ANAK RAMAI: Yang Mana Harus Diberikan Perhatian?

 

Dalam sesi keibubapaan baru-baru ini, kami berbincang tentang peri pentingnya memberi perhatian kepada anak kerana PERHATIAN ibubapa merupakan keperluan penting anak-anak. Walaupun anak sudah meningkat remaja dan boleh menguruskan diri sendiri, mereka tetap inginkan perhatian dan ‘connection’ dengan ibubapa.
Apa yang berlaku sekarang ini, ramai kanak-kanak dihukum disebabkan tingkah laku mereka, sedangkan mereka adalah anak-anak yang ketandusan dan dahagakan perhatian ibubapa yang tidak memahami perkembangan mereka dan sentiasa sibuk untuk meluangkan masa.

anakramai

Kredit gambar: Google

Seorang ibu meluahkan cabaran yang dihadapinya. Katanya,

“Kalau ada anak seorang senang, Puan.
Semua tumpuan boleh diberikan kepada dia.
Semua masa boleh diluangkan dengan dia sahaja terutamanya apabila pulang dari kerja.
Anak saya 4 orang. Yang sulung berusia 13 tahun, yang bongsu 2 tahun. Kadang-kadang 2-3 orang mahukan perhatian dengan serentak. Kalau mahukan perhatian dengan perangai elok ‘ok’ juga, Puan, tetapi ada yang mahukan perhatian dengan cara yang menguji kesabaran.”

Soalan ibu:
Kepada siapa harus diberikan perhatian?


Tidak dapat dinafikan, pulang dari kerja dengan waktu yang terhad ditambah lagi dengan kerja rumah bertimbun yang perlu diselesaikan, adalah waktu yang sangat mencabar bagi ibubapa untuk menguruskan anak-anak yang inginkan perhatian.

Ada masanya tingkah laku yang normal bagi kanak-kanak boleh menjadi sesuatu yang sangat mencabar bagi ibubapa kerana tahap kesabaran dan kewarasan yang ada adalah tipis disebabkan oleh pengalaman di tempat kerja dan sebagainya.
Anda perlu menilai sendiri tahap kesabaran dan kewarasan anda ketika itu kerana ini akan menentukan tindak balas anda terhadap tingkah laku anak.

Di sinilah pentingnya peranan dan kerjasama di antara kedua ibubapa.
Jika ayah lebih tenang berbanding ibu pada ketika itu, maka ayah lebih layak menguruskan ‘huru hara’ yang berlaku di rumah dan memberi peluang untuk ibu bertenang seketika. Begitu juga sebaliknya.

KEPADA SIAPA PERHATIAN HARUS DIBERIKAN?

1) Apabila beberapa orang anak meragam serentak kerana inginkan perhatian, berikan tumpuan kepada tingkah laku BIGGIES terlebih dahulu.

Apakah BIGGIES?
(BIG – besar).

BIGGIES adalah tingkah laku yang
1) membahayakan diri sendiri
2) memudaratkan orang lain di sekeliling ataupun
3) merosakkan harta benda

Tingkah laku BIGGIES boleh berlaku atas pelbagai sebab. Mungkin kerana isu kesihatan, kerana kurang kematangan, kerana inginkan autoriti ataupun kerana sudah lama tagihkan perhatian.

Tingkah laku mencari perhatian yang mempunyai unsur-unsur ini harus diberi perhatian terlebih dahulu kerana ia memudaratkan dan boleh membahayakan jika diabaikan.

Contohnya anak yang melompat atau memanjat di balkoni rumah kerana inginkan perhatian atau anak yang cuba menyakitkan adik kerana tahu ibu akan beri tumpuan ataupun anak yang menghempas pintu bilik berkali-kali kerana mengamuk.

Dalam kita memperbetulkan tingkah laku BIGGIES ini, kita juga secara tidak langsung mendidik mereka menjadi individu dalam masyarakat yang tidak mendatangkan mudarat kepada orang lain dan juga harta benda awam walaupun mereka mempunyai konflik dalaman diri. Sifat Ini harus dipupuk dari dalam keluarga.

Ibubapa juga harus menetapkan PERATURAN DAN HUKUMAN di rumah bagi membendung BIGGIES ini dari berlaku.

2) SMALLIES (SMALL- remeh) atau tingkah laku yang kurang mudarat boleh diuruskan kemudiannya. Antara contoh SMALLIES adalah merengek, meraung atau tantrum tanpa mengeluarkan air mata, ‘mogok lapar’, dan merajuk kerana inginkan perhatian.

TIDAK memberi perhatian pada SMALLIES akan mengurangkan SMALLIES lama kelamaannya kerana anak sedar bahawa ibubapa tidak akan mengalah kepada perkara yang remeh.

Perkelahian di antara adik beradik juga boleh dikategorikan sebagai SMALLIES. Anak-anak perlu dilatih untuk menguruskan konflik sesama mereka dengan sendiri asalkan ia tidak melibatkan peralatan yang membahayakan.

Satu kelebihan mempunyai anak yang ramai adalah, mereka boleh dilatih untuk saling membantu dan mengasuh antara satu sama lain. Ini juga adalah skil yang harus dipupuk.

PERHATIAN BAGAIMANAKAH HARUS DIBERIKAN?

Terdapat 2 jenis perhatian
1) PERHATIAN NEGATIF
2) PERHATIAN POSITIF

PERHATIAN NEGATIF

Pernahkah ibubapa melalui situasi di mana semakin ditegur, semakin dilarang, semakin dibebel, semakin dimarah, semakin anak melakukan perkara yang sama?
Ia seumpama mencurah air ke daun keladi.

Kenapakah begitu?

Sesetengah anak mencari perhatian melalui tingkah laku yang negatif.
Ini dilakukan kerana anak tidak mendapat perhatian ibubapa melalui tingkah laku positif yang dipamerkannya sebelum ini.

Mungkin ibubapa tidak sedar atau mungkin ibubapa hanya fokus pada yang negatif sahaja untuk diperbetulkan.

Ibubapa perlu tahu bahawa PERHATIAN NEGATIF ibubapa adalah satu bentuk GANJARAN dan BUKAN HUKUMAN. Ganjaran akan mendorong anak untuk mengulangi tingkah laku negatif ini kerana dia mendapat perhatian.

Perhatian negatif mengajar anak menjadi manipulatif dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan apa yang dimahukannya walaupun dibebel, dimarah atau dipukul sekalipun.

PERHATIAN POSITIF
Di sebalik kekurangan setiap anak akan ada kelebihan dan kebaikannya.
Jika ibubapa memberikan PERHATIAN POSITIF dengan mencari kebaikan dan kelebihan anak, nescaya semakin banyak tingkah laku positif yang akan ditunjukkan anak kerana tingkah laku tersebut dihargai dan diiktiraf.

Jika selama ini kita boleh berusaha memberi PERHATIAN NEGATIF, maka kita juga boleh berusaha memberi PERHATIAN POSITIF untuk memperbaiki keadaan.

PERINGATAN:

Harus juga diingat, disebabkan kekangan masa dan tenaga, adakalanya kita terlalu fokus kepada anak yang memberi cabaran kepada kita sehinggakan kita mengabaikan anak-anak yang baik dan menurut kata. Berikan juga perhatian dan penghargaan kepada anak-anak ‘baik’ ini kerana pengabaian boleh menimbulkan rasa cemburu, rasa tidak senang dan rasa tidak berpuas hati di kemudian hari.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

 

Konflik Waktu Pagi

Ramai ibubapa yang mengadu bahawa menguruskan anak-anak pada waktu pagi adalah salah satu punca stres yang utama. Stres ini berlarutan lagi apabila terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya sehinggakan lewat tiba di tempat kerja.

Ibubapa selalunya terpaksa menjerit, berleter dan mengugut anak supaya anak bangun, tidak merengek, tidak lenggang lenggok dan dapat bersiap dengan cepat.

Menurut ibubapa lagi apabila berpisah dengan anak untuk ke tempat kerja mulalah mereka merasa bersalah kerana telah berkasar atau memarahi anak dalam keadaan yang penuh emosi dan tergopoh gapah itu.

Adakah anda juga mengalaminya?

 

Snail

Kredit : FB Crafty Morning

Ini adalah masalah sejagat. Ia bukan hanya berputar sekitar anak kecil sahaja. Anak remaja juga memberikan cabaran mereka yang tersendiri apabila tiba waktu bangun pagi.

1) Tahukah anda kanak-kanak memiliki TEMPO YANG BERBEZA dengan orang dewasa. Mereka memerlukan lebih masa untuk betul-betul sedar apa yang sedang berlaku. Beralih dari satu aktiviti ke satu aktiviti pada waktu pagi memerlukan banyak tenaga bagi anak-anak yang bukan ‘morning person’. Memaksa anak yang sebegini supaya bergegas akan menimbulkan lebih konflik pada waktu pagi. Peruntukkan lebih masa (dan juga lebih kesabaran di pihak anda) untuk menguruskan anak yang sebegini. Anak yang paling mudah meragam perlu perancangan masa yang lebih efektif

2) Membuat PERSEDIAAN AWAL sebanyak yang mungkin sebelum tidur pada malam sebelumnya dapat mengurangkan konflik pada waktu pagi.

Siapkan beg sekolah, pakaian sekolah dan sebarang keperluan untuk ke sekolah, tadika atau taska pada sebelah malam. Libatkan anak juga dalam pengurusan kelengkapan peribadi untuk melatih mereka supaya menjadi lebih bertanggungjawab ke atas diri sendiri. Latih anak MENGURUSKAN buku-buku dan jadual waktu mereka SENDIRI bukannya ibu yang siapkan untuk mereka. Tidak perlu menjadi ‘HELICOPTER PARENTS’ yang buatkan semua untuk anak.

3) Anak yang cukup rehat dan CUKUP TIDUR kurang meragam pada keesokan harinya. Pastikan anak mempunyai rutin tidur dan waktu tidur yang tetap. Pastikan anak tidak menonton tv atau sebarang skrin SEKURANG-KURANGNYA SEJAM SEBELUM TIDUR. Pendedahan kepada cahaya biru yang dipancarkan oleh peranti digital atau gajet mengakibatkan otak anak terus aktif dan sukar untuk tidur. Ini akan menyebabkan anak sukar untuk bangun dan memerlukan lebih masa untuk uruskan diri.

4) Mempunyai PANDUAN BERTULIS ATAU BERGAMBAR tentang rutin pada waktu pagi yang ditampal di dinding lebih memudahkan anak, terutamanya yang kecil, untuk fokus pada rutin yang perlu dilakukan. Tunjukkan dan Ingatkan anak tentang rutin tersebut pada malam sebelumnya dan juga pada waktu pagi. Sesetengah anak memerlukan struktur dan panduan langkah demi langkah supaya mereka lebih tenang dan fokus. Puji anak apabila anak berjaya menyelesaikan setiap langkah. Semua ini MEMERLUKAN LATIHAN.

5) Sesetengah anak memerlukan peringatan secara AUDIO. Tanya anak apakah yang perlu dilakukan apabila bangun dan apa yang perlu dilakukan seterusnya. Puji dan usap anak apabila dia memberi jawapan dan melakukan rutin sebagaimana yang telah dibincangkan sebagai semangat pada waktu pagi.

6) Jangan memberi TERLALU BANYAK ARAHAN kepada anak pada waktu pagi kerana ia hanya akan menyebabkan anda marah dan kecewa. Anak tidak boleh menerima terlalu banyak arahan terutamanya anak lelaki. Beri arahan satu demi satu. Pastikan anak fokus pada anda apabila arahan diberikan.

7) Nasihati dan ingatkan anak supaya SALING MEMBANTU antara satu sama lain apabila ada yang mengalami kesukaran pada waktu pagi. Bagi yang suka menyakat sesama adik beradik, ingatkan juga agar TIDAK TERLALU MENYAKAT anak yang mudah naik angin kerana ia akan menambahkan lagi konflik dan menyukarkan keadaan.

8 ) Jangan cuba untuk beri tumpuan pada SEMUA tingkah laku anak kerana ia hanya akan menambahkan stres. Mana-mana tingkah laku yang tidak membahayakan atau tidak memudaratkan BOLEH DIABAIKAN SAHAJA. Adakalanya memberi tumpuan kepada rengekan hanya akan menambahkan rengekan kerana rengekan itu mendapat perhatian. Beritahu anak dengan TEGAS bahawa anda TIDAK AKAN MELAYAN sebarang rengekan. Tegaskan juga bahawa anak tidak akan mendapat sesuatu dengan merengek atau meragam. Beri perhatian kepada tingkah laku yang positif walaupun kecil kerana memberi perhatian kepada perkara yang positif itu akan membuatkan anak lebih bersikap positif.

9) JANGAN DIUGUT anak dengan sesuatu yang tidak akan anda tunaikan. Contohnya “Jika meragam ayah tinggal.” Kiranya anda tidak akan tinggalkan dia, jangan diugut kerana ia hanya mempengaruhi persepsi anak terhadap autoriti atau kuasa yang anda miliki. Ugutan sebegitu tidak mengubah tingkah laku anak.

10) Di sebelah petang atau pun malam atau ketika bersantai, ‘BRAINSTORM’ dengan anak-anak cara untuk menghadapi waktu pagi dengan lebih tenang. Kongsi dengan anak apa yang anda perhatikan berlaku. Dengar luahan hati dan cabaran yang mungkin mereka hadapi untuk menguruskan diri pada waktu pagi. Perbincangan yang sebegini akan menggalakkan lagi anak untuk bekerjasama.

11) Jangan lupa untuk menyampaikan kepada anak tentang KEPERLUAN DAN TUGASAN ANDA. Ingatkan anak bahawa anda mempunyai keperluan untuk tiba awal di tempat kerja. Anak perlu tahu bahawa anda juga punya tugasan yang perlu diselesaikan dan DUNIA TIDAK BERPUTAR DI SEKITAR HIDUP ANAK SAHAJA. Tunjukkan kepada anak peta tempat kerja anda melalui ‘waze’ atau ‘maps’ dan berapa lama masa yang diperlukan untuk tiba ke pejabat anda. Latih anak untuk memahami kesukaran anda dan mempunyai EMPATI terhadap diri anda. Ini boleh dicapai dengan sentiasa berkomunikasi secara positif dengan anak.

Sebagai Muslim, melatih dan mengejutkan anak supaya BANGUN SOLAT SUBUH adalah kaedah yang sangat efektif untuk menyediakan anak untuk ke sekolah.

Apa yang paling penting pada waktu pagi ini adalah untuk mengekalkan kewarasan diri anda.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Ibu Berkerjaya vs Ibu Di Rumah

wmvssahm

Kredit Imej: Google

Penulisan saya genap dua tahun yang lalu (2014). Ketika itu banyak isu sosial yang berlegar di media sosial, cetak, dan elektronik. Pada masa yang sama ada penulisan ‘panas’ di media sosial yang menjadi provokasi untuk pertelingkahan. Pertelingkahan yang sebegini sering membuatkan kita hilang fokus dari memikirkan apakah perubahan dan sumbangan yang kita boleh lakukan bersama-sama tidak kiralah walau apa saja status kita.


sahm

Kredit Imej: Google

Pergeseran “Working Mothers vs Stay At Home Mothers” masuk lagi ke ‘newsfeed’ saya. Beribu-ribu komen dilontar kerana masing-masing cuba mempertahankan diri dan pilihan masing-masing. 17 tahun menjadi ibu , saya sudah menyaksikan pergeseran yang sama sesama GEN X dulu di yahoogroup (ya masa itu berforum di yahoogroup). Kini giliran ibu-ibu GEN Y pula bersilat di FB. Aduh!

Ketika kita tidak berhenti-benti bergeser tentang isu ini untuk mempertahankan DIRI SENDIRI, dalam masyarakat kita:

  1. Beribu-ribu pelajar tingkatan 3 tidak tahu mengucap syahadah (kajian JAKIM di Selangor)
  2. Anak berumur 8 tahun ketagih online pornografi di Kuala Lumpur
  3. Kanak-kanak berumur 6 tahun merogol kanak-kanak perempuan berumur 5 tahun di Kedah
  4. Kanak-kanak didera/meninggal di TASKA di seluruh negara
  5. Murid Tahun 3 mengugut akan merogol guru di Melaka
  6. Kanak-kanak berumur 2 tahun dirogol dan dibunuh di beberapa kejadian di seluruh negara.
  7. Anak mati ditinggalkan dalam kereta di seluruh negara
  8. Anak remaja memaki hamun ibu di twitter kerana disuruh solat.
  9. Bayi didera pembantu rumah di seluruh negara.
  10. Remaja (Islam) bunuh diri makin menjadi-jadi.
  11. Anak ditumbuk guru.
  12. Anak mengandungkan anak ayah sendiri (beberapa kes).

Panjang lagi senarainya (sumber dari beberapa akhbar tempatan)

Dari kita bergeser untuk mempertahankan pilihan masing-masing, lebih baik kiranya:

‘WORKING MOTHERS’ fikirkan:

  1. Bagaimanakah masa yang terhad bersama anak-anak dapat dimanfaatkan untuk mendidik anak-anak dengan nilai?
  2. Adakah orang yang kita amanahkan menjaga anak-anak dapat menerapkan nilai yang sepatutnya?
  3. Bagaimana pendapatan yang lebih itu dapat digunakan untuk melindungi anak-anak dari kepincangan masyarakat sekeliling?
  4. Adakah persekitaran yang kita sediakan untuk anak-anak ketika ketiadaan kita kondusif untuk keselamatan dan perkembangan positif mereka?
  5. Adakah kita tahu di mana dan dengan siapa anak-anak kita berada?
  6. Bagaimana kita boleh gunakan kemahiran dan kepakaran kita untuk memperbaiki persekitaran anak-anak kita?

 

‘STAY-AT-HOME MOTHERS’ fikirkan:

  1. Bagaimanakah masa yang lebih bersama anak-anak dapat dimanfaatkan untuk “bonding” seperti sepatutnya?
  2. Adakah kita menjadi sumber nilai yang utama anak-anak ketika mereka berada di rumah bersama kita?
  3. Adakah kita sediakan mereka dengan aktiviti-aktiviti yang membantu perkembangan positif mereka dari segala aspek?
  4. Adakah kita manfaatkan masa kita untuk mewujudkan komunikasi yang positif dengan anak-anak?
  5. Adakah kita yang ‘babysit’ anak-anak ketika di rumah ataupun TV/tablet/komputer?
  6. Adakah kita tahu di mana dan dengan siapa anak kita berada?
  7. Bagaimanakah kita boleh manfaatkan kelebihan dan kemahiran kita untuk memperbaiki persekitaran anak-anak?

Berdiskusilah tentang isu yang lebih konstruktif dan produktif untuk masyarakat, dari bergeser tentang isu yang terlalu bersifat individualistik.

“Tangan yang menghayun buaian juga boleh menggoncang dunia.”

Walaubagaimanapun, PARA BAPA TETAP KETUA KELUARGA dan tanggungjawab yang disenaraikan di atas lebih perlu dan wajib difikirkan oleh para bapa. (YA SILA TAG SUAMI ANDA )

Wallahua’lam. PEACE!

Noor Afidah Abu Bakar

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect