika mereka berada di rumah bersama kita?
  3. Adakah kita sediakan mereka dengan aktiviti-aktiviti yang membantu perkembangan positif mereka dari segala aspek?
  4. Adakah kita manfaatkan masa kita untuk mewujudkan komunikasi yang positif dengan anak-anak?
  5. Adakah kita yang ‘babysit’ anak-anak ketika di rumah ataupun TV/tablet/komputer?
  6. Adakah kita tahu di mana dan dengan siapa anak kita berada?
  7. Bagaimanakah kita boleh manfaatkan kelebihan dan kemahiran kita untuk memperbaiki persekitaran anak-anak?

Berdiskusilah tentang isu yang lebih konstruktif dan produktif untuk masyarakat, dari bergeser tentang isu yang terlalu bersifat individualistik.

“Tangan yang menghayun buaian juga boleh menggoncang dunia.”

Walaubagaimanapun, PARA BAPA TETAP KETUA KELUARGA dan tanggungjawab yang disenaraikan di atas lebih perlu dan wajib difikirkan oleh para bapa. (YA SILA TAG SUAMI ANDA )

Wallahua’lam. PEACE!

Noor Afidah Abu Bakar

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect