Sekarang Sudah Jauh Malam. Anak Kecil, Pra Sekolah dan Sekolah Rendah Sudah Tidur?

Sekarang sudah jauh malam. Adakah anak kecil, pra sekolah dan sekolah rendah sudah tidur?
Di manakah anak yang bersekolah menengah?

Anak-anak ini memerlukan tidur awal yang cukup. Membiarkan mereka masih berjaga tanpa arah tujuan adalah satu bentuk pengabaian kepada keperluan fizikal, emosi dan mental mereka. Membiarkan mereka menonton rancangan orang dewasa pada waktu malam yang tidak mempunyai nilai yang baik adalah juga satu bentuk pengabaian.
Membiarkan mereka menonton kartun atau menggunakan gajet sedangkan anda sendiri sudah lelap tidur kerana keletihan adalah juga satu bentuk pengabaian.
Ini bukan lagi aktiviti masa berkualiti.
Mungkin guru-guru di sekolah dapat melihat kesan anak-anak yang tidak cukup tidur ini.

Melatih anak untuk tidur awal jika mereka tiada tugasan dan keperluan untuk berjaga adalah satu bonus untuk mengeratkan hubungan antara suami isteri. Inilah peluang untuk suami isteri ‘dating’ sambil bertukar-tukar kisah tentang apa yang dilalui sepanjang hari tanpa perlu memfokuskan pada hiruk pikuk anak-anak.
Pada zaman yang terkejar-kejar dan kurang komunikasi berhadapan, ‘us time’ juga boleh dilakukan di rumah jika anda bijak menguruskan anak-anak dan masa anda.

Berapa jamkah anak perlu tidur?

sleep

Sumber: sleepfoundation.org

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Bapa Ketagih Pornografi

Agak kerap saya mendengar rintihan para isteri dan ibu yang diluahkan kepada saya tentang ketagihan pornografi oleh si suami yang juga ayah kepada anak-anak. Isteri kecewa, menjeruk rasa, putus harapan dan rasa tidak bernilai bagi suami.

Sebagaimana dadah dan alkohol, ketagihan pornografi juga melalui proses yang sama. Ketagihan tetap ketagihan.

suamiporno

Saya pernah bertanya pakar dalam NGO yang banyak menguruskan kes penderaan seksual, adakah pornografi sesuatu yang peribadi dan tidak melibatkan orang lain? Adakah pornografi hanya ‘merosakkan’ individu yang ketagih dan bukannya orang lain?

Jawapannya, TIDAK.
Pada awalnya ia bersifat aktiviti individu tetapi mereka yang ketagih ini tidak akan pernah puas dengan apa yang ditonton. Sebagaimana ketagihan dadah, semakin lama ketagih, semakin tinggi dos yang diperlukan, begitu juga dengan pornografi. Ada yang melampiaskan nafsu pada darah daging sendiri apabila berada di kemuncak ketagihan. Isteri sudah tidak memberi apa-apa makna lagi. Isteri hanyalah pada lafaz “Aku terima nikahnya…”

Bagaimana ayah yang ketagih pornografi boleh berfungsi sebagai seorang ayah yang baik? Saraf otak mereka rosak, karakter mereka berubah disebabkan pornografi, dan mereka juga hilang minat untuk menjadi seorang ayah. Minat mereka hanyalah pada ketagihan mereka sahaja. Usaha mereka hanyalah mencari apa yang dapat memenuhi keinginan serakah mereka sahaja. Mereka tidak dapat berfungsi sebagai manusia yang normal.

Menjadi ibubapa memerlukan komitmen yang sangat tinggi.
Menjadi ibubapa memerlukan kita menjadi ‘role model’ yang baik bagi anak-anak.
Menjadi ibubapa memerlukan kita menjadi pemimpin dan imam dalam keluarga.
Menjadi ibubapa menuntut kita melindungi anak-anak daripada pengaruh yang merosakkan anak, walau dengan nyawa kita sekalipun.

Jika demikian, di mana kedudukan keluarga dan anak-anak dalam kehidupan suami dan ayah yang ketagih pornografi?
Emosi isteri dan ibu juga terganggu disebabkan ketagihan ini.
Anak-anak sudah tentunya akan terkesan dengan tiadanya harmoni.

Jangan malu untuk mendapatkan bantuan pakar. Malulah dengan Allah SWT jika tiada usaha untuk memperbaiki diri.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Masuk Telinga Kanan, Keluar Telinga Kiri

SOALAN:

“Puan, orang cakap kalau kita mahu sesuatu itu melekat di hati dan ingatan anak, kita perlu ulang banyak kali, barulah anak ingat, barulah anak buat. Saya dah letih berleter, kadang-kadang sampai naik angin hilang sabar tetapi anak tidak buat juga. Tidak disuruh, tidak dibuat.”

nagging

KENAPA KITA BERLETER?

  • Ada yang berleter kerana kita juga dileteri suatu masa dahulu. Itu sudah menjadi budaya dan amalan keibubapaan dalam keluarga.
  • Ada yang berleter sebab tidak tahu cara lain untuk menyampaikan apa yang terbuku di hati.
  • Ada yang berleter untuk memberi arahan kepada anak yang tidak mahu patuh.
  • Ada yang ingin menunjukkan kuasa dan otoriti walaupun berleter itu seringkalinya masuk telinga kanan keluar telinga kiri.
  • Ada yang berleter sebab rasa panik, kaget dan bersalah dengan diri sendiri. Untuk menutup kegusaran itu maka leteran digunakan.
  • Ada yang takut anak mengulangi kesilapan yang pernah kita dilakukan maka cara yang terbaik adalah berleter untuk menutup rasa tidak selamat yang dirasakan.

Kebanyakannya berleter kerana itu adalah cara yang paling cepat dan mudah untuk ‘memaksa’ anak menurut kata tanpa perlu banyak usaha dan perancangan.

Adakah leteran berkesan untuk jangkamasa panjang?
Seperti dalam soalan di atas, selalunya tidak. Ia hanya berkesan ketika saat itu saja.
Perangai yang sama akan diulangi. Anak akan menunggu leteran sekali lagi. Selagi tidak dileteri, selagi itulah perbuatan yang sama diulang.
Perbuatan diulang, berleter lagi. Berleter lagi, perbuatan diulang.
Ia menjadi satu kitaran yang tidak sudah, tidak efektif dan tidak produktif.
Leteran akhirnya menjadi irama dan lagu yang hanya membuai dan mendodoikan tanpa kesan pada anak.

KENAPAKAH LETERAN TIDAK BERKESAN?

Leteran adalah proses mencari silap bukannya proses memperbetulkan kesilapan.
Ia hanya memfokuskan pada apa yang buruk dan apa yang salah pada anak sahaja. Pernahkah dalam leteran itu kita selitkan perkara yang positif yang dilakukan anak?
Tidak bukan? Ataupun jarang-jarang sekali.
Selalunya kita hanya semburkan apa yang negatif sahaja seolah-olah tiada langsung yang baik pada anak. Selalunya kita guna istilah yang ekstrim.
“Kamu tidak pernah….”
“Selalu macam ni…”
”Dah berapa kali dah…”

Semua yang ekstrim negatif sahaja dan langsung tidak ada yang positif.

Anak akan berhenti mencuba untuk berubah dan menjadi baik kerana usaha kecil mereka tidak ada nilainya di mata ibubapa di kala berleter.
Kaedah yang lebih efektif untuk membentuk tingkah laku yang baik adalah bukannya mencari silap tetapi mencari kebaikan. Semakin banyak kebaikan yang kita cari, semakin banyaklah kebaikan yang akan kita lihat dalam diri anak.
Ini adalah kitaran positif yang efektif.

Dalam leteran itu juga kita berkemungkinan membuat andaian yang tidak betul dan tuduhan yang melulu tanpa memeriksa terlebih dahulu apa sebenarnya yang menyebabkan sesuatu tingkah laku itu. Ini juga amat mengecewakan anak yang dileteri.
Mungkin harapan kita terlalu tinggi dan anak tidak dapat mencapainya dengan mudah.
Mungkin persekitaran tidak kondusif untuk fizikal anak melakukan apa yang diharapkan.
Mungkin anak tidak faham arahan yang disampaikan kerana cara komunikasi kita tidak kena dengan anak.
Jika inilah sebabnya, maka tidak hairanlah leteran kita masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tuduhan dan andaian tidak akan terkesan di hati. Ia hanya menyakitkan hati.

APA YANG PERLU DIBUAT SELAIN BERLETER?

Jika kita inginkan kerjasama yang berpanjangan, kita perlukan perancangan. Tidak ada penyelesaian segera dalam proses keibubapaan. Semuanya memerlukan usaha, pertimbangan yang teliti dan kesabaran yang tinggi.

Buat perancangan dengan anak. Jemput anak untuk sama-sama menyelesaikan masalah secara diplomasi. Anak-anak harus diajar kesan dan akibat perbuatan mereka ke atas dirinya, keluarga dan orang sekeliling. Tidak perlu tunggu sehingga anak remaja untuk membincangkannya. Anak kecil juga faham jika kita menggunakan bahasa yang mudah mereka fahami.
Adakan peraturan dalam rumah. Sentiasa berbincang tentang peraturan yang ada. Jika anak tidak ikut peraturan ada kesan dan akibatnya. Ini juga harus dibincangkan dari awal bersama-sama dengan anak bukannya dibuat secara rawak apabila anak melakukan kesilapan.

Kita harus berusaha menjadi ibubapa proaktif yang bersedia sebaik mungkin dengan segala kemungkinan dan bukannya menjadi reaktif dengan leteran dan hukuman yang tidak efektif untuk mendidik.

Pastikan sistem pendidikan di rumah adalah yang terbaik untuk anak menjadi seorang manusia.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Kanak-kanak Memang Suka Membantu – Video

Kanak-kanak memang suka membantu.
Sememangnya sifat semulajadi manusia ingin menjadi sebahagian dari kelompok, ingin rasa diperlukan dan ingin rasa dihargai.

Walaupun mungkin anda mempunyai pembantu rumah, beri peluang untuk anak-anak membantu dengan kerja rumah. Kerja mereka tidak sempurna, tetapi lama-kelamaan pandailah mereka.

Ia memupuk perkembangan kanak-kanak, ia membina skil penting dan ia juga mengajar anak tentang erti tanggungjawab.

 

Noor Afidah Abu Bakar

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Gaya Keibubapaan Anda – Slideshow

Karakter dan tingkah laku seorang anak bukanlah ditentukan sepenuhnya oleh anak itu sendiri.

Faktor utama yang akan menentukan tingkah laku seorang anak adalah gaya keibubapaan yang dipraktikkan untuk membesarkan dan mendidik seorang anak.

Saya pernah menulis bahawa keibubapaan yang efektif bukanlah bergantung kepada betapa garang atau lembut ibubapa terhadap anak. Garang atau lembut hanyalah salah satu dari amalan keibubapaan yang membentuk gaya keibubapaan. Garang atau lembut bukanlah penentu tingkah laku anak.

Gaya keibubapaan merujuk kepada peten keseluruhan tindakbalas ibubapa dan bukannya bergantung kepada satu faktor sahaja.

Terdapat 4 gaya keibubapaan yang utama berdasarkan kajian yang dibuat oleh pakar-pakar perkembangan kanak-kanak. Ia bergantung kepada:

1) Responsif – sejauh mana ibubapa menerima, memahami dan bertindak balas terhadap keperluan emosi dan perkembangan individu seorang anak.

2) Tuntutan – Sejauh mana ibubapa membimbing, mengawal dan menuntut tingkah laku yang baik dalam diri anak.

Kedua-dua faktor ini mempunyai kesan yang signifikan terhadap karakter, dan tingkah laku anak.

Kajian juga pernah dibuat di negara kita untuk melihat gaya keibubapaan yang manakah lebih efektif untuk menerapkan pendidikan dan amalan Islam dalam diri anak-anak.

Yang manakah gaya keibubapaan anda selama ini?

This slideshow requires JavaScript.

Kredit Gambar Latar: Google

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Berapa Jam Sehari Anda ‘Bekerja’ Sebagai Seorang Ibu?

Satu kajian terbaru yang dibuat ke atas 2000 ibu kepada anak berusia 5-12 tahun mendapati bahawa seorang ibu secara purata:

  1. bekerja dari jam 6.23 pagi – 8.31 malam. Ini bersamaan dengan bekerja shif 14 jam sehari 7 hari seminggu. Jika anda ‘bekerja’ sebagai ibu lebih dari waktu itu, kiralah berapa jam ‘shif’ anda.
  2. mempunyai ‘me-time’ hanya 1 jam 7 minit sehari sebelum ‘tugas’ memanggil kembali.
  3. 40% ibu mengatakan bahawa ‘to-do-list’ mereka tidak pernah habis.

Syabas kepada para bapa yang sentiasa memberi sokongan kepada para ibu.

…because parenthood is a journey worth taking.

working

 

 

Sumber: USA Today

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

3 Perkara Tentang Psikologi Kanak-Kanak

Ada yang salah faham tentang perkataan ‘Psikologi Kanak-Kanak’ atau “Child Psychology”.

chpsycho

Mereka yang salah faham ini sering mengaitkan perkataan Psikologi dengan kaedah ‘Barat’ dan mereka terlalu cepat menutup akal dan fikiran untuk cuba memahami apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh Psikologi Kanak-kanak ini.

Secara ringkas dan padat supaya mudah difahami, apa yang dimaksudkan oleh Psikologi Kanak-Kanak adalah:

  1. Berkaitan dengan perkembangan Fizikal, Sosial, Emosi, dan Kognitif kanak-kanak dan kepelbagaiannya.
  2. Memahami tingkah laku kanak-kanak dan peten perkembangan yang disebut di atas mengikut kategori usia.
  3. Memahami bagaimana perkembangan dan keadaan seorang individu, (internal dan external), membentuk dan mengubah seorang individu dari kanak-kanak sehingga dewasa.

Tidak ada salahnya kita memahami Psikologi Kanak-Kanak dan mempelajarinya.
Bukakan minda dan tuntutlah ilmu yang lebih luas dari lautan itu.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Kesihatan Mental Anak-anak

Tidak dinafikan sebagai Muslim pendidikan Aqidah itu adalah penting untuk diterapkan pada anak-anak.
Walau bagaimanapun pembinaan seorang insan juga terdiri daripada komponen fizikal, intelektual, emosi, sosial, dan moral. Adalah menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memberikan penekanan yang seimbang kepada semua aspek pembinaan insan.

mental

Kredit: Trauma Network UK

Bukakan minda.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Janji Ditepati

“Kalau menangis ayah tinggal kamu di sini!!”

Dalam amalan dan perbualan seharian kita dengan anak -anak terdapat dua jenis janji yang sering kita buat dengan anak-anak:

  1. Janji hendak memberi ganjaran kepada anak apabila dia melakukan sesuatu yang baik.
  2. Janji hendak menghukum anak apabila anak melakukan kesalahan.

Janji yang tidak ditepati oleh ibubapa bukan sahaja boleh mengelirukan anak-anak malah akan juga membentuk karakter anak itu sendiri.

janji

JANJI GANJARAN

Apabila berjanji hendak memberikan ganjaran kepada anak, pastikan ganjaran yang dijanjikan itu diberikan dan bukan hanya janji kosong. Sebelum memberi ganjaran pastikan ganjaran itu dalam kemampuan kita. Jangan hanya berjanji tetapi kita sendiri tidak mampu dari segi material, tenaga dan masa untuk tunaikan.

Jika kita hendak menjanjikan ganjaran yang mahal, fikirkan dulu adakah kita mampu? Jangan berjanji sesuatu di luar kemampuan kita ataupun terlampau mahal sehingga terpaksa korbankan benda lain yang lebih penting.

Jika kita menjanjikan masa untuk diluangkan dengan anak, fikir dahulu adakah kita mampu peruntukkan masa dan korbankan masa kerja dan rehat kita? Jika kita sibuk sepanjang masa, ‘meeting’ tidak putus, ‘outstation’ ke sana ke mari, jangan berjanji dengan anak.

Jika kita berjanji hendak menolong anak dengan sesuatu tugasan, fikirkan dahulu adakah tenaga yang kita ada mampu untuk mengerjakannya?

Janji yang tidak dikotakan akan mempengaruhi karakter dan personaliti anak juga. Bukankah kita ‘role model’ terbaik anak? Jika kita tidak kotakan janji, berkemungkinan besar anak akan meniru kita. Jangan mengeluh bila tiba hari tua kita nanti anak tidak mengotakan janji-janjinya kepada kita.

JANJI HUKUMAN

Selalu sangat saya mendengar gertak si ayah atau ibu yang hendak merotan anak.

Contohnya:

“Kalau bising lagi ayah rotan”,
“Kalau sebut perkataan macam itu lagi mama cili mulut”.
“Kalau mengamuk mama balik dan tinggal kamu di sini.”

Gertak yang sebegini juga termasuk dalam kategori ‘janji’.
Jika tidak tergamak, jangan janji hukuman yang sedemikian kepada anak kerana lama-kelamaan anak tidak makan saman.

Anak tahu “Eleh! Selalu cakap nak rotan tapi tak rotan pun. Ayah tak marah pun. Jom buat lagi.”
“Tak cili mulut pun, tak ada hal.”

Itulah sebenarnya mesej yang secara kita tidak sedar sampai kepada anak.

Walaupun mungkin hukuman itu adalah sesuatu yang rasional, jangan berjanji jika kita tidak akan tunaikan. Fikirkan dahulu.

Kedua-dua jenis janji ini jika tidak ditepati akan juga menghilangkan hormat anak kepada ibubapa. Mereka tidak akan peduli dengan kata-kata kita lagi.

Dan yang paling penting, dalam mendidik anak dan mendisiplinkan anak, gunalah kaedah yang menanam nilai yang baik dalam diri anak.
Menepati janji adalah satu nilai yang perlu diamalkan dan juga digalakkan dalam agama.

Salah satu ciri seorang Mukmin adalah mereka yang berpegang kepada janji.

“Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;”
(Al-Mu’minun 23:8)

Berhati-hatilah dalam berjanji

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy