‘Meroyan’ Yang Disalahgunakan

Saya lihat sekarang ini perkataan ‘meroyan’ digunakan sewenang-wenangnya dalam pelbagai konteks yang tidak kena sehingga menenggelamkan maksud sebenar perkataan tersebut.
Meroyan adalah isu kesihatan mental yang sangat serius dan tidak seharusnya dibuat bahan gurauan.

Apabila si ibu sampai ke peringkat ‘halusinasi’ seperti dalam kes ini, ia menunjukkan bahawa si ibu sudah sampai ke tahap ke 3 atau tahap paling kronik dalam meroyan atau dikenali sebagai Postpartum Psychosis.

Melahirkan anak bukanlah proses yang mudah. Hanya yang melaluinya yang tahu dan faham trauma yang dialami ketika bersalin. Ia bukan sahaja melibatkan fizikal si ibu, malah juga melibatkan emosi dan mental ibu.

Beberapa tahun lalu dalam sebuah sesi yang saya hadiri, seorang Pakar perbidanan dan sakit puan menerangkan bahawa emosi seorang ibu mengambil masa lebih lama dari fizikal si ibu untuk pulih sepenuhnya selepas bersalin. Ini untuk proses mengandung dan kelahiran yang biasa dan normal, belum lagi mengambil kira proses mengandung dan kelahiran yang sukar dan bermasalah.

APA DAN SIAPA YANG PENTING?

1) Sokongan suami sangat sangat sangat penting. Tidak ada perkataan yang dapat saya gunakan untuk menggambarkan kepentingan peranan dan sokongan si suami.
Layanlah si isteri seperti permaisuri. Kalau sebelum ini sudah pun dilayan seperti permaisuri, layanlah seperti permaisuri segala permaisuri.
Pikullah tanggungjawab menjaga bayi bersama-sama.
Bukanlah isteri sengaja mengada-ngada dengan kerenah dan permintaan. Perubahan hormon boleh mempengaruhi sikap dan tangkah laku isteri. Ini hanyalah sementara.
Bersabarlah. Bukankah anak kamu juga yang dilahirkan wahai ayah.

2) Ayah, ibu, mertua, adik beradik, ipar duai juga memainkan peranan yang penting. Janganlah memberi pelbagai tekanan dari pelbagai sudut kepada ibu yang baru bersalin. Janganlah diganggu jiwa dan emosi ibu dengan kerenah anda yang macam-macam. Tidak perlulah mengeluarkan kata-kata yang mengguris hati dan perasaannya. Ibu baru bersalin sifatnya hypersensitive. Anda yang sepatutnya menjadi lebih sensitif dengan keadaan si ibu bukannya dia yang perlu menjaga hati anda sepanjang masa.

3) Mak cik-mak cik dan rakan-rakan pula janganlah terlampau galak dengan nasihat dan kritikan yang pelbagai sehingga membebankan emosi si ibu yang sudah semulajadinya terkesan dengan proses kelahiran. Berilah ruang dan peluang untuk si ibu berehat dan memikirkan sendiri halatuju keluarganya. Jika dia memerlukan nasihat, dia akan bertanya. Jika dia tidak bertanya, dia tidak memerlukan khidmat sukarela anda. Simpanlah dulu.

Postpartum depression (PPD) atau meroyan boleh dialami oleh sesiapa saja. Walau bagaimanapun wanita yang berisiko tinggi adalah mereka yang*:

*Pernah melalui episod meroyan atau PPD sebelum ini.
*Mengalami kemurungan ketika mengandung.
*Mempunyai sejarah kemurungan (depression) atau isu kesihatan mental yang lain.
*Melalui kehidupan atau pengalaman yang menekan.
*Tidak mempunyai sokongan sosial yang kuat dari orang terdekat.
*Mempunyai masalah rumahtangga.

Pantaulah isteri, anak/menantu, adik/kakak, dan rakan anda dan bawa si ibu untuk mendapatkan rawatan pakar kesihatan jika kemurungan atau kesedihan ibu berpanjangan sehingga mengganggu tugasan dan fungsi harian mereka.
Jangan ditunggu sehingga dia berhalusinasi kerana jika sampai ke tahap itu ia bermakna bahawa bebanan emosi dan mental itu sudah terlalu lama ditanggungnya.

meroyan

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

*Sumber: MGH Center for Women’s Mental Health.

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kanak-kanak-maut-dikelar-ibu-kandung-178363

Perlukah ‘Paternity Leave’ Yang Panjang? 7 Dapatan Kajian

Pendapat bahawa hanya para ibu yang perlu ambil peduli tentang anak-anak sudah ketinggalan zaman. Keterlibatan para bapa secara aktif dalam penjagaan anak-anak pada zaman sekarang sudah tentu memerlukan sokongan oleh semua pihak, terutamanya untuk para bapa yang bekerja.

pat

Peranan yang dimainkan oleh seorang bapa pada tahun 1950an amat berbeza berbanding dengan peranan bapa abad ke 21 ini. Jadi tidak hairanlah jika Akta Pekerja 1955 tidak langsung menyebut tentang ‘paternity leave’. Imej seorang bapa pada zaman dahulu lebih bersifat ‘authoritarian’ – diam dan berkata-kata secara serius atau hanya apabila marah – berbanding imej ‘authoritative’ sekarang – lebih terbuka untuk berbincang tetapi masih tekankan pada emosi dan tingkah laku. Zaman sudah berubah, persekitaran anak-anak zaman sekarang membesar juga semakin berubah. Cabaran zaman digital ini di mana ramai kedua ibubapa keluar bekerja memerlukan penglibatan ayah juga dalam membesarkan anak-anak dan bukan hanya tanggungjawab ibu seorang.

1) Majalah Economist pada May 2015 melaporkan bahawa para bapa yang mengambil paternity leave selalunya akan memainkan peranan yang lebih aktif dalam tugas penjagaan anak-anak. Penglibatan yang sebegini sudah tentunya meringankan beban fizikal dan emosi yang ditanggung oleh ibu yang baru bersalin.

2) Sebuah kajian yang dibuat oleh Dr. Jennifer Baxter dari The Australian Institute of Family Studies tentang para bapa di 4 negara maju iaitu Amerika Syarikat, Australia, Britain dan Denmark mendapati bahawa para bapa yang mengambil ‘paternity leave’ tidak kisah malah ringan tulang untuk menyuap makanan, memakaikan anak pakaian, memandikan dan bermain dengan anak walaupun ‘paternity leave’ tersebut sudah berakhir. Para bapa dari Denmark didapati lebih aktif. 77 % daripada mereka bermain dengan anak-anak mereka. Saya yakin para bapa di Malaysia pun boleh mengatasi peratusan ini. Insya Allah.

3) Di Britain pula para bapa yang meluangkan masa untuk bersama-sama menjaga bayi didapati lebih berkecenderungan untuk bacakan buku untuk anak kecil mereka. Untuk pengetahuan semua, konsep ‘read aloud’ atau bacakan buku untuk anak (bukannya ajar anak membaca ya) adalah aktiviti yang sangat efektif untuk memupuk minat membaca pada anak-anak. Apa gunanya pandai membaca tetapi tidak suka membaca. Ini bukan hanya tugas guru di sekolah, peranan lebih besar perlu dimainkan oleh ibubapa.

4) Sebuah kajian di University of Oslo, Norway mendapati bahawa ‘bonding’ antara bapa dan bayi yang baru lahir akan mewujudkan ‘connection’ yang berpanjangan dan berkekalan dengan anak tersebut. Connection ini sangat penting untuk melahirkan seorang individu yang boleh menyumbang secara positif dalam masyarakat.

5) ‘Paternity leave’ ini didapati membantu prestasi anak-anak di sekolah menengah. (Kajian 4 di atas).

6) Anak perempuan terutamanya didapati berkembang dan membesar dengan lebih positif apabila figura bapa meluangkan masa untuk terlibat dalam penjagaan anak ketika anak masih bayi. Di hujung artikel oleh Astro Awani ini menyebut, “Mengikut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Norway direkodkan sebagai negara paling banyak memberikan cuti bersalin bergaji untuk bapa iaitu 112 hari.”

7) Kajian yang dibuat di Oswaldo Cruz Foundation, Brazil pula mendapati bahawa bapa yang terlibat dengan penjagaan dan proses membesarkan dan mendidik seorang anak dari bayi lagi didapati sangat kurang terlibat dengan penderaan seksual anak – atau sumbang mahram dalam istilah Melayu dan kurang terlibat dengan keganasan rumahtangga atau penderaan terhadap isteri.

Selama lebih 62 tahun fokus kita di Malaysia lebih tertumpu pada ‘maternity leave’. Sudah tiba masanya kita memberi penekanan yang serius kepada ‘paternity leave’ juga kerana ia bukan sahaja bermanfaat buat ibu yang bersalin, ia juga mempunyai kesan yang besar dan berpanjangan pada perkembangan anak, masyarakat dan negara secara umumnya.

Walau bagaimanapun penglibatan para bapa yang aktif sebegini hanya boleh berlaku jika paternity leave ini turut sama disokong oleh majikan, kerajaan dan masyarakat secara umumnya kerana ekonomi keluarga juga harus difikirkan tambahan lagi apabila anak semakin bertambah.

Oh ya, janganlah pula gunakan paternity leave yang panjang dan bergaji itu untuk meliar mencari ‘ibu tiri’ bagi anak yang baru lahir ya. Gunakanlah peluang itu untuk bonding bersama isteri, bayi dan anak-anak yang lain kerana itulah peranan seorang ayah yang mithali. Sudah banyak kisah negatif sebegini yang sampai ke pengetahuan saya.

Bacalah artikel penuh Astro Awani ini di link ini.

 

Yang menyokong cadangan ‘paternity leave’ yang panjang,
Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practive UK)

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect