ADAKAH ANAK-ANAK PEDULI? Memupuk sifat peduli dan empati

pclogo

Gempa bumi berskala RIchter 7.8 melanda Nepal semalam. Setakat artikel ini ditulis 5000 nyawa dikhuatiri terkorban, 50000 lagi cedera dan lebih 1 juta kanak-kanak memerlukan bantuan (sumber: UNICEF). Keadaan di Syria juga semakin genting, berjuta-juta rakyat Syria menjadi pelarian. Rakyat Palestin pula terus ‘terpenjara’ dan dibunuh di negara sendiri dan berjuta-juta menjadi pelarian. Bangsa Rohingya terus dinafikan kerakyatan di negara sendiri dan ditekan dan dibunuh tanpa belas kasihan. Masih ramai rakyat Kelantan yang tinggal di dalam khemah kerana kehilangan tempat tinggal akibat bencana banjir beberapa bulan yang lalu. Mereka masih memerlukan bantuan.

Sejauh manakah kita dan anak-anak kita, biar yang kecil ataupun yang remaja, PEDULI tentang mereka yang tidak bernasib baik?

Kajian yang dilakukan oleh University of Missouri pada tahun 2011 mendapati bahawa remaja yang terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan lebih mudah terhindar dari gejala-gejala negatif. Walau bagaimanapun, menurut kajian yang diterbitkan oleh Journal of Personality and Social Psychology pula, generasi milenial (yang lahir pada tahun 80an ke atas) kurang berminat untuk terlibat dengan aktiviti-aktiviti amal dan kemasyarakatan kerana fokus hidup mereka sekarang lebih tertumpu kepada pencarian material dan populariti.

Anak-anak yang PEDULI sangat berbeza dan mereka biasanya mempunyai kualiti berikut:

1 – menghormati orang lain tanpa membezakan harta kekayaan, pangkat, bangsa dan agama
2 – sentiasa ingin membantu sesiapa jua yang di dalam kesusahan
3 – sentiasa berfikiran positif dan mensyukuri nikmat yang ada
4 – sensitif terhadap perasaan orang lain
5 – berfikiran terbuka dan cuba memahami perspektif orang lain
6 – daya kepimpinan yang terpupuk sejak kecil
7 – kreatif dan inovatif kerana sentiasa memikirkan bagaimana untuk membantu mereka yang kesusahan.
Bagaimanakah caranya melahirkan sifat PEDULI dan EMPATI dalam diri anak-anak dari kecil?

1) PEDULI melalui gaya hidup sekeluarga.

Mulakan dengan peduli tentang alam sekitar seperti menjaga kebersihan, tidak merosakkan kemudahan awam, kitar semula, jimat elektrik dan air. Galakkan mesra haiwan dan tidak menganiaya sebarang hidupan (selagi tidak membahayakan kita). Galakkan mesra tumbuh-tumbuhan, contohnya tidak mencabut pokok, kelopak-kelopak bunga atau daun-daunan tanpa sebab.
Jadikan sifat PEDULI sebagai salah satu kayu ukur (milestone) perkembangan sosial anak-anak yang penting. Sebagaimana berkongsi atau ‘sharing’ dijadikan kayu ukur sosial, begitu juga peduli dan empati.

2. PEDULI melalui pembacaan dan penceritaan.

Bahan bacaan adalah sumber yang paling berkesan dalam membentuk perkembangan karakter. Penggunaan buku cerita yang sesuai dapat merangsang emosi dan mewujudkan sifat peduli dalam diri kanak-kanak. Lebih baik sekiranya ibubapa bercerita kepada anak-anak (yang kecil terutamanya) kerana impaknya lebih besar berbanding anak-anak membaca sendiri buku tersebut. Tingkah laku positif watak-watak tertentu di dalam cerita, terutamanya yang menjadi hero/heroin anak-anak, boleh dijadikan idola mereka. Pilihlah cerita yang bertemakan kasih sayang, kemanusiaan dan kemasyarakatan yang jelas dan mudah difahami oleh anak-anak. Plot yang menarik juga perlu diambil kira supaya anak-anak boleh ‘relate’. Bincang dan tanyakan pendapat anak-anak tentang tema kemasyarakatan tersebut dan galakkan anak-anak berkongsi pendapat dan perasaan mereka.

Tonton dokumentari televisyen yang memaparkan kesusahan dan pahit getir yang dilalui oleh orang lain supaya lebih terkesan.
(Tidak perlulah menunjukkan kepada anak-anak gambar kanak-kanak yang berlumuran darah akibat kekejaman atau peperangan seperti yang selalu terpampang di media sosial. Ini hanya akan mewujudkan sindrom ‘Schadenfreude’ iaitu ketagihan melihat gambar-gambar sedemikian tanpa mewujudkan sebarang rasa peduli dan simpati).

Jika anak kecil merasa sedih dan menangis kerana membaca atau menonton cerita tentang kesusahan orang lain, janganlah diejek atau diketawakan. Cakaplah “Sedihkan?” “Kesiankan?”. Tanyalah “Bagaimana kita boleh membantu mereka yang dalam situasi demikian?”.

3. PEDULI melalui teladan ibubapa.

Ibu bapa adalah teladan terbaik untuk anak-anak. Kita adalah guru pertama dan utama mereka. Mulakan sifat peduli dalam diri kita untuk dicontohi oleh anak-anak. Apa saja yang menjadi prioriti hidup kita akan menjadi acuan bagi anak-anak. Bila kita menunjukkan sifat peduli contohnya terhadap mereka yang ditimpa bencana, ditindas, fakir miskin dan anak yatim lebih-lebih lagi tanpa mengira bangsa dan agama, itu akan mewujudkan peduli dan empati dalam diri anak-anak.
Bila kita menunjukkan sifat peduli, anak-anak juga akan turut sama peduli tentang mereka dan ingin membantu.

4. PEDULI melalui nilai material.

Didiklah anak-anak akan nilai wang walaupun kewangan bukanlah masalah dalam keluarga kita. Ajari anak-anak tentang perbezaan barang-barang keperluan (needs) dan kemahuan (wants) supaya mereka tahu prioriti material. Galakkan anak-anak untuk menabung kiranya ada barang kemahuan (wants) yang ingin mereka miliki. Contohnya dengan menggunakan duit poket atau duit Raya walaupun kita mampu menyediakan barang tersebut untuk mereka. Ajari anak-anak menabung dan berjimat-cermat supaya mereka faham bagaimana rasanya menahan diri dari berbelanja dan boros. Ajari anak-anak supaya tidak membazir makanan supaya mereka faham keadaan mereka yang kebuluran. Galakkan anak-anak menabung, bersedekah dan menyumbang kepada aktiviti kebajikan.

5. PEDULI melalui pengalaman.

Kajian menunjukkan bahawa sifat peduli itu lahir secara berperingkat. Ia terbentuk melalui pengalaman yang dilalui seorang individu bersama individu lain yang berada di dalam kesusahan. Pengalaman adalah guru yang terbaik untuk sesiapa sahaja, terutamanya kanak-kanak. Pembacaan, penceritaan dan pendedahan akan lebih bermakna jika mereka berpeluang turun padang menyaksikan sendiri kesusahan orang lain.

Sekali sekala bawalah anak-anak keluar dari kelompok kita dan merasai realiti di luar kelompok. Bawa anak-anak bersama meredah kampung dan pedalaman bagi tujuan memberi bantuan dan sumbangan, walaupun anak itu masih kecil. Jadikan ia aktiviti keluarga. Sentiasa galakkan anak-anak terlibat dengan aktiviti kebajikan melalui sekolah, pertubuhan, persatuan ataupun inisiatif sendiri bersama kawan-kawan.
Untuk kanak-kanak menjadi individu yang PEDULI, mereka memerlukan perhatian, galakan dan penglibatan orang-orang dewasa yang penting dalam hidup mereka terutamanya ibu bapa dan juga guru. Aktiviti kebajikan dan kemasyarakat perlu bermula dari peringkat pra sekolah lagi. Sifat PEDULI tidak wujud dengan sendirinya. Apabila anak-anak menunjukkan sifat peduli dan empati, nyatakan (point out), pujilah dan hargailah supaya mereka tahu mereka sebenarnya berupaya untuk PEDULI.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Advertisements

KENAPA ANAK TIDAK SUKA MEMBACA

pclogo

Saya lihat ramai yang teruja dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung sekarang. Alhamdulillah.
Artikel berkaitan membaca. Kongsilah jika dapat dimanfaatkan oleh semua.

Dulu kita selalu dengar orang berkata “Membaca jambatan ilmu”. Lama dah tak dengar perumpamaan itu disebut. Membaca adalah gerbang maklumat dan jambatan ilmu. Kadang-kadang bila kita dengar atau baca pendapat seseorang, kita boleh tahu sejauh mana individu itu membaca kerana pengetahuan individu yang membaca selalunya adalah lebih luas dan terbuka. Anak-anak yang banyak membaca juga dapat memberi pendapat dengan baik kerana selain ilmu, membaca juga dapat membina perkembangan bahasa dan pertuturan anak-anak. Jika anak itu bukan seorang yang banyak bercakap atau introvert, dia akan dapat meluahkan pemikiran dan kreativiti melalui penulisan dengan lebih baik.

Fokus kita sebagai ibubapa bukan hanya membantu supaya anak-anak pandai membaca melalui kaedah apa pun yang kita pilih, tetapi juga supaya anak-anak suka membaca setelah pandai membaca. Salah satu faedahnya yang saya lihat, membaca menjadi salah satu aktiviti yang boleh lakukan apabila ada masa terluang, tak kisahlah di rumah atau di dalam perjalanan atau ketika menunggu, di taman dan mana-mana saja. Oleh itu ruang untuk ‘boring’ itu kurang. Ruang untuk terlampau bergantung kepada teknologi dan televisyen untuk hiburan juga kurang. Ruang untuk berpeleseran juga kurang.

KENAPA ANAK TIDAK SUKA MEMBACA?

1) Tiada contoh teladan.
Anak-anak akan mengikut apa saja yang dibuat oleh ibubapa.

2) Perbandingan
Pada saya ini adalah halangan yang utama. Mungkin ibubapa sangkakan anak akan bersemangat jika dibanding-bandingkan, ibubapa berniat baik. Walau bagaimanapun, perlu diingat setiap anak adalah berbeza. Ada anak yang akan patah semangat bila usaha kecil mereka tidak dipedulikan. Ada anak ‘late bloomers’. Perkembangan mereka agak perlahan berbanding adik beradik atau rakan yang lain.

3) Habuan/Hukuman
Jangan menjadikan membaca sebagai batu loncatan untuk anak-anak mendapatkan habuan. Membaca sepatutnya menjadi aktiviti yang sangat penting dengan sendirinya.

Contohnya apabila anak ingin menonton televisyen, ibubapa mengugut, “Jika tidak membaca buku, tidak boleh menonton televisyen”. Dalam konteks ini, membaca tidak ditanam sebagai satu aktiviti yang penting dengan sendirinya. Membaca akan dilihat sebagai satu batu loncatan untuk mendapat habuan. Lebih buruk lagi dalam konteks ini jika anak-anak melihat membaca sebagai satu hukuman.

4) Leteran.
Jikalau ibubapa asyik berleter supaya anak membaca, kesannya belum tentu positif kepada anak-anak.

5) Kritikan.
Jikalau ibubapa rasakan yang anak-anak boleh berusaha dengan lebih baik lagi, cuba fahami kenapa anak tidak berusaha? Mengkritik anak dengan kata-kata yang melemahkan selalunya tidak membuahkan hasil yang positif. Kritikan tanpa empati hanya membuatkan anak tertekan.

6) Melabel.
Menggunakan perkataan negatif seperti malas atau bodoh tidak akan memotivasikan anak untuk rajin atau suka membaca. Bukan itu sahaja, tindakan itu juga akan memudaratkan hubungan antara ibubapa dan anak.

KAEDAH UNTUK MEMUPUK MINAT:

1) Kelilingi anak-anak dengan buku dari awal lagi.

Biasakan anak dengan perpustakaan, bawa anak ke kedai-kedai buku, kunjungi pameran dan ekspo buku. Galakkan anak-anak bertukar-tukar buku dan meminjam buku dari kawan-kawan. Biar ada keseimbangan antara pembelian buku dan ‘toys’ untuk anak-anak. Biar anak-anak memilih buku mengikut minat mereka. Mereka lebih tahu apa yang akan buatkan mereka ‘enjoy ‘membaca. Begitu juga majalah yang bersesuaian dengan umur dan minat mereka. Memberi elaun buku kepada anak-anak meningkat remaja/remaja juga dapat membantu mereka menjadikan buku sebagai prioriti dalam hidup kerana itu ‘value’ yang cuba kita tanamkan dalam diri mereka.

2) Jadikan pengalaman membaca itu selesa.

Bagi anak-anak, ruang yang paling selesa adalah di atas riba ibubapa ataupun melingkar di atas katil bersama ibubapa atau di mana-mana saja asalkan bersama ibubapa. Selain itu, adanya ruang khas untuk membaca di dalam rumah boleh menjadikan anak-anak lebih bersemangat untuk membaca. Jadikan ruang tersebut sentiasa ‘memanggil-manggil’ mereka untuk datang. Walau bagaimanapun, ini bukanlah satu keperluan. Yang pentingnya, biar anak-anak bebas dengan pilihan ruang mereka sendiri asalkan selesa buat mereka. Jika mereka tidak selesa, aktiviti itu hanyalah membebankan mereka. Sebaiknya buku-buku disusun kemas di atas rak yang sesuai dengan ketinggian anak-anak. Disiplinkan anak-anak supaya menghargai buku dengan menjaga, menyusun dan meletakkan buku di tempat yang disediakan. Ruang yang kemas dan teratur membuatkan diri lebih tenang untuk menghayati apa yang dibaca.

3) Jadikan pengalaman membaca itu istimewa.

Sesuatu aktiviti itu akan menjadi istimewa untuk anak-anak sekiranya mendapat sentuhan dan sokongan daripada ibubapa. Itulah nilai yang paling bermakna dalam diri seorang anak. Jadikan aktiviti membaca sebagai aktiviti untuk ‘connect’ dengan anak-anak. Jika membaca disandarkan pada emosi yang positif ini, insya Allah anak-anak akan minat untuk membaca. Ketika anak-anak belum boleh membaca dengan sendiri, bacakan buku untuk mereka. Pilih masa yang sesuai untuk bacakan buku buat mereka. Jadikan shared reading satu aktiviti wajib setiap hari. Anak-anak akan sentiasa look forward. Untuk independent readers, bacakan juga untuk mereka sekali sekala dan galakkan mereka bercerita tentang apa yang telah mereka baca. Berbincang dengan mereka tentang isi kandungan buku. Perhatian yang kita berikan kepada anak-anak walau untuk usaha yang kecil, akan menaikkan semangat mereka untuk terus berusaha dan kekalkan minat untuk terus membaca.

4) Hidupkan aktiviti membaca.

Untuk menghargai aktiviti membaca, anak-anak perlu didedahkan kepada kehidupan seharian yang penuh dengan teks untuk dibaca. Anak-anak perlu kaitkan membaca dengan kehidupan mereka. Membaca tidak boleh menjadi aktiviti yang isolated, iaitu tiada perkaitan. Dari umur 1-2 tahun lagi, dedahkan mereka kepada ‘environmental prints’.

Contoh ‘environmental prints’ adalah papan tanda, label pada kotak,tin, botol, tanda isyarat, papan iklan, banner, flyers , instructions, manual, menu dan sebagainya. Ini semua adalah bahan-bahan percuma yang banyak membantu proses awal membaca. Apabila anak-anak sedar yang semua ‘prints’ ini memberi makna (meanings) dalam kehidupan, mereka akan teruja dan ‘curious’ untuk membaca. Ambillah kesempatan ini, terutamanya ketika memandu bersama anak-anak, membeli belah di pasaraya, atau berkunjung ke taman, di sekeliling penuh dengan environmental prints.

Be creative, adakan projek khas dengan environmental prints contohnya seperti scrapbook, ataupun adakan treasure hunt dengan anak-anak berpandukan kepada environmental prints.

5) Add some fun.

Reading aloud kepada anak-anak sangat digalakkan. Anak saya membaca dengan sendirinya ketika berusia 2 tahun kerana setiap hari saya pastikan ada sesi read aloud bersamanya. Dia tidak dibantu oleh sebarang kaedah yang ada di pasaran. Ketika read aloud, gunalah intonasi dan memek muka atau ekspresi dengan sepenuh hati supaya anak dapat relate dengan cerita. Jangan lupa juga sound effect. Jangan terkejut jika satu hari anak anda akan mengulangi bacaan anda dengan menggunakan intonasi dan ekspresi yang sama. Inilah yang berlaku antara saya dan anak saya.

‘Personalise’ kisah yang dibaca dengan menggantikan nama watak dan tempat dengan nama anak anda dan tempat yang familiar bagi dia. Dia pasti akan tersenyum gembira insya Allah. Tanya pendapat anak tentang jalan cerita yang lebih sesuai menurut pendapat anak, begitu juga dengan ending, biar anak memikirkan ending yang berbeza untuk kisah yang dibaca. Apabila anak-anak diizinkan untuk menggunakan kreativiti sendiri, buku dan membaca akan lebih menarik perhatian dia. Sebaliknya jika membaca itu hambar, tiada yang akan berminat.

6) Menulis buku sendiri.

Yakinkan anak-anak yang mereka juga boleh menulis. Galakkan anak-anak menulis dengan disertakan illustrasi dan sebagainya mengikut kreativiti dan imajinasi anak tersebut. Jika mereka lebih cenderung menggunakan komputer, sediakan peralatan untuk anak-anak seperti software dan printer. Jika berkemampuan, boleh dicetak hasil penulisan anak itu dan diedar kepada saudara mara dan rakan. Jika anak masih belum pandai menulis, lukisan juga dapat menyampaikan cerita yang tersendiri. Biar anak mellukis dan beri peluang untuk anak bercerita melalui lukisan. Ini adalah usaha kecil yang apabila digalakkan dan dipuji akan membuahkan hasil yang lebih besar insya Allah.

Banyak lagi sebenarnya sebab kenapa anak tidak suka membaca dan banyak lagi yang boleh kita praktikkan dengan anak-anak supaya mereka minat membaca. Walau bagaimanapun dari pengalaman saya sendiri, ibubapa adalah role model yang paling penting kepada anak-anak. Sukar untuk anak minat membaca jika mereka jarang-jarang melihat ibubapa membaca.

Noor Afidah Abu Bakar

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Melatih Anak-anak Mengurus Emosi

BENGKEL ke-3 (Dari Siri ‘Iceberg’ – Empathy)

Pelbagai tuntutan dalam kehidupan masani yang perlu diuruskan oleh ibubapa sedikit sebanyak mewujudkan tekanan dalam diri.
Anak-anak kecil dan besar juga mempunyai masalah tersendiri. Dari masalah transisi umur, harapan ibubapa ke harapan guru-guru dan sekolah ditambah lagi dengan tekanan rakan sebaya, semuanya mengganggu emosi anak-anak.

Emosi yang menekan ini mempengaruhi tingkah laku anak-anak jika tidak dibimbing oleh ibubapa.
Akhirnya mereka dilabel sebagai anak degil atau anak nakal. Ibubapa menjadi buntu.

Jemput hadir.

pcSKMM250415

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

Teknologi skrin dan anak-anak

Risau anak terlalu ketagih dengan ‘game’?
Risau anak asyik mengadap televisyen siang dan malam?
Risau anak dengan laptop atau iPad sepanjang masa?

Soalan yang harus ditanya pada diri ibubapa:

1) Adakah ibubapa sediakan dan biasakan anak-anak dengan aktiviti alternatif seperti bermain, membaca, bersukan, berbual bersama, ‘building blocks’ dan sebagainya? atau

2) adakah anak-anak sejak kecil di’babysit’ oleh televisyen dan di’diamkan’ dengan apps dan game di telefon pintar, tablet dan ‘laptop’ ibubapa sahaja?

Jika itulah sahaja caranya, bukanlah salah anak-anak jika mereka tidak tahu cara lain untuk mengisi masa.

image

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/

ANAK TAKUT BUAT SILAP? WAJARKAH

pclogo

Pernahkah kita terfikir kenapa kanak-kanak begitu mahir menggunakan gajet seperti telefon pintar dan tablet walaupun tidak pernah diajar?

Menurut kajian yang dijalankan di University of California, Berkeley untuk membandingkan penggunaan gajet antara kanak-kanak 4/5 tahun dan pelajar universiti, kemahiran anak-anak kecil ini didapati berpunca dari kecenderungan semulajadi anak-anak kecil untuk menyelesaikan masalah. Penggunaan gajet memerlukan ‘trial and error’. Anak-anak tidak takut untuk menekan ‘icons’ dan mencuba pelbagai strategi untuk membuatkan gajet berfungsi. Anak-anak kecil juga lebih kreatif dalam penyelesaian masalah. Inilah yang membezakan anak kecil dan pelajar-pelajar universiti dalam kajian tersebut.

Jika beginilah sifat semulajadi anak-anak kecil, apakah yang boleh menyebabkan anak-anak ini hilang kecenderungan semulajadi itu dan menjadi takut melakukan kesilapan?
Apabila kanak-kanak takut melakukan kesilapan, pemikiran dan pembelajaran mereka tidak dioptimumkan. Mereka akan terdorong untuk sentiasa berada di zon selamat dan mengelakkan diri dari eksplorasi pemikiran dan pembelajaran.

Sebab-sebabnya:

1) Budaya kesempurnaan (perfectionism)

Apabila kanak-kanak semakin membesar, mereka semakin menyedari bahawa melakukan kesilapan sering dianggap sebagai satu kekurangan dan lebih buruk lagi sebagai satu ‘kebodohan’. Kanak-kanak kian takut melakukan kesilapan apabila ibubapa dan guru kecewa dan marah apabila mereka melakukan kesilapan. Kiranya ini berlaku, mereka akan mengaitkan kesilapan dengan ketakutan dan kegagalan.

2) Harapan ibubapa.

Memang menjadi lumrah untuk semua ibubapa mempunyai harapan dan impian terhadap anak-anak. Walau bagaimanapun, harapan yang tidak bersesuaian dengan usia dan perkembangan anak memberikan tekanan yang besar terhadap anak. Kanak-kanak sentiasa inginkan perhatian ibubapa. Harapan ibubapa yang tidak dapat ditunaikan menyedihkan mereka dan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap keyakinan diri seorang anak. Rendahnya keyakinan diri menyebabkan anak takut untuk keluar dari zon selamat. Ada juga ibubapa yang melakukan semua perkara untuk anak-anak kerana tidak percayakan anak dan tidak mahu mereka melakukan kesilapan. Ini memberi implikasi yang buruk terhadap persepsi anak-anak berkaitan ‘kesilapan’.

3) Salah faham.

Semua kanak- kanak memandang tinggi terhadap ibubapa mereka. Untuk memotivasikan anak-anak, ada ibubapa yang hanya menceritakan tentang kepandaian dan kejayaan mereka kepada anak-anak. Ibubapa ini tidak pernah menyebut tentang kesilapan yang telah mereka lakukan sebagai manusia biasa.
Apabila ini kaedah motivasi yang kita pilih, anak-anak takut untuk mencuba kerana bimbang tidak berjaya seperti ibubapa yang dianggap hebat dan sempurna. Ini sudah cukup untuk membuatkan mereka takut melakukan kesilapan.Ceritakanlah juga tentang kesilapan dan kegagalan kita, emosi kita ketika itu dan bagaimana cara kita mengatasinya.

4) Definisi kejayaan.

“Papa dan mama mahu anak-anak papa dan mama berjaya”. Itulah kata-kata semangat yang sering kita sebut.
Jikalau definisi berjaya yang dimaksudkan ibubapa adalah mendapat nombor 1 dan mendapat semua A dalam peperiksaan, adakah anak-anak gagal jika mereka tidak dapat menepati definisi kejayaan itu? Adakah kita akan menilai usaha-usaha anak atau hanya hasilnya? Jelaskan maksud kejayaan kepada anak-anak. Jelaskan jika mereka belajar dari kesilapan, itu juga dianggap sebagai satu kejayaan. Sebagai seorang Muslim, jelaskan juga jika kesilapan yang anak lakukan akhirnya boleh mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, itu juga satu kejayaan.

Oleh itu biarlah anak-anak mencuba dan melakukan eksplorasi. Bimbinglah mereka dan berilah semangat kepada mereka. Pantaulah supaya mereka berada di dalam batas yang sepatutnya selagi tidak membantutkan perkembangan pemikiran dan pembelajaran mereka.

Noor Afidah Abu Bakar

Parent Connect Consultancy

LIKE US ON FACEBOOK @ https://www.facebook.com/MyParentConnect/