PERLUKAH ‘PATERNITY LEAVE’ PANJANG? 

PERLUKAH ‘PATERNITY LEAVE’ PANJANG? 7 DAPATAN KAJIAN.

Pendapat bahawa hanya para ibu yang perlu ambil peduli tentang anak-anak sudah ketinggalan zaman. Keterlibatan para bapa secara aktif dalam penjagaan anak-anak pada zaman sekarang sudah tentu memerlukan sokongan oleh semua pihak, terutamanya untuk para bapa yang bekerja.

Peranan yang dimainkan oleh seorang bapa pada tahun 1950an amat berbeza berbanding dengan peranan bapa abad ke 21 ini. Jadi tidak hairanlah jika Akta Pekerja 1955 tidak langsung menyebut tentang ‘paternity leave’. Imej seorang bapa pada zaman dahulu lebih bersifat ‘authoritarian’ – diam dan berkata-kata secara serius atau hanya apabila marah – berbanding imej ‘authoritative’ sekarang – lebih terbuka untuk berbincang tetapi masih tekankan pada emosi dan tingkah laku. Zaman sudah berubah, persekitaran anak-anak zaman sekarang membesar juga semakin berubah. Cabaran zaman digital ini di mana ramai kedua ibubapa keluar bekerja memerlukan penglibatan ayah juga dalam membesarkan anak-anak dan bukan hanya tanggungjawab ibu seorang.

1) Majalah Economist pada May 2015 melaporkan bahawa para bapa yang mengambil paternity leave selalunya akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam tugas penjagaan anak-anak. Penglibatan yang sebegini sudah tentunya meringankan beban fizikal dan emosi yang ditanggung oleh ibu yang baru bersalin.

2) Sebuah kajian yang dibuat oleh Dr. Jennifer Baxter dari The Australian Institute of Family Studies tentang para bapa di 4 negara maju iaitu Amerika Syarikat, Australia, Britain dan Denmark mendapati bahawa para bapa yang mengambil paternity leave tidak kisah malah ringan tulang untuk menyuap makanan, memakaikan anak pakaian, memandikan dan bermain dengan anak walaupun paternity leave tersebut sudah berakhir. Para bapa dari Denmark didapati lebih aktif. 77 % daripada mereka bermain dengan anak-anak mereka. Saya yakin para bapa di Malaysia pun boleh mengatasi peratusan ini. Insya Allah.

3) Di Britain pula para bapa yang meluangkan masa untuk bersama-sama menjaga bayi didapati lebih berkecenderungan untuk bacakan buku untuk anak kecil mereka. Untuk pengetahuan semua, konsep ‘read aloud’ atau bacakan buku untuk anak (bukannya ajar anak membaca ya) adalah aktiviti yang sangat efektif untuk memupuk minat membaca pada anak-anak. Apa gunanya pandai membaca tetapi tidak suka membaca. Ini bukan hanya tugas guru di sekolah, peranan lebih besar perlu dimainkan oleh ibubapa.

4) Sebuah kajian di University of Oslo, Norway mendapati bahawa ‘bonding’ antara bapa dan bayi yang baru lahir akan mewujudkan ‘connection’ yang berpanjangan dan berkekalan dengan anak tersebut. Connection ini sangat penting untuk melahirkan seorang individu yang boleh menyumbang secara positif dalam masyarakat.

5)Paternity leave ini didapati membantu prestasi anak-anak di sekolah menengah. (Kajian 4 di atas).

6) Anak perempuan terutamanya didapati berkembang dan membesar dengan lebih positif apabila figura bapa meluangkan masa untuk terlibat dalam penjagaan anak ketika anak masih bayi.
Di hujung artikel oleh Astro Awani ini menyebut, “Mengikut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Norway direkodkan sebagai negara paling banyak memberikan cuti bersalin bergaji untuk bapa iaitu 112 hari.”

7) Kajian yang dibuat di Oswaldo Cruz Foundation, Brazil pula mendapati bahawa bapa yang terlibat dengan penjagaan dan proses membesarkan dan mendidik seorang anak dari bayi lagi didapati sangat kurang terlibat dengan penderaan seksual anak – atau sumbang mahram dalam istilah Melayu dan kurang terlibat dengan keganasan rumahtangga atau penderaan terhadap isteri.

Selama lebih 62 tahun fokus kita di Malaysia lebih tertumpu pada maternity leave. Sudah tiba masanya kita memberi penekanan yang serius kepada paternity leave juga kerana ia bukan sahaja bermanfaat buat ibu yang bersalin, ia juga mempunyai kesan yang besar dan berpanjangan pada perkembangan anak, masyarakat dan negara secara umumnya.

Walau bagaimanapun penglibatan para bapa yang aktif sebegini hanya boleh berlaku jika paternity leave ini turut sama disokong oleh majikan, kerajaan dan masyarakat secara umumnya kerana ekonomi keluarga juga harus difikirkan tambahan lagi apabila anak semakin bertambah.

Oh ya, janganlah pula gunakan paternity leave yang panjang dan bergaji itu untuk meliar mencari ‘ibu tiri’ bagi anak yang baru lahir ya. Gunakanlah peluang itu untuk bonding bersama isteri, bayi dan anak-anak yang lain kerana itulah peranan seorang ayah yang mithali. Sudah banyak kisah negatif sebegini yang sampai ke pengetahuan saya.

Bacalah artikel penuh Astro Awani ini di link ini.

Yang menyokong cadangan ‘paternity leave’ yang panjang,
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practive UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Advertisements

ADIK NATASHA QISTY DAN SINDROM TALL POPPY.

Sudah lama saya mendengar tentang Sindrom ‘Tall Poppy’ yang sering diperkatakan di Australia ketika saya tinggal di sana lebih kurang 15 tahun lalu. ‘Tall poppy’ adalah bahasa slanga di Australia yang merujuk kepada orang yang berjaya.
Hari ini kita menyaksikan bagaimana Sindrom Tall Poppy ini berlaku di negara kita sendiri apabila adik Natasha Qisty Mohd Ridzuan yang memperolehi keputusan cemerlang 9A+ dalam peperiksaan SPM 2016 dikecam dengan hebat oleh segelintir netizen kerana penampilannya. Wajarkah?

Image may contain: 1 person, smiling, text
Saya difahamkan adik Natasha menutup akaun media sosialnya kerana menjadi mangsa pembuli siber.

Ada dua isu di sini sebenarnya

1) Sindrom Tall Poppy
2) Buli siber (Cyber bullying).

Sindrom Tall Poppy (STP) ini bukanlah isu orang Melayu sahaja. Sindrom ini juga dikenali sebagai ‘The politics of envy’. Ia berkaitan dengan psikologi dan tingkah laku manusia yang tidak boleh melihat orang berdiri lebih tinggi daripadanya dan tidak senang melihat adanya ‘tall poppies’. Orang yang berjaya akan diperlekehkan dan dibuli dengan kecaman-kecaman yang tidak berasas dan tiada kena mengena dengan kejayaan yang mereka capai.
Artikel ini mendedahkan bahawa ada pelajar di Australia dibuli secara fizikal dan verbal sehingga mengalami gangguan mental dan emosi yang berpanjangan.
Adalah juga menjadi lumrah apabila dua ‘tall poppies’ dibanding-bandingkan oleh pengidap sindrom untuk membuktikan kebenaran hujah mereka yang tidak tercapai dek akal itu.

APA MASALAH PENGIDAP SINDROM TALL POPPY?

Menurut kajian yang dibuat di Flinders University of South Australia dan diterbitkan oleh Australian Journal of Psychology pada tahun 1989, mereka yang mengalami STP ini terdiri daripada mereka yang tidak meletakkan prioriti yang tinggi pada aspek kejayaan tersebut. Dalam konteks ini, mereka yang membuli adik Natasha tidak menjadikan akademik sebagai prioriti mereka sebelum ini.

Dalam kajian tersebut juga didapati STP ini banyak dihadapi oleh mereka yang mempunyai percaya diri (self esteem) yang rendah. Mereka merasa inferior. Percaya diri yang rendah boleh berlaku apabila kayu ukur yang digunakan untuk mengukur kelebihan seseorang adalah terlampau sempit. Ia bermula apabila orang dewasa hanya memfokuskan pada kelemahan anak, dan menghukum kelemahan tanpa mempunyai inisiatif dan keinginan untuk melihat pada kelebihan seseorang anak itu. Individu ini akan membesar sebagai seorang yang akan meneruskan tradisi yang sama.

Mereka mencapai kepuasan dengan merendah-rendahkan orang lain supaya ‘tall poppy’ ini berdiri sama rendah dengan mereka. Kelakuan yang sebegini akan mengurangkan kekecewaan mereka dengan diri mereka sendiri. Mereka lebih merasa puas jika dapat menyebarkannya kepada orang lain – di alam siber yang ‘public’. Sedih bukan?
Mereka yang mempunyai percaya diri yang tinggi dan yakin dengan kelebihan yang dimiliki selalunya terhindar dari menghidap STP ini.

OLEH ITU :

1) Latihlah diri kita sebagai orang dewasa untuk melihat kelebihan yang dimiliki oleh seseorang anak dan pelajar supaya mereka juga berupaya untuk melihat kelebihan dan kejayaan orang lain tanpa iri. Allah itu Maha Adil, setiap anak mempunyai kelebihan masing-masing. Cari kelebihan tersebut, raikan kelebihan tersebut dan gunakan kelebihan tersebut bagi membantu mereka mengatasi apa saja kelemahan yang mungkin mereka miliki kerana manusia itu sifatnya tidak sempurna. Jangan menggunakan kelemahan seorang anak untuk menidakkan kelebihan mereka.

2) Latihlah anak-anak untuk mengagumi dan meraikan kelebihan rakan-rakan dan percaya bahawa mereka juga mempunyai kelebihan yang tersendiri.

3) Bimbinglah juga anak-anak supaya menjadi seorang yang berhemah dan bertanggungjawab di alam siber.

Selepas ini setiap kali apabila kita menyaksikan buli siber berlaku terhadap mereka yang berjaya dalam bidangnya seperti adik Natasha Qisty, tahulah kita bahawa ini adalah SINDROM TALL POPPY.

Tahniah diucapkan kepada semua yang mendapat keputusan peperiksaan SPM 2016 baru-baru ini. Ini adalah satu permulaan. Semoga menjadi individu yang boleh berbakti kepada keluarga, masyarakat dan ummah dengan kelebihan masing-masing.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

 

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Pendidik adalah seperti doktor.

Jelas Imam Ghazali Rahimahullah*, pendidik – yakni ibubapa dan guru adalah seperti doktor. Seorang doktor tidak memberi satu jenis ubat saja untuk mengubati segala jenis penyakit kerana setiap penyakit ada ubatnya yang tertentu.

Ibubapa dan guru juga tidak sepatutnya menyelesaikan masalah-masalah tingkah laku anak-anak dengan kaedah marah dan cerca semata-mata kerana dikhuatiri akan lebih memudaratkan bagi sesetengah anak ataupun kaedah itu lebih merosakkan bagi anak yang lain.

Pendidik perlu mengambil kira:
1) Tabiat semulajadi (temperament) anak.
2) Apa yang menyebabkan anak melakukan kesalahan itu.
3) Berapa usia anak ketika itu.
4) Apakah tahap pengetahuannya.
5) Siapakah rakan-rakannya.

Ini seumpama diagnosis yang dibuat oleh doktor untuk menentukan apakah penyakit yang dialami oleh pesakit. Apabila sudah tahu apakah penyakitnya, maka mudahlah untuk memberikan ubat yang sesuai dengan penyakit.
Begitulah juga dalam memilih kaedah yang sesuai untuk anak yang melakukan kesalahan.

Tidak ada satu ubat yang boleh mengubati 1001 penyakit.
One size does not fit all.

*Pendidikan Anak-anak Dalam Islam
(Tarbiyatul Awlad Fil Islam) – Abdullah Nasih Ulwan

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Isu tidak popular – Jenayah Seksual

Isu Jenayah Seksual Kanak-Kanak bukanlah isu urban ataupun liberal. Ini adalah kebejatan dan kerosakan yang berlaku di seluruh dunia termasuklah dalam masyarakat kita tidak kira apa agama dan bangsa sekalipun. Nafsu yang lebih hina dari binatang tidak kira itu semua dan tiada batasnya. Oleh itu ia adalah sesuatu yang harus diambil serius oleh semua pihak. Anda mungkin rasa ia tidak berlaku kepada anda dan keluarga anda. Tetapi betulkah anda pasti? Atau anda sendiri tidak tahu yang ia berlaku kerana anda tidak pernah ambil tahu ataupun anda sendiri terpaksa berdiam diri kerana malu?

Ketika saya kecil tahun 70/80an dulu saya sudahpun mendengar cerita tentang hal hal yang sebegini. Terdengar dan pasang telinga percakapan orang tua dan juga yang di sok sek oleh kawan-kawan. Kanak-kanak faham dan perseptif. Apabila bercerita dengan emak tentang isu ini sekarang, emak juga membuka cerita-cerita yang berlaku pada zaman dulu – sekitar tahun 60-70an di kampung. Jadi isu jenayah seksual kanak-kanak ini bukanlah isu zaman moden. Bukan isu urban. Bukan isu golongan liberal. Ia menjadi semakin tenat dalam era digital sekarang ini.

Jangan men’taboo’kan perkataan pendidikan seks dan mengecilkan skopnya hanya setakat ‘safe sex’ ataupun seks selamat supaya tidak mengandung dan tidak dapat penyakit. Pendidikan Seks sangat sangat penting terutamanya zaman sekarang di mana semuanya boleh dicari oleh anak-anak dengan bertanya Mr. Google sahaja.

Anda mungkin berkata “Tak pe anak saya tak ada gajet jadi dia tak boleh google. Selamat saya.” – Jawapan saya, kawan anak ada gajet, anak pergi sekolah, anak dengar, anak belajar daripada kawan yang belajar dari Mr Google.
Anda mungkin berkata “Tak pe, rumah saya tak ada tv, tak tengok cerita-cerita pelik lucah ni”. Kata saya, sejauh mana dan selama mana kita boleh pastikan yang anak tidak ada tv dan kawal mereka daripada benda-benda lucah yang makin galak di sekeliling kita termasuk papan-papan iklan, media elektronik dan media cetak

Perkataan ‘seks’ dan perlakuan tidak elok dan lucah ada di sekeliling anak kita sekarang. Ia semakin di’halal’kan. Pendidikan seks adalah juga satu bentuk pendidikan yang mendidik anak tentang Keselamatan Diri (Personal safety) supaya anak tidak menjadi mangsa kerakusan nafsu orang dewasa dan tua (lelaki dan perempuan).
Supaya anak-anak kecil yang sering menjadi sasaran dan mangsa tahu apa sentuhan kasih sayang dan apa sentuhan iblis bertopeng manusia.
Supaya kanak-kanak tahu apa yang harus dibuat jika mereka hampir atau telah menjadi mangsa. Semua ini perlu dididik dan diberi perhatian. Ia bukanlah common sense jika tidak diajar.

Sheikh Abdullah Nasih Ulwan dalam buku ‘Pendidikan Anak-anak Dalam Islam (Jilid 2)’ ada mengupas tentang Pendidikan Seks ini. Jadi ia bukanlah sesuatu yang taboo atau haram untuk disentuh. Adab meminta izin sebelum masuk bilik yang digariskan dalam Surah An Nur (ayat 58-59) adalah asas pendidikan seks.
Hadith mengasingkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan apabila mencapai usia 10 tahun adalah juga asas pendidikan seks. Beliau sendiri menyarankan agar pendidikan seks ini dimulakan dari awal lagi dan harus diberi perhatian oleh ibubapa dan pendidik. Seeloknya ia dimulakan dari peringkat 1-6 tahun lagi. Statistik di Malaysia menunjukkan ramai di peringkat usia ini – lelaki dan perempuan – menjadi mangsa kerana pendidikan keselamatan diri tidak atau tidak sempat diberikan.

No automatic alt text available.

Ini bukanlah isu golongan urban atau golongan liberal. Ia adalah isu berat yang tidak harus diambil ringan hanya kerana kita SANGKA ia tidak berlaku kepada kita dan ahli keluarga kita.

Jenayah Seksual Kanak-kanak boleh berlaku secara sentuhan dan tiada sentuhan.
Just so you know.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Semua anak tidak dilahirkan bersama-sama dengan ‘instruction manual’. 

Semua anak tidak dilahirkan bersama-sama dengan ‘instruction manual’.
Bayangkan jika alat elektronik atau elektrik yang kita beli tiada ‘manual’.
Bayangkan perabot IKEA yang dibeli tanpa ‘manual’.
Oleh itu jangan rasa tertekan jika kita tersilap langkah pada awalnya. Semua ibubapa melalui episod yang sama. Tanpa ‘manual’ kita perlu belajar sendiri melalui ilmu dan pengalaman.
Berdoalah kepada Penciptanya supaya ditunjuki jalan.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

 

Setiap saat adalah bermakna.

Sebagai ibubapa, adakalanya kita melalui momen-momen yang sangat menguji emosi kita.
Pada momen yang indah, kita menghitung kebahagiaan.
Pada momen yang menguji, kita menghimpun pengalaman untuk membina kebahagiaan.
Setiap saat adalah bermakna.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect