Teladan Daripada Gergasi Teknologi

Dua tahun selepas iPad dilancarkan, pengasas Apple mendiang Steve Jobs memberitahu wartawan bahawa anak-anak beliau belum lagi menggunakan iPad.

Beliau melahirkan kerisauan beliau tentang ketagihan gajet.

gergasitek

Pengasas Microsoft, Bill Gates, menetapkan bahawa anak beliau hanya boleh memiliki telefon pintar apabila berusia 14 tahun walaupun anak beliau merungut kerana semua rakan memilikinya.


 

Anak-anak mula merasakan ‘peer pressure’ dan mula membanding-bandingkan peraturan di rumah sendiri dan peraturan di rumah kawan ketika berusia dalam lingkungan 9 tahun.

Inilah usia mereka nampak apa yang rakan ada dan apa yang mereka tiada.
Inilah usia mereka mahu apa yang rakan ada.
Inilah usia mereka mula merasakan peraturan di rumah tidak adil.
Inilah usia mereka takut ketinggalan berbanding rakan.

Sebelum mereka mula meminta-minta, merayu-rayu, memujuk-mujuk.
Sebelum mereka mula membanding-bandingkan.
Sebelum mereka berkata “It’s not fair”, “Kenapa kawan boleh?”, eloklah kita tetapkan bila waktunya mereka boleh memiliki telefon pintar.

Beritahu anak dari awal supaya mereka tahu. Biarlah mereka menunggu. Ini namanya ‘delayed gratification’ yang banyak faedahnya untuk perkembangan peribadi seorang manusia.

Apabila sudah diberi tanpa pertimbangan yang wajar oleh ibubapa, amat sukar untuk ditarik balik jika anak-anak menyalahgunakannya.

Berapakah usia yang patut/ingin anda tetapkan untuk anak-anak memiliki telefon pintar?

Kenapa?

Noor Afidah Abu Bakar
Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Guru Pertama

Sebelum anak mula bersekolah, guru pertama anak adalah kita.
Guru bersilih ganti di sekolah, guru tetap anak adalah kita.
Setelah anak tamat belajar, guru kehidupan anak adalah kita.
Sehingga ke nafas akhir kita ataupun anak, guru yang terakhir anak adalah kita.

Tiada insan lain yang memikul tanggungjawab mendidik anak sepenuhnya melainkan kita.
Itu adalah satu anugerah.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

DULU DAN SEKARANG

Dulu
Pisang diambil di pokok belakang rumah saja. Ia kemudian digoreng untuk makan petang. Makan kosong begitu saja atau mungkin dicicah gula atau sambal kicap.

Sekarang
Pokok pisang pun tidak ada dalam kawasan rumah.
Pisang goreng kita beli.
Bukan pisang goreng kosong, ada cheese, susu pekat dan coklat lagi. Bahan mewah semuanya (dan tidak menyihatkan).

Dulu
Petang lepas sekolah, lepas mengaji, terus hilang merayap pusing kampung, tangkap berudu, panjat pokok, terjun sungai.
Sebelum Maghrib pulanglah semua umpama camar pulang ke sarang.

Sekarang
Hendak benarkan anak keluar pun takut.
Cerita jenayah sana sini.
Pemandu laju macam pelesit.
Seharian di sekolah, bebanan ke atas otak sudah cukup meletihkan.
Sudahnya anak di rumah saja menatap skrin.

Dulu
Rancangan TV bermula pukul 5 petang. Tamat pukul 12 malam.
Tapi selalunya lepas tamat Drama Minggu Ini atau Opah atau PJ Holding pukul 9 malam, kita terus siap untuk tidur.
Rancangan kartun hanyalah Scooby Doo, Woody Woodpecker, Road Runner, Tom and Jerry dan Tweety.
Rancangan bola sepak hanyalah Road To Wembley.
Rancangan hiburan hanyalah Mekar Sejambak atau Hiburan Minggu Ini.

Sekarang
Jam berapa sekarang pun anak sudah ‘lost’ sebab TV beroperasi 24jam.
Jika tidak boleh tidur anak dibiar tengok TV. Bila anak tengok TV anak terus aktif tidak boleh tidur.
Rancangan dan siaran pula ‘lost’ jadinya sebab terlampau banyak.

Dulu
Apa yang ‘trending’ dalam dunia kanak-kanak dan remaja Amerika lambat sampai ke pengetahuan kita.
Ambil berbulan jugalah TV hendak siarkan. Semuanya rancangan tertunda, tiada ‘live’ .
Mereka pun tidak kenal kita.
Mereka kata kita tinggal atas pokok.

Sekarang
Apa yang anak-anak Amerika buat semuanya anak kita tahu serta merta dengan penuh terperinci, tiada yang tertinggal.
Apa stail yang ‘in’?
Apa game yang terbaru?
Apa yang cool?
Semuanya boleh tahu dengan sentuhan saja.

Dulu
Tiada komputer, tiada gajet.

Sekarang
Saya, anda dan ramai anak tidak boleh hidup tanpanya.

Jadi
Kepada orang dewasa dan tua yang berkata,

“Dulu saya buat itu ini, dilayan begitu begini, dihukum begitu begini… saya ok saja jadi orang jugak”,

Cuba fikir kembali adakah persekitaran anda dan anak-anak sekarang sama 100%?

Jika banyak yang sudah berubah,
maka mentaliti dan kaedah mendidik juga perlu berubah mengikut kesesuaian zaman.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Anak Meniru: Antara Realiti dan Fantasi

1) Pernahkah anda melihat bayi menjelirkan lidahnya kembali setelah bayi melihat kita menjelirkan lidah kepadanya?

2) Pernahkah anda melihat anak kecil menggoyang-goyangkan badannya apabila melihat kita bergerak mengikut alunan muzik?

3) Pernahkah anda melihat anak kecil meletakkan telefon bimbit di telinganya walaupun anda tidak pernah mengajar anak tersebut tentang kedudukan telefon?

 

meniru

Kredit Gambar: Youtube

Kajian yang dibuat oleh Meltzoff dan Marshall dari Institute for Learning and Brain Science University of Washington mendapati bahawa apabila anak kecil memerhatikan perbuatan kita, otak mereka bertindak balas seolah-olah mereka turut melakukan aktiviti yang sama.

Contohnya, apabila bayi memerhatikan kita menjelirkan lidah, bahagian otak bayi yang mengawal lidah bertindakbalas seolah-olah bayi sendiri yang melakukannya. Apabila kita menggerakkan kaki dan bayi memerhatikan kita, bahagian otak bayi yang mengawal kakinya akan bertindakbalas seolah-olah bayi itu sendiri melakukannya.
Begitulah ajaibnya otak.

Ini adalah tindakbalas yang berlaku disebabkan oleh mirror neuron. Mirror neuron bertindak sebagai cermin kepada apa yang diperhatikan.

ANAK-ANAK BELAJAR MELALUI MENIRU.

Meniru adalah fasa pertama dalam proses pembelajaran anak-anak. Mereka meniru apa saja yang mereka lihat. Mereka meniru apa saja yang menjadi budaya yang diamalkan dalam rumah, sekolah, dalam masyarakat dan juga di skrin tv dan komputer.

4) Pernahkah anda terfikir kenapa anda turut sama menangis apabila melihat pelakon menangis ketika adegan sedih meruntun jiwa? Adakah kerana pelakon tersebut pandai menjiwai watak atau adakah kerana penulis skrip pandai bermain dengan emosi penonton?

Sebenarnya ini juga berlaku disebabkan oleh mirror neuron. Sebarang tindakan yang mencuit emosi kita akan lebih mudah mengaktifkan mirror neuron dan mewujudkan jaringan dalam otak yang menyebabkan kita meniru aksi tersebut. Selain meniru, mirror neuron juga menjadi asas kepada empati atau keupayaan untuk memahami perasaan orang lain (‘Mirror, Mirror in the Brain’, Science Daily, 2007).

Anak kecil mempunyai kecenderungan semulajadi untuk meniru perbuatan orang lain. Walau bagaimanapun mereka belum mempunyai keupayaan dan kebijaksanaan untuk menilai sama ada perbuatan itu patut atau tidak ditiru. Mereka belum berupaya untuk menganalisa, dan menilai sama ada sesuatu perbuatan itu bermoral ataupun tidak.
Mereka akan meniru apa saja yang dilihat termasuklah perbuatan yang salah, negatif, ganas, vandalisme dan merosakkan pada pandangan orang dewasa. Sebarang perbuatan yang melahirkan emosi akan lebih cenderung untuk ditiru oleh anak-anak.

ANTARA REALITI DAN FANTASI

5) Pernahkah anda melihat anak-anak berguling, menendang, menolak, memukul dan sebagainya selepas melihat aksi lasak atau ganas dalam rancangan yang ditonton mereka di skrin TV atau komputer?

6) Pernahkah anda mendengar bahasa yang tidak elok dipertuturkan anak selepas menonton sesuatu rancangan TV?

Perbuatan meniru sebegini berlaku kerana mereka belum berupaya untuk membezakan antara realiti dan fantasi.

Apa yang ‘real’ pada anak-anak kecil adalah apa yang mereka dapat lihat dengan mata mereka. Keganasan yang mereka tonton di skrin adalah juga real bagi mereka. Jika ‘real’, maka apa salahnya jika mereka tiru? Walaupun mereka mengalami kecelaruan kognitif (cognitive confusion), itu tetap tidak menghalang mereka untuk meniru aksi tersebut.

Oleh itu fikirkanlah:

Cerita dan rancangan yang bagaimanakah ditonton anak-anak melalui skrin TV dan komputer?

Iklan bagaimanakah yang disajikan untuk menjadi tontonan anak setiap hari?
Perbuatan ibubapa dan guru-guru yang bagaimanakah ditiru oleh anak-anak?
Aksi kawan-kawan yang bagaimanakah dibawa balik oleh anak ke rumah?

Anak-anak belajar melalui meniru.
Sajikanlah mereka dengan sesuatu yang baik untuk ditiru.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect