25 Tanda Anak Belajar Di Tadika

25tandabelajarditadika

BELAJAR APA DI TADIKA HARI INI, NAK?

“KENAPA ANAK SAYA ASYIK MAIN SAJA?”
“Kenapa anak saya tidak diberi homework?”
“Kenapa anak saya tidak diberi latihan dalam buku dan worksheet?”
“Kenapa anak saya tidak diberi latihtubi matematik?”
“Kenapa anak saya tidak bawa balik hasil bertulis?”
“Kenapa anak saya tidak pandai baca?”
“Kenapa anak saya tidak ada peperiksaan?”

Jika anda tertanya-tanya soalan ini nanti, ketahuilah bahawa pembelajaran adalah satu proses.

Jika anda perhatikan anak anda yang berada di tadika menunjukkan ciri-ciri di bawah ini secara berperingkat, ketahuilah bahawa proses pembelajaran sedang berlaku.
JANGAN PANIK.

Fokus pembelajaran di peringkat usia awal adalah untuk membentuk:

  1. keperibadian
  2. minat dan kecenderungan
  3. perhubungan.

Semua ini tidak boleh dinilai di atas kertas.


Pembelajaran berlaku sekiranya anak:

  1. Berminat untuk mengenal Pencipta dan ciptaanNya.
  2. Berjaya memahami dan melabel emosi sendiri. Tahu dia gembira, sedih, marah, kecewa dan sebagainya.
  3. Cuba untuk membimbing dan mengurus emosi sendiri.
  4. Cuba memahami emosi rakan dan mempunyai empati terhadap rakan.
  5. Pandai membina perhubungan dengan rakan dan mencari perkaitan antara hidup sendiri dan hidup orang lain.
  6. Yakin berinteraksi dan bermain dengan orang lain.
  7. Pandai bekerjasama dalam kumpulan untuk menyelesaikan masalah.
  8. Patuh dan menghormati apa yang diperkatakan oleh guru dan ibubapa.
  9. Mengikut arahan dan memahami peraturan.
  10. Mendengar dan menghormati pendapat rakan.
  11. Yakin memberi pendapat dengan tertib dan berhemah.
  12. Banyak bertanya soalan.
  13. Mengelak dari bertindak negatif dan agresif terhadap rakan kerana faham kesannya.
  14. Memahami persamaan dan perbezaan antara manusia.
  15. Cakna dan prihatin terhadap kesukaran yang mungkin dihadapi oleh orang lain.
  16. Bersemangat untuk membantu dan menyumbang dalam komuniti.
  17. Memahami manfaat dan mudarat teknologi terutamanya gajet.
  18. Berminat untuk membaca apa sahaja label, papan tanda, teks atau bahan bacaan yang dilihatnya.
  19. Suka meluahkan idea dan emosi melalui contengan, lakaran, lukisan atau penulisan.
  20. Membina dan merekacipta sesuatu.
  21. Berjaya menunda kepuasan dan bersabar apabila mengingini sesuatu.
  22. Menghormati dan menepati masa. Tetap pada rutin.
  23. Memahami nilai wang dan bijak berjimat cermat dan menabung.
  24. Mengetahui perbezaan antara kemahuan dan keperluan.
  25. Peka terhadap alam sekitar, flora dan fauna dan bersemangat untuk memeliharanya.

Jika pada penghujung fasa tadika nanti anak menunjukkan sebahagian atau semua ciri-ciri tersebut, yakinlah anak sedang belajar untuk menjadi manusia. Itulah proses pembelajaran yang paling penting pada usia awal kerana kesannya akan berpanjangan.
Insya Allah.

“Please don’t expect too much of me
I’m learning more than you can see
Being simply here to enjoy and play
Means more to me than I can say
Please don’t fret at the end of the day
If I have nothing to display
I really gain so much from play
Social skills and come what may
So when I come home empty handed
From such a very busy play
Please don’t say
Haven’t you done anything today?”
-Anonymous-

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/