Malaysia Di Tangga Pertama

teratas

Kredit Gambar: The Star

“Difahamkan, sebanyak 51 peratus kanak-kanak berusia antara 13 dan 15 tahun berkawan dengan penjenayah menerusi aplikasi WeChat, Facebook, WhatsApp dan Beetalk.”
(Bayangkan lebih separuh daripada pelajar tingkatan 1-3 di sekolah anak-anak kita.)

“Data tersebut turut mendedahkan bahawa hanya 35.6 peratus ibu bapa yang memantau aktiviti (online) anak-anak mereka.”

Ini adalah realiti yang sangat membimbangkan dan menyedihkan tentang masyarakat kita.
Ini adalah realiti yang perlu dipedulikan oleh ibubapa. Tahun lepas kita di tangga ke 3 dan itu sudah cukup membimbangkan.
Tahun ini kita di tangga teratas.
Kenapakah begitu jadinya?

Seperti yang saya tulis sebelum ini, ‘parenting’ bukan hanya mengetahui kaedah ABCD, bagaimana itu, bagaimana ini yakni makan, mjnum, menyusu, baca, mengira, tantrum, toilet train, panjat, guling, main, tadika, dan sekolah sahaja.

Sebahagian penting dari proses ‘parenting’ adalah mengetahui apakah faktor persekitaran yang mempengaruhi diri kita, anak kita dan keluarga kita. Inilah yang akan membentuk nilai dan budaya masyarakat yang akhirnya akan mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku anak kita.

Sama-sama kita peduli dan pantau.
Jangan ingat ia tidak mungkin berlaku kepada anak-anak kita.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

 

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan bacaan alamat IP tertinggi di Asia Tenggara dalam memuat naik dan memuat turun gambar serta visual…
MSTAR.COM.MY
Advertisements

‘Parenting’ Bukan Hanya Mengetahui Kaedah ABCD

‘Parenting’ bukan hanya mengetahui kaedah ABCD.

abcdKredit Gambar: Google

Sebahagian dari proses parenting adalah mengetahui faktor persekitaran yang akan mempengaruhi anak-anak kita. Akan tiba satu tahap di mana kuasa persekitaran ini akan lebih berpengaruh berbanding kuasa ibubapa itu sendiri.

Apakah yang ‘cool’ dalam dunia anak kita?
Apakah perkataan yang menjadi ikutan?
Siapakah idola yang menjadi kegilaan?
Apakah lagu dan lirik yang menjadi siulan?
Apakah rancangan TV yang popular?
Apakah mainan yang menjadi rebutan?
Apakah app yang ‘trending’ ?

Tahukah anda jawapan kepada semuanya?
Ini dunia anak-anak yang perlu kita tahu.
Bukan saja remaja, anak tadika pun mudah terdedah dan terpengaruh.

“Didiklah anak mengikut zaman di mana dia dibesarkan.”

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

“Violence Against Women Starts With Disrespect”

Peringatan yang tegas oleh Kerajaan Australia kepada rakyatnya yang sepatutnya menjadi peringatan kepada masyarakat kita juga.

domabuse

“Violence against women starts with disrespect”

Seperti yang saya tulis di pautan ini:
IKLAN YANG MEROSAKKAN ANAK DAN MASYARAKAT 

Mentaliti bahawa ‘tidak mengapa menampar, mendera dan menghina wanita jika wanita itu tidak cantik (ataupun cantik sekalipun)’, seperti yang dipaparkan dalam beberapa iklan kecantikan di Malaysia, bermula dari kecil lagi.

Jika perbuatan ganas kanak-kanak lelaki dibiarkan berkembang oleh orang dewasa dengan kata-kata seperti:

“Budak lelaki itu berbuat begitu kerana dia sukakan kamu.”
“Jangan lembik macam perempuan.”

maka keganasan itu akan terus dibawa sehingga ke tua dan akan menjadi norma dalam keluarga dan masyarakat.
Usah biarkan mereka yang mempunyai pemikiran yang rosak sebegini terus meracuni pemikiran anak-anak dan remaja kita melalui media dan apa saluran sekalipun.

Hentikan

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Iklan Yang Merosakkan Anak dan Masyarakat

Ini bukanlah kali pertama.

domvio

Kredit Gambar: Sinar Harian
Sudah dua kali saya melihat iklan produk kecantikan seperti ini ditularkan di media sosial.

Kali pertama adalah iklan produk kecantikan yang memaparkan bagaimana seorang suami mendera dan menceraikan isterinya kerana tidak cantik dan bergaya.

Yang terbaru ini juga adalah iklan premis kecantikan ataupun spa yang memaparkan bagaimana seorang perempuan dipukul oleh teman lelakinya kerana muka yang berjerawat. Tidak cukup dengan itu, lelaki orang awam yang melihat wajah perempuan itu juga turut memukul dan menendangnya kerana wajahnya yang tidak menepati piawaian lelaki-lelaki dalam iklan tersebut.

Apakah yang cuba kita sampaikan kepada masyarakat melalui iklan-iklan sebegini?

Apakah budaya yang cuba kita terapkan di kalangan kanak-kanak dan remaja yang menontonnya tanpa pantauan ibubapa?

Yang lebih mengecewakan adalah komen-komen dari netizen yang mengiakan dan menganggap perkara serius seperti keganasan terhadap wanita adalah benar dan lucu , termasuklah komen dari perempuan sendiri.

Adakah jati diri dan keyakinan diri orang muda kita, terutamanya yang perempuan, begitu rapuh sehinggakan kita harus tunduk kepada penilaian yang dibuat oleh produk-produk kecantikan melalui iklan-iklan mereka yang melawan arus pembangunan insan.

Mungkinkah kita terlalu disogok dengan rancangan hiburan lawak sehingga menyebabkan kita kehilangan kewarasan untuk berfikir?

Saya khuatir kerana penerimaan kepada iklan yang berulang-ulang sebegini dalam jangkamasa yang singkat, adalah cerminan bahawa ia sememangnya berlaku dan menular dalam masyarakat sehinggakan diterima sebagai satu norma.

Keganasan terhadap wanita adalah tidak normal.


 

SEMUANYA BERMULA DARI SIFAT HORMAT.

Jika anak lelaki dididik untuk menghormati ibu, kakak, adik perempuan, makcik-makcik, nenek, sepupu perempuan, saudara perempuan, dan juga kanak-kanak perempuan dan wanita umumnya, isu keganasan terhadap wanita ini tidak akan dijadikan bahan lawak sebaliknya semua akan bersatu hati membanteras dan mencemuh tindakan tersebut kerana ia adalah satu kesalahan yang bertentangan dengan nilai manusia yang waras.

Bayangkan yang dipermainkan dan diobjektifikasikan itu adalah ibu anda ataupun saudara perempuan anda. Adakah anda tidak rasa sedikitpun rasa jelek?

Jika tidak, ternyata anda memerlukan bantuan pakar psikiatri kerana ada yang tidak normal dengan pemikiran dan pembawaan anda.

  • Didiklah anak lelaki untuk menghormati perempuan dengan tidak mempermain-main mereka.
  • Didiklah anak lelaki untuk berlemah-lembut dengan perempuan kerana perempuanlah yang bakal menjadi ibu kepada anak-anak mereka dan penyambung generasi seterusnya.
  • Didiklah anak lelaki untuk melihat perempuan sebagai manusia yang mempunyai perasaan dan maruah dan bukannya sebagai objek yang boleh dipergunakan sesuka hati.
  • Walaupun mungkin perempuan itu sendiri tersilap dan merendahkan dirinya, didiklah anak lelaki untuk tidak menjatuhkan lagi nilai diri anak gadis itu dengan mempergunakannya atau mengejeknya.
  • Didiklah anak lelaki melalui contoh teladan daripada anda sendiri sebagai seorang ayah yang tidak mempermainkan, mengeksploitasikan, mengobjektifikasikan, memaki hamun, mendera dan berlaku ganas terhadap wanita.

BE A MAN.

SEMUANYA BERMULA DARI KEYAKINAN DAN JATI DIRI.

Kanak-kanak dan remaja perempuan seharusnya dididik untuk tidak membenarkan kecantikan luaran dijadikan kayu ukur untuk menilai diri mereka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan cuba mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan.

  • Kelebihan dan kekuatan yang dimiliki oleh kanak-kanak dan remaja perempuan seharusnya dipupuk dan dihargai dari kecil oleh kedua ibubapa supaya mereka yakin yang diri mereka sememangnya bernilai walaupun dipandang rendah oleh orang lain.
  • Kenali anak permpuan anda dan tanya diri anda apakah kelebihan atau bakat yang dimilikinya? Fokus kepada kelebihan tersebut untuk menaikkan keyakinan dirinya.
  • Galakkan anak-anak perempuan memperkembangkan kelebihan dan bakat mereka dengan menjuruskannya ke jalan yang memanfaatkan dirinya, keluarga dan masyarakat secara umumnya.

Tidak ada salahnya sukakan kecantikan. Semua perempuan, walaupun kanak-kanak kecil sekalipun, suka dan ingin kelihatan cantik.
Tidak ada salahnya merawat kulit muka jika mempunyai masalah tetapi janganlah dibiarkan ia menjadi satu-satunya aspek yang menentukan taraf dan harga diri seorang perempuan sehingga membiarkan diri kita dieksploitasikan dan diobjektifikasikan oleh pihak yang ingin mengaut keuntungan semata-mata.

KNOW YOUR VALUE.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

Video peringatan di link ini:

https://www.facebook.com/MyParentConnect/videos/1706644266063951/
LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

REMAJA: Kenapa Mereka Sukar Difahami?

REMAJA: Kenapa Mereka Sukar Difahami?
PETRONAS CHEMICALS METHANOL, LABUAN

Sebagai seorang ibu kepada anak-anak remaja dan dewasa, saya yakin kebanyakan (kalau tidak semua) ibubapa remaja menghadapi cabaran dengan anak-anak remaja masing-masing dalam bentuk yang berbeza-beza. Soalan-soalan yang diajukan pada sesi forum seminar ini adalah berbeza sama sekali dengan soalan-soalan yang biasa diajukan kepada saya berkaitan anak-anak berusia 9 tahun ke bawah. Cabaran setiap peringkat usia anak adalah berlainan sama sekali.

Kebanyakan Konflik berlaku kerana kecenderungan semulajadi remaja itu sendiri yang mahu melarikan diri dari label kanak-kanak yang harus diurus ibubapa kepada identiti orang dewasa yang mahu bebas, berdikari dan membuat semua keputusan sendiri. Perubahan fisiologi juga mempengaruhi remaja. Terdapat sekurang-kurangnya 4 punca di sebalik tingkah laku anak remaja yang menguji kesabaran kita yang telah saya kongsikan pada seminar ini. Oleh kerana punca tingkah laku itu pelbagai, kaedah menanganinya juga perlu bersesuaian dengan puncanya.
“One size does not fit all.”

Menyarankan agar semua salah laku perlu ditangani dengan hukuman yang keras adalah ‘counter productive’. Pada seminar ini, seorang pendidik berkongsi bagaimana hukuman tidak mengubah tingkah laku sesetengah remaja kerana ada remaja yang merasakan diri “cool” dan hebat apabila dihukum. Remaja ini akan mengulangi perbuatannya. Ada juga anak remaja yang terbukti berubah kerana kelembutan dan bukannya kekerasan.

Tidak semua tingkah laku remaja yang kita lihat terutamanya yang suka ditularkan di media sosial adalah disebabkan oleh remaja itu 100%. Orang dewasa di sekeliling remaja juga bertanggungjawab atas tingkah laku mereka yang kita lihat.
Seorang ibu berkongsi bagaimana sukarnya dia menguruskan anak remaja tanpa bantuan daripada figura seorang ayah yang sangat penting pada fasa ini. Dalam sebuah keluarga, ayah adalah pendidik utama, tanpa tanggungjawab seorang ayah, keluarga akan kehilangan arah.

Dalam sesi ini saya juga berkongsi 10 perkakasan (tools) yang boleh membantu ibubapa dan pendidik untuk memahami, membimbing, dan membantu remaja yang memerlukan bantuan untuk memperbaiki diri.

Langkah pertama untuk memahami anak remaja adalah dengan merenung kembali masa remaja kita dulu. Sikap ‘holier-than-thou’ orang dewasa tidak dapat membantu keadaan.
Terima kasih kepada semua peserta yang berkongsi kisah zaman remaja sehingga menitiskan air mata dan juga memori yang menggamatkan suasana dewan dengan gelak ketawa. Perkongsian pengalaman ini diharapkan boleh dijadikan panduan buat diri sendiri dan ibubapa lain dalam mendidik anak remaja masing-masing. Apa yang berlaku pada masa lalu tidak boleh diubah tetapi ia adalah pengajaran yang berharga untuk melangkah ke hadapan.
“Experience is always the best teacher.”

Saya terharu kerana pada penghujung seminar selama 2 hari ini, seorang ibu menghampiri saya dan mengatakan seminar ini adalah seperti “a gift” untuknya di kala dia buntu cuba memahami apa yang berlaku pada anak remajanya. Si ibu kini faham di manakah peranan dan perubahan yang perlu dilakukan. Alhamdulillah.

Sebagai manusia, tidak ada ibubapa yang sempurna dalam mendidik anak. Kita akan melakukan kesilapan dan kadang-kadang kita alpa di sepanjang perjalanan keibubapaan kita. Keibubapaan adalah juga satu proses untuk ibubapa terus belajar untuk memperbaiki diri. Semoga Allah SWT menerangi perjalanan kita mendidik anak-anak dengan cahaya bimbinganNya.

Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada pihak penganjur, BAKIP dan PETRONITA PC METHANOL LABUAN yang menjemput saya buat kali kedua ini. Ia adalah pengalaman yang berharga buat saya juga. Terkesima saya mendengar kemerduan suara Tuan moderator mengalunkan lagu “Keluarga Bahagia” di awal sesi forum, begitu juga keindahan madah yang disusun Puan Pengerusi.

Terima kasih kepada semua peserta yang hadir ke seminar 2 hari ini.
Terima kasih juga diucapkan kepada peserta yang hadir pada hari pertama sahaja dan tidak dapat bergambar bersama-sama dalam ‘group photo’.
Layanan baik anda semua menyentuh hati saya.

 

labuan

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

Pendidikan Anak-anak Menjelang Usia Baligh

Dua hari lepas saya mendengar satu perkongsian oleh seorang pakar sakit puan (O&G) di saluran radio BFM. Maaf, saya tidak ingat nama beliau. Jika ada yang ingat, bolehlah tulis di ruangan komen. Terima kasih.  (Update: Girl’s Health, oleh Dr Liew Fah Onn)

Beliau menggesa supaya semua ibubapa menceritakan tentang kemungkinan-kemungkinan yang boleh dan akan berlaku apabila anak memasuki usia baligh (puberty), terutamanya keupayaan untuk mengandung.

Sekarang ini permulaan usia baligh sudah semakin awal. Ada yang seawal usia 9 tahun atau awal daripada itu. Kadang-kadang ibubapa sendiri terkejut dengan perubahan yang berlaku dengan mendadak maka tidak bersedia mempersiapkan anak dengan ilmu yang sepatutnya.

Jangan jadikan pendidikan tentang tubuh badan atau biologi manusia sebagai satu yang ‘taboo’ dalam masyarakat.

Jangan menganggap pendidikan seksual itu mengajar anak tentang aktiviti seksual. Ia juga mengajar anak tentang keselamatan diri (personal safety).

Sheikh Abdullah Nasih Ulwan sendiri menulis tentang Pendidikan Seksual dalam kitab beliau ‘Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam’ berpuluh-puluh tahun yang lalu.
Jika anda berfikiran begitu, itu menunjukkan betapa ceteknya pemikiran anda tentang ilmu. Pemikiran yang sebegitulah menyebabkan banyak masalah yang berlaku sekarang kerana kita gagal untuk mendidik anak kita dengan pengetahuan dan pemikiran yang sepatutnya.

tarbiyatulawlad

Bagi anak lelaki pula, penekanan kepada konsep tanggungjawab adalah sangat penting apabila memasuki usia baligh. Anak yang memasuki usia baligh ini selalunya ingin berdikari dan membuat keputusan sendiri. Ini menunjukkan kecenderungan semulajadi seorang manusia untuk memikul tanggungjawab. Oleh itu didiklah anak tentang erti bertanggungjawab.

Tebalkan muka dan bercakaplah dengan anak yang memasuki usia baligh itu tentang perubahan yang dialami dan kemungkinan-kemungkinan.
Anak lebih keliru daripada kita yang berpengalaman.
Jika kita malu untuk bercakap dan tidak bercakap dengan anak, anak mencari sumber lain untuk mencari jawapan bagi kekeliruan dan kemusykilan yang dihadapi apabila memasuki fasa baru dalam kehidupan mereka.

Adakah anda pasti sumber lain itu memberi jawapan yang mengikut landasan nilai dan ilmu yang sepatutnya?

Atau sumber itu lebih merosakkan anak kita?

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

 

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect

Parenting Bukan Isu Garang Atau Lembut

Ada ibubapa yang garang dengan anak tetapi anak tidak menjadi ‘orang’.pclogo

Ada ibubapa yang lembut dengan anak dan anak menjadi baik.

Ada ibubapa yang garang dengan anak dan anak jadi anggota masyarakat yang berguna.

Ada ibubapa yang lembut dengan anak tetapi anak jadi kacang hantu.

Betul?

Parenting bukan isu garang atau lembut.
Ia lebih daripada itu.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect