Kanak-kanak Yang Agresif

agresif

Kredit gambar: Google

Sekumpulan kanak-kanak lelaki dan perempuan usia pra sekolah dibawa untuk menonton sebuah rakaman video. Video ini memaparkan seorang lelaki dewasa bermain dengan patung yang berisi udara (inflatable doll). 
Dalam video ini, kanak-kanak dapat menonton bagaimana orang dewasa tersebut duduk di atas patung, tumbuk patung di muka, ketuk kepala patung dengan penukul and tendang patung tersebut berulang-ulang kali.

Setelah menonton, kanak-kanak ini dibawa ke bilik bermain yang menempatkan patung yang sama dan pelbagai alat permainan lain lagi. Sebaik sahaja melihat patung tersebut, kanak-kanak yang menonton video tadi didapati telah meniru apa yang telah mereka tonton – mereka mengetuk patung tersebut dengan penukul dan mereka juga menumbuk dan menendang patung tersebut berulang-ulang kali.

Apa yang paling mengejutkan apabila kanak-kanak itu bukan sahaja meniru bulat-bulat apa yang ditonton, mereka juga menggunakan idea baru yang lebih kreatif untuk memukul patung tersebut. Mereka juga bermain dengan cara yang agresif dengan alat permainan lain yang terdapat dalam bilik bermain itu. Tidak ada bezanya sama ada kanak-kanak itu lelaki ataupun perempuan.

Berlari, melompat, memanjat, dan berguling adalah aksi yang normal bagi semua kanak-kanak kerana mereka sedang meneroka keupayaan fizikal mereka. Pergerakan yang sebegini harus digalakkan dengan menyediakan persekitaran yang sesuai dan selamat untuk diterokai.

Walau bagaimanapun, aksi yang agresif ketika bermain seperti menendang, menumbuk, menampar dan mengucapkan perkataan kasar dan kesat bukanlah tingkah laku yang normal bagi kanak-kanak. Kanak-kanak yang sebegini terdedah kepada aksi dan elemen agresif sama ada di rumah, di sekolah, di kejiranan ataupun melalui tontonan di skrin tv, gajet atau konsol permainan.

Jangan terlalu merasa kagum melihat kanak-kanak sebegini dan melabel mereka sebagai gagah, macho atau sado. Mereka sebenarnya lemah dalam menangkis pengaruh yang tidak baik. Salurkan ketangkasan fizikal mereka di saluran yang betul.

Kanak-kanak tidak dilahirkan ganas melainkan mereka diajar untuk menjadi agresif dan ganas. Apabila mereka mula menjadi agresif, mereka akan mendapat idea baru untuk menjadi lebih agresif jika tidak dipantau dan dihalang.

Ramai guru, terutamanya yang sudah lama mengajar, mengadu bahawa kanak-kanak sekarang lebih agresif apabila bermain.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Pasir Gudang Dan Christchurh

Berceritalah kepada anak-anak anda yang sudah memasuki fasa ‘faham’, akan kejadian yang menimpa penduduk di Pasir Gudang.
 
Berdiskusilah dengan anak tentang makna bertanggungjawab, makna etika, makna peduli, makna cakna, makna kesusahan, makna barakah, makna dan kepentingan menjaga nyawa dan alam sekitar.
Buka peluang untuk anak memberi pendapat dan cadangan penyelesaian masalah.
 
Berceritalah juga bersama anak-anak tentang kejadian yang menimpa penduduk Islam yang menjadi mangsa di Christchurch, New Zealand.
 
Berdiskusilah dengan anak tentang makna kemanusiaan, makna hormat-menghormati, makna saling memahami, makna dan kepentingan menuntut ilmu, makna prihatin, makna empati, implikasi dendam, dan implikasi jiwa yang kacau.
Berbincang dengan anak apakah peranan kita sebagai Muslim dan sebagai manusia, dalam menghadapi isu yang sebegini.
 
Perbincangan yang sebegini akan membina ‘connection’ antara kita dan anak-anak dan juga membina akhlak dan karakter anak-anak.
 
Latihlah anak-anak kita supaya menjadi ‘leaders’ dan bukan hanya ‘followers’.
Anak-anak kita akan mewarisi dunia yang kita tinggalkan untuk mereka.
 
Semoga kita dapat menjadi ‘role model’ yang baik untuk anak-anak kita.
 
Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

4 Cara Anak-anak Terpengaruh Dengan Kita Tanpa Kita Sedar

influence

Sebagai ibubapa, kita mempengaruhi pemikiran dan tingkahlaku anak-anak kita melalui 4 cara tanpa kita sedar:

1) TELADAN YANG KITA TUNJUKKAN.

  • Apakah amalan seharian kita?
  • Bagaimanakah ibadah kita?
  • Apakah pekerjaan kita? 
  • Bagaimana karakter kita?
  • Bagaimana kita menangani konflik?
  • Bagimana layanan kita terhadap orang sekeliling?

2) LAYANAN KITA TERHADAP ANAK-ANAK.

  • Adakah kita terlampau bengis?
  • Adakah kita terlampau permisif?
  • Adakah kita tetapkan batasan dan peraturan?
  • Bolehkah kita bergurau dengan anak-anak?
  • Adakah kita melayan minat anak?
  • Adakah kita luangkan masa bersama anak?
  • Adakah kita menjadi rujukan anak bila perlu?

3) STRUKTUR YANG KITA TETAPKAN.

  • Apakah nilai yang kita pegang?
  • Apakah pendirian kita tentang sesuatu isu?
  • Adakah kita seorang yang berpegang pada prinsip?
  • Sejauh mana kita boleh menerima perbezaan?
  • Bagaimanakah tahap toleransi kita?

4) PENDIDIKAN YANG KITA BERIKAN.

  • Apakah ilmu yang kita kongsikan dengan anak?
  • Apakah amalan yang digalakkan dalam keluarga?
  • Apakah arahan yang kita berikan kepada anak?
  • Adakah kita bertukar-tukar pendapat dengan anak?
  • Adakah kita menyelesaikan masalah bersama anak?

Walaupun sampai bila-bila ibubapa bertanggungjawab terhadap anak-anak, akan sampai satu tahap di mana kita tidak punya sepenuh kuasa untuk mempengaruhi anak-anak lagi terutamanya apabila mereka mula meningkat usia.

Anak akan mula dipengaruhi oleh rakan, guru, jiran, media cetak, media elektronik, media sosial, bahan bacaan, youtube, lagu, drama, filem dan pelbagai lagi pengaruh di persekitaran. Apabila tiba tahap ini, pastikan pengaruh kita masih releven dalam kehidupan anak walaupun tidak lagi 100% supaya mereka masih boleh dipandu dan dibimbing apabila melakukan kesilapan.

Sebagai manusia, mereka akan berbuat silap walaupun kita sudah memberikan sebaik mungkin sebagai asas.

Nobody is perfect

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect