Anak Lelaki Memendekkan Usia Ibu. Benarkah?

boysshortenlife

Dua buah kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari University of Turku, Finland iaitu Helle dan Lummaafound, mendapati bahawa ibu-ibu yang melahirkan anak-anak lelaki mempunyai jangka hayat yang lebih pendek berbanding ibu yang melahirkan anak-anak perempuan..

Jangka hayat ibu-ibu didapati berkurang selama 34 minggu jika mengandung dan melahirkan anak lelaki. Kajian juga mendapati semakin ramai anak lelaki, semakin pendek jangka hayat si ibu.

Jika melahirkan anak perempuan, jangka hayat ibu didapati lebih panjang.

Satu lagi kajian yang dijalankan di Denmark berpandukan data dari tahun 1980-2010 dari Danish National Register pula mendapati bahawa ibu-ibu yang melahirkan anak lelaki lebih berisiko untuk terkena serangan jantung, osteoarthritis, arthritis, barah ovari, barah payudara, diabetis type 2 dan obesiti setelah berusia 45 tahun.

Antara penjelasan yang diberikan oleh Birgitte Hollegaard dari University of Copenhagen tentang dapatan ini adalah

1) Ketika mengandungkan anak lelaki, tubuh ibu memerlukan lebih banyak tenaga ataupun kalori berbanding ketika mengandungkan anak perempuan. Ini menyebabkan ibu lebih berisiko untuk menghadapi masalah kesihatan apabila usia meningkat.

2) Kebanyakan bayi lelaki dilahirkan dengan berat yang lebih berbanding anak perempuan. Ini juga memberi bebanan yang lebih kepada fizikal si ibu.

3) Penghasilan susu ibu untuk anak lelaki juga didapati memerlukan lebih banyak tenaga dari ibu. Walau bagaimanapun dapatan dari kajian ini adalah pelbagai.

Mengandung dan melahirkan anak bukanlah satu proses yang mudah. Trauma yang dialami oleh fizikal, emosi dan mental seorang ibu ketika mengandung dan melahirkan tidak dapat dibayangkan dan tidak dapat diungkapkan.

‘Post partum depression’ juga adalah sebahagian dari trauma ini yang tidak boleh diambil mudah dan dipandang ringan. Ia berlaku tanpa disedari dan tanpa boleh dikawal oleh si ibu.

Para bapa perlu berada di sisi ibu sepanjang masa untuk memberi sokongan. Para bapalah yang perlu menjadi ‘DOULA’ kepada si ibu kerana anak-anak adalah tanggungjawab bersama dari mula kejadian sehinggalah dilahirkan dan dibesarkan.

Anak lelaki ataupun anak perempuan, kedua-duanya adalah ujian walaupun mungkin cabaran yang diberikan adalah berbeza. Hidup, mati, ajal dan maut adalah ketentuan Allah SWT. Walau bagaimanapun kita perlulah berusaha untuk menjaga tahap kesihatan fizikal, emosi dan mental supaya amanah untuk membesarkan dan mendidik anak ini dapat dipikul sebaiknya.
Ini memerlukan usaha bukan hanya diam menyerahkan segalanya kepada takdir tanpa usaha. Dapatkan nasihat pakar tentang kesihatan.

Semoga kita dapat mendidik anak lelaki dan anak perempuan kita menjadi anak soleh dan solehah yang dapat mendoakan kita satu hari nanti.
Semoga kita juga dapat membimbing mereka agar dapat menyumbang kepada keluarga dan masyarakat dengan kelebihan masing-masing, tidak kiralah panjang atau pendek jangka hayat kita di dunia yang fana ini.

Oh ya, kajian-kajian yang dijalankan tersebut juga mendapati walau si ibu melahirkan anak lelaki atau anak perempuan, ia tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas jangka hayat si bapa.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Anak Lelaki vs Anak Perempuan

GentsClub

Tingkah laku agresif atau melawan anak lelaki seringkali disimplistikkan sebagai ‘Boys will be boys’ atau ‘anak lelaki memang macam itu’. 

Ungkapan sebegini tidak membantu untuk mengenalpasti punca sebenar seorang anak bertindak agresif. Ia juga menjadikan orang dewasa lebih bersikap ‘tidak apa’ dan biarkan sahaja sifat agresif kerana disangkakan itu adalah sifat semulajadi seorang anak lelaki. Ungkapan ‘Boys will be boys’ mengakibatkan sifat ganas berterusan sehingga membawa kepada keganasan rumahtangga dan juga penderaan.

Melalui ‘Gentlemen’s Club’ di Thomas E. Kerns Elementary, South Carolina, kanak-kanak lelaki yang datang dari keluarga yang berisiko tinggi (youth at-risk) dibimbing supaya menjadi seorang individu yang berhemah tinggi.

Kanak-kanak ini diajar untuk menghormati orang lain sebagaimana mereka mahu diri mereka dihormati.

Mereka juga diterapkan dengan rasa percaya diri atau ‘self esteem’ supaya mereka sedar bahawa diri mereka juga berharga dan memiliki skil untuk disumbangkan kepada masyarakat sekeliling.

Kanak-kanak yang agresif dan membuli adalah mereka yang memiliki ‘self esteem’ yang rendah dan merasakan diri mereka tidak bernilai.

Mereka juga dilatih dengan sifat bertanggungjawab agar mereka berupaya untuk bertanggungjawab ke atas pembelajaran mereka sendiri dan memiliki ‘self control’ supaya dapat mengawal tingkah laku mereka sendiri.

Mereka juga diajar dengan etika dan adab dalam bermasyarakat mengikut budaya mereka.

Bukankah nilai yang sebegini perlu untuk anak-anak lelaki kita juga walaupun anak kita bukan dari kalangan mereka yang berisiko tinggi?

Anak lelaki atau anak perempuan dilahirkan sama sahaja.
Anak lelaki yang agresif mempunyai masalah dan perlu dibantu sebagaimana anak perempuan yang agresif juga mempunyai masalah dan perlu dibantu.
Kedua-duanya mempunyai kecenderungan yang sama.

Jika anak perempuan dinasihatkan supaya berlemah lembut, anak lelaki juga perlu dinasihatkan supaya berlemah lembut dalam bicara dan tindakan.

Jika anak perempuan diharapkan supaya pandai memasak di dapur dan mengemas, tidak ada salahnya anak lelaki memiliki skil yang sama. Ini tidak akan mengurangkan kelelakian mereka walau sedikit.

Jika anak perempuan diminta untuk berpakaian sopan, anak lelaki juga seharusnya diajar supaya memiliki sifat malu agar tidak bercelana ketat apabila remaja atau dewasa sehingga menyakitkan mata yang terpandang.

Kita bukan sahaja membesarkan seorang anak lelaki, kita juga membentuk seorang lelaki dewasa, seorang suami dan seorang ayah yang baik dan bertanggungjawab satu hari nanti.

Insya Allah.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Artikel berkaitan: https://www.cbsnews.com/…/gentlemens-club-students-life-le…/