Harapan (Expectation)

Kadang-kadang harapan (expectation) kita terlampau tinggi, anak lambat dan susah hendak capai.
Kita kecewa. Anak kecewa.
Kadang-kadang pula harapan kita terlalu rendah, anak tidak yakin diri dan tidak capai potensi.
Kita kecewa. Anak kecewa.
Bagaimana membina harapan yang realistik?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

Advertisements

Anak-anak memberikan cabaran yang berbeza pada setiap peringkat usia mereka.

Anak-anak memberikan cabaran yang berbeza pada setiap peringkat usia mereka.

Ketika bayi, kita diuji dengan kepenatan fizikal menguruskan anak yang bergantung sepenuhnya kepada kita. Tidur sering terganggu dan tidak cukup. Kitaran menyusukan anak, membersihkan anak dan menenteramkan anak sangat meletihkan. Memastikan bayi dijaga oleh pengasuh yang baik juga adalah cabaran yang besar ketika usia ini.

Semasa usia ‘toddler’, kita perlu berhadapan pula dengan anak yang sering meragam kerana inginkan otonomi. Anak mula mempunyai pendirian untuk melakukan sesuatu mengikut caranya sendiri walaupun kurang pengalaman. Membantah atau tidak menurut apa yang anak inginkan sering menimbulkan konflik dalam bentuk ‘tantrum’.

Ketika usia persekolahan kita perlu pula berhadapan dengan cabaran akademik yang terpaksa dilalui oleh anak. Adakalanya risau kita melebihi kerisauan anak. Pada usia ini juga anak melalui cabaran sosial kerana mula berkawan. Anak mungkin mula meniru tingkah laku yang tidak elok dan membawa pulang ke rumah. Kita pula perlu menyokong dan membimbing anak dan pada masa yang sama menetapkan batasan dan peraturan supaya anak berpegang kepada nilai keluarga kita. Peraturan ini adakalanya tidak menggembirakan anak tetapi bukanlah tugas kita untuk memastikan anak gembira sentiasa tanpa peraturan.

Dengan anak remaja, cabaran akademik dan sosial semakin memuncak. Pada peringkat usia inilah kita perlu berhadapan dengan pelbagai kerenah anak yang banyak bermain dengan emosi. Pada usia ini jugalah rakan-rakan adalah segalanya bagi mereka. Mereka ingin bebas dari label kanak-kanak dan mahu berdikari. Pada masa yang sama mereka juga masih perlukan bimbingan. Mengimbangi antara memberikan mereka kebebasan dan menggalakkan mereka bertanggungjawab ke atas diri sendiri seumpama menarik rambut dalam tepung.

Proses keibubapaan ada pasang dan ada surutnya. Semuanya berlaku dengan begitu pantas. Fasa baru usia anak adalah pelajaran baru juga bagi kita. Rasa risau itu normal, rasa sedih itu normal, rasa kecewa itu normal, rasa bersalah itu normal, rasa marah itu normal.
Hargailah seribu satu kegembiraan dan kebahagiaan yang kita lalui sebagai ibubapa.
Carilah dan hargailah kebaikan anak-anak yang sudah pastinya ada, kerana itulah yang akan memberikan semangat buat kita di waktu kita rasa ‘gagal’ sebagai ibubapa.

Do’a.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

*Kredit gambar kepada pemilik asal yang tidak saya ketahui.
Edited: https://www.facebook.com/BeardoComic/

Image may contain: one or more people

TUNGGU SEKEJAP WAHAI KASIH

Pernahkah anda melalui situasi di mana anak mahukan sesuatu serta merta dan tidak mahu menunggu?

Kanak-kanak sekarang dikenali sebagai generasi ‘INSTANT GRATIFICATION’ iaitu generasi yang tidak sabar menunggu. 
Mereka hidup dalam dunia yang serba pantas. Mereka hidup dalam dunia ‘touch screen’, semuanya di hujung jari.
Mereka hidup dalam dunia di mana semua kehendak mereka boleh dipenuhi dengan segera oleh (kebanyakan) ibubapa.
Mereka hidup dalam dunia di mana kartun kegemaran boleh ditonton sepanjang masa diulang ulang.

Disebabkan kepantasan mendapatkan sesuatu ini, mereka sering melihat diri mereka sebagai seorang individu dan bukannya sebagai sebahagian dari unit keluarga. Mereka sukar melihat kesan perbuatan dan kemahuan mereka kepada keluarga.

Ajari anak generasi ini untuk sabar menunggu.
Ajari anak generasi ini untuk faham bahawa orang lain juga ada keperluan mereka yang harus dihormati.

Apabila anak ajak bermain dan anda sedang sibuk uruskan pinggan mangkuk yang bertimbun di dapur, katalah kepada anak “Beri ibu 5 minit untuk cuci pinggan mangkuk. Lepas itu Ibu datang.”
Biar anak tunggu sekejap dan faham yang ibu juga ada tugasan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Apabila anak meminta bantuan dengan kerja sekolahnya dan anda perlu menguruskan anak kecil dengan segera, katalah kepada anak
“Kejap Ayah pakaikan adik lampin lepas itu Ayah bantu. ”
Biar anak tunggu sekejap.
Kadang-kadang waktu menunggu itu anak akan dapat menyelesaikan apa saja masalah yang dihadapinya dengan sendiri.
Biar anak faham bahawa semua ahli keluarga ada keperluan yang perlu dihormati dan saling dibantu.

Latih anak untuk menunggu untuk dapatkan sesuatu.
Bukankah ganjaran syurga juga perlu ditunggu?

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect

‘DIGITAL DIET’ YANG SIHAT.

Akhir-akhir ini kita banyak membaca pendapat tentang bagaimana penggunaan gajet membantutkan perkembangan fizikal, intelektual, pertuturan, sosial dan emosi anak-anak pada usia awal. Semua pendapat ini perlu diambil serius dan ibubapa perlu dapatkan bantuan sekiranya anda risau tentang perkembangan anak-anak anda.

Anak-anak kita, terutamanya generasi Alpha dikenali sebagai ‘digital natives’. Satu istilah yang diperkenalkan oleh Marc Prensky pada tahun 2001 untuk menggambarkan generasi yang lahir dan dikelilingi oleh teknologi dan peranti digital. Teknologi akan terus kekal dan berkembang. Ibubapa perlu bijak memainkan peranan untuk mewujudkan keseimbangan tentang penggunaan teknologi digital keluarga dan anak-anak atau apa yang dikenali sebagai ‘digital diet’.

Anak-anak perlu dibekalkan dengan skil penting yang diperlukan dalam dunia digital supaya mereka dapat mengimbangi masa (time management), perhubungan (relationship) dan reputasi (reputation) apabila berada dalam dunia mereka ini. Tanpa skil ini anak sama ada akan ketinggalan dalam dunia digital ataupun akan menjadi masyarakat digital yang tidak bertanggungjawab dan mendatangkan masalah.

Disebabkan ada yang menghantar mesej bertanya saya tentang isu ini, saya ingin mencadangkan agar ibubapa dan juga guru membaca buku ‘Screen-smart parenting’ oleh Jodi Gold MD ini sebagai panduan untuk mencapai keseimbangan atau ‘digital diet’ dalam keluarga dan di kalangan anak-anak.

Penulis yang juga seorang Profesor dalam bidang Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja menggunakan pendekatan mudah dan ‘non-judgemental’ terhadap penggunaan teknologi digital.

Beliau tetap menegaskan bahawa bagi anak kecil, tidak ada teknologi yang dapat menggantikan interaksi dengan ibubapa (HUMAN INTERACTION) dan juga bermain (PLAY).

Buku dibahagikan kepada panduan untuk 0-2 tahun, 3-5 tahun, 6-8 tahun, 8-10 tahun, 11-14 tahun, 15-18 tahun dan juga anak-anak ADHD.

Selamat menimba ilmu.

Oh ya, saya bukan penjual atau agen dan saya juga tidak ada saham dalam syarikat penerbitan.
Saya hanya berkongsi buku yang berada dalam ‘library’ saya untuk dijadikan panduan oleh semua yang berminat.

Boleh dapatkan di Kinokuniya KLCC (RM 75.99 setahun yang lalu) atau mungkin juga online.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

No automatic alt text available.

PORNOGRAFI DAN KANAK-KANAK

Tahukah anda 94.2% kanak-kanak dan remaja di Malaysia di antara usia 10-17 tahun TELAH terdedah kepada konten pornografi di internet?

Tahukah anda kanak-kanak sekolah di Malaysia melayari laman pornografi selama 20.9 jam seminggu?

Tahukah anda Malaysia berada di tangga ke 8 dalam senarai 21 negara di mana pornografi PALING kerap ditonton?

(Sumber: SKMM dan Pornhub)

Berikut adalah mesej dan inisiatif NGO Malaysians Against Pornographykhusus untuk remaja dan dewasa berusia 13-25 tahun.

JOM Peduli dan Lindungi Keluarga Kita.
Sila share/tag saudara dan rakan.
Terima kasih.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

———————————————-

Dunia internet yang tiada sempadan.
It’s a double edged sword.

Memang banyak kebaikan, dan itu tidak kita nafikan
Tetapi ianya juga datang dengan pelbagai keburukan
Sekiranya kita tidak cakna, akan mendatangkan bahaya kepada diri dan keluarga.

Terutama bagi anak-anak remaja
Di kala usia meningkat dewasa
Gelojak rasa ingin lepas bebas dari kongkongan
Datang pula kenalan dunia siber
Semuanya indah-indah belaka
Tidak terlintas akan dunia yang bahaya
Tidak terfikir yang di alam ini
Ramai yang berpura-pura

Maka kami mengajak anda untuk bersama-sama
Dalam kempen *BIJAK DUNIA SIBER*
Kerana kita harus persiapkan diri dengan ilmu
Untuk membimbing anak-anak yang kian meningkat umurnya.
Jangan dibiarkan mereka lepas bebas
Dalam dunia penuh tipu daya dan muslihat
Tanpa panduan dan kata nasihat

Layari www.openlearning.com/courses/social-media-lmt…

Banyak panduan berkenaan “How to stay safe in the cyberworld”
Kami juga ingin mengajak adik-adik yang berumur 13-25 tahun untuk mengambil bahagian dalam pertandingan reka poster!
Hadiah lumayan menanti untuk poster yang paling kreatif dan menarik
Poster yang mendapat paling banyak “like” 👍🏻di FB kami pun akan mendapat hadiah!

Untuk info lanjut berkenaan pertandingan reka poster ini, sila layari https://tinyurl.com/PosterBijakDuniaSiber
#BijakDuniaSiber
#LoveMyselfCampaign
#LoveMyselfRun2017
Web: http://lovemyself.ikram.org.my/
FB: Love Myself Campaign & Malaysians Against Pornography

ANAK SERING BERTUKAR PENJAGA.

Ini adalah antara cabaran yang kerap dikemukakan oleh ibubapa, penjaga dan guru kepada saya.

Tahukah anda anak kecil yang sering bertukar-tukar penjaga atau bertukar-tukar nurseri/taska menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri secara sosial (social adjustment)?

Sebuah kajian yang dijalankan oleh Frank Porter Graham Child Development Institute (FPG) pada tahun 2014 menunjukkan bahawa gangguan atau ketidakstabilan dalam penjagaan awal kanak-kanak memberi kesan yang negatif kepada perkembangan sosial kanak-kanak dari seawal usia 4 tahun. Kesukaran sosial ini ditunjukkan melalui tingkah laku anak yang sukar dikawal, membantah dan memberontak terutamanya apabila mula memasuki alam persekolahan formal.

Kenapakah ini boleh berlaku?

Antaranya:

1) Kecenderungan utama anak kecil adalah untuk mendapatkan perhatian penjaga utamanya (primary caregiver). Apabila penjaga sering bertukar-tukar, anak kecil perlu menukar cara mendapatkan perhatian, berinteraksi dan berkomunikasi dengan penjaga yang baru. Anak perlu membina kepercayaan terhadap penjaga yang baru. Semua ini mengambil masa. Jika penjaga berterusan bertukar, anak akhirnya berputus asa untuk mempercayai sesiapa pun.

2) Anak kecil merasa lebih selamat dan stabil apabila penjaga menetapkan batasan atau peraturan yang melindungi anak tersebut. Apabila penjaga sering bertukar, anak perlu menyesuaikan diri dengan nilai dan peraturan yang ditetapkan oleh penjaga yang baru pula.
Nilai dan peraturan yang tidak konsisten menyebabkan anak kecil memberontak kerana rasa tidak selamat dan keliru.

3) Setiap penjaga mempunyai pembawaan, personaliti dan teknik yang tersendiri sewaktu menjaga dan mendidik anak-anak. Apabila penjaga sering bertukar-tukar, anak perlu menyesuaikan diri dengan pembawaan, personaliti dan teknik yang digunakan oleh penjaga yang baru pula yang sudah tentunya berbeza dari sebelum ini.
Mencari penyesuaian ini mengambil masa dan membebankan bagi anak kecil.

Bertukar dari satu penjaga ke penjaga yang lain bukanlah proses yang mudah untuk perkembangan sosial dan emosi anak kecil yang masih baru hendak berkembang. Emosi mereka terganggu dan terbeban. Apabila emosi terganggu, perkembangan sosial mereka juga terjejas. Inilah yang menyebabkan anak menunjukkan tingkahlaku anti-sosial terutamanya apabila mereka tidak tahu bagaimana untuk meluahkan kekecewaan, kekeliruan dan rasa kehilangan dalam diri mereka.

Ayah dan ibu perlu memahami apa yang sedang mereka lalui tanpa menghukum. Bimbinglah emosi dan tingkahlaku anak. Anda perlu sentiasa hadir secara fizikal dan juga memberi sokongan emosi kepada anak kerana jika keadaan ini berterusan, anak akan menghadapi kesukaran untuk membina perhubungan yang positif apabila dewasa kerana hilangnya kepercayaan kepada orang sekeliling sejak kecil.

Anak kita tanggungjawab kita.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

LIKE US ON FACEBOOK @  https://www.facebook.com/MyParentConnect